VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 20/04/2012

Penerbangan terus Terengganu ke Jeddah, Madinah

Abdul Razak Ismail (kiri) bertukar dokumen dengan Samer Akhyat (kanan) sambil disaksikan Ahmad Said pada Majlis menandatangani MoU Operasi Umrah dan Haji di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 19 April - Kerajaan negeri memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines bagi meningkatkan pengendalian urusan umrah dan haji secara terus dari sini.

Melalui MoU berkenaan, syarikat penerbangan tersebut akan memulakan dua penerbangan sulungnya pada 25 Mei ini dan seterusnya pada 19 Julai dengan membawa 450 penumpang bagi setiap penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud terus ke Jeddah dan Madinah.

Kerjasama strategik ini juga dalam usaha kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai hab umrah dan haji Pantai Timur dengan kemudahan lebih luas untuk rakyat menunaikan ibadat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia dapat membantu mempromosikan Terengganu dan merancakkan perkembangan industri pelancongan yang diberikan penekanan oleh negeri.

"Kita hendak terus memudahkan jemaah kita kerana permintaan semakin meningkat dan dalam masa yang sama meletakkan Terengganu sebagai hab umrah dan haji.

''Malah pada masa depan kita harap dapat turut menyediakan kemudahan ini untuk umat Islam di selatan Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara memeterai MoU berhubung penerbangan berkenaan.

Kerajaan negeri diwakili oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail manakala Saudi Arabian Airlines diwakili Pengurus Besar Pengurusan Jualan dan Perolehannya, Samer Akhyat.

Turut menyaksikan ialah Penasihat penyelaras bagi kerajaan negeri, Abu Backer Sidek Mohamad Zan dan Pengurus Rantau bagi Saudi Arabian, Hisham Albinyyan.

Menurut Ahmad, selain peningkatan penerbangan umrah, kerajaan negeri akan turut memohon supaya penerbangan haji dapat ditambah kepada 12 penerbangan tahun ini, berbanding lapan pada musim lalu menggunakan pesawat Airbus 350.

Berucap pada majlis itu, Abdul Razak berkata, hasil usaha selama beberapa tahun untuk mendapatkan penerbangan terus ke Arab Saudi malah dengan kadar lebih kerap membuahkan hasil yang membanggakan.

''Dalam perancangan awal, pada tahun 2013, dijangkakan sebanyak 21 penerbangan bakal dijadualkan bagi tujuan umrah sahaja, kesemuanya penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Madinah," ujarnya.

Sementara itu, Abu Backer memberitahu, kerajaan negeri Terengganu telah melaksanakan penerbangan umrah dan haji selama empat tahun dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS)

''Walaupun jadual penerbangan sejak awal tahun 2012 telah diberikan oleh MAS, penerbangan terus Terengganu - Jeddah tidak dapat dimulakan hingga kini, berkemungkinan kerana masalah rombakan organisasinya ataupun kekurangan pesawat.

''Oleh yang demikian, kerajaan negeri dengan nasihat dari Duta Malaysia di Arab Saudi, Datuk Syed Omar Al Asagoff memulakan rundingan dengan penerbangan Saudi sejak dua bulan yang lepas," ujar beliau.

Katanya, usaha ini juga mendapat sokongan baik dari panel-panel ejen pengendali umrah, haji dan pelancongan termasuk Rayhar Travel, TH Travel, Zahafiz Travel, Interleisure Travel, Asari Murni Travel, Yaskin Travel dan Imtiyaz Travel.

Harga-harga pakej yang ditawarkan dengan perbangan tembahan khas bermula dengan RM6,500 untuk 13 hari 12 malam.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.