VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
SAINS & TEKNOLOGI

ARKIB : 23/04/2012

Limau Merdeka kejayaan Deva

Saiz buah limau hibrid yang dihasilkan oleh T. Devandran

Barangkali ramai yang menganggapnya ‘gila’ kerana melakukan sesuatu yang dianggap perjudian dan tidak tahu untung nasib serta tahap kejayaan.

Namun T. Devandran atau mesra dipanggil Deva menepis andaian itu dengan menyatakan bahawa kesabaran dan ketekunan menjadi kata kunci kepada usahanya untuk mencuba teknik penghibridan limau secara cuba jaya dan jarang dijalankan di kalangan penyelidik di negara ini.

‘‘Pada mulanya saya hanya mencuba mengilhamkan satu penyelidikan limau kasturi tanpa biji.

‘‘Walaupun belum berjaya 100 peratus lagi tetapi masih mempunyai berpuluh pokok yang sedang dalam penyelidikan,” ujarnya pada satu pertemuan di ladang percubaannya penghujung Jalan Cemperai Taman Rasa Utama di Rasa , Selangor baru-baru ini.

Tidak memiliki kelayakan khusus dalam bidang penyelidikan bukan menjadi penghalang bagi Deva.

Sebaliknya, minat mendalam untuk mengkaji sesuatu mendorong anak jati Johor Bahru ini menjalankan kajian sendiri yang akhirnya mencapai satu kejayaan.

Hibrid pertama yang berjaya dihasilkannya secara pembiakbakaan silang secara seksual ialah limau merdeka yang disahkan stabil dan sesuai untuk perubahan cuaca serta rentang terhadap penyakit dan kulat.

Hibrid baru selalunya mempunyai lebih daya tahan kepada ketidaktentuan cuaca ketika ini dan dapat melawan ancaman serangga dan penyakit-penyakit lain. Ini membolehkan penanam mengurangkan kegunaan racun serangga secara drastik.

Generasi ketiga baka berkenaan telah berbuah dan mempunyai ketinggian sehingga satu setengah meter.

Mengimbas kembali bagaimana dia melunaskan hasratnya itu Deva memberitahu, pada 2003 terfikir untuk menghasilkan satu baka baru limau yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

‘‘Selepas bersara , saya menumpukan penyelidikan tersebut dengan berbekalkan minat dan kesungguhan, mendapatkan maklumat menerusi rakan-rakan di beberapa universiti luar negara termasuk California, Amerika Syarikat dan Australia,” katanya yang bersara daripada syarikat swasta berjawatan penyelia pada 2000.

Selepas menamatkan perkhidmatan, dia pada mulanya terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan dan terfikir untuk meneruskan minatnya dalam penyelidikan tidak lama kemudian.

‘‘Saya minta isteri saya mengambil alih perniagaan kecil kecilan tersebut kerana ingin melakukan sesuatu yang lain daripada yang lain,” ujarnya.

Deva berkata, menerusi pembacaan dia mendapat tahu, di Brazil terdapat sejenis buah oren yang tidak mempunyai biji.

Menurutnya, penghasilan buah oren tanpa biji itu mula diperoleh pada 1802 dan apabila ia dibawa ke Amerika Syarikat, satu ladang oren tanpa biji berjaya diusahakan.

Di Mexico juga dicatatkan kejayaan menghasilkan sejenis limau tanpa biji yang menyerupai limau nipis di negara ini.

Tidak cukup dengan itu, dia juga mendapatkan maklumat terkini mengenai bidang pembiakbakaan menerusi Internet bagi mencari bahan-bahan tambahan mengenainya.

“Adalah amat menyedihkan, kita di sini (Malaysia) masih menanam limau nipis cara lama yang mempunyai biji yang kita tidak gunakan pun,” katanya.

Oleh itu, selepas mengambil kira buah limau kasturi di negara ini popular untuk kegunaan makanan dan minuman dia menggunakan limau berkenaan manakala limau purut kerana mempunyai nilai perubatannya yang tinggi.

Berkongsi lebih lanjut, Devandran memberitahu, teknik pembiakbakaan memerlukan beberapa peralatan asas termasuk yang biasa digunakan dalam makmal seperti mikroskop dan peti sejuk tetapi dia tidak mampu memilikinya.

Oleh itu katanya, ketika mula-mula menjalankan penyelidikan kacukan limau itu dia menggunakan alat memfokus atau cermin mata yang biasa digunakan oleh kedai membaiki jam tangan serta peti sejuk di rumah sendiri selain pisau khas.

Ia ekoran ketidakmampuannya untuk menyediakan perlatan khas tetapi berbekalkan semangat tinggi, Devandran meneruskan minatnya.

Selepas itu, dia meminjam mikroskop ringkas daripada seorang saudaranya untuk melihat teknik mengkacuk benih limau yang sukar dilihat dengan mata kasar.

Kesabarannya ternyata berbaloi apabila berjaya menghasilkan hibrid limau hasil kacukan limau kasturi dan limau purut yang dinamakan sebagai Limau Merdeka pada 2010.

‘‘Anak pokok Limau Merdeka ini berjaya dihasilkan pada 7 Januari 2007.

‘‘Ia dibesarkan di dalam pasu sehingga Jun 2007 dan selepas itu ditanam di lokasi sekarang manakala buah pertama kelihatan pada 25 Ogos 2010 dan telah didaftarkan pada 30 Ogos tahun yang sama sebagai Limau Merdeka,” katanya.

Pendaftaran dibuat di Pejabat Pendaftaran Perlindungan Varieti Tumbuhan, Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, katanya.

Dia menamakannya sebagai Limau Merdeka mengambil sempena kejayaan pokok limau berkenaan berbuah kali pertama seminggu sebelum negara merayakan ulang tahun kemerdekaan pada tahun berkenaan.

Hasil usahanya selama beberapa tahun ini, Devandran telah berjaya menghasilkan ratusan benih dan usaha penghibridan pokok lain masih dijalankan.

Pada tahun itu juga, dia menubuhkan Levarson Biotech Sdn. Bhd. untuk tujuan penyelidikan dan penghasilan jenis limau yang baru.

Setakat ini, selain Limau Merdeka, Devandran juga telah menghibridkan limau kasturi dengan tiga limau lain iaitu limau mandarin, sejenis limau lain yang dinamakan kam quat dan satu lagi projek hibrid limau kasturi bersama benih limau yang tidak diketahui jenisnya.

Kesemua hibrid berkenaan telah ditanam dan sedang menunggu untuk berbuah.

Dia menjalankan projek penanaman berkenaan di kawasan seluas 2.8 hektar (tujuh ekar) di Taman Rasa Utama, Rasa, Selangor.

Di kawasan tersebut dia menanam 50 pokok limau merdeka serta beberapa projek lain termasuk memperuntukkan seekar kawasan untuk tanaman percubaan.

Dia juga memperuntukkan sebahagian keluasan kawasan tersebut untuk penanaman bendi sebagai aktiviti ekonomi menyara keluarga.

Dia yang kini mempunyai ratusan pokok limau yang dikacuk sedang menunggu untuk berbuah sebelum disahkan varieti pokok berkenaan.

Apa yang penting katanya ialah selepas diuji kestabilan gen selepas tiga tahun ia boleh dipertimbangkan sebagai mencapai tahap kestabilan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.