VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
UTARA

ARKIB : 12/04/2012

Mencari damai di chalet terapung


PEMANDANGAN indah waktu senja jelas terpancar di chalet terapung PPK Merbok, Sungai Petani.


SUNGAI PETANI 11 April – Jika ingin bercuti sambil mencari ketenangan tanpa gangguan serta ‘lari’ daripada kesibukan bandar, pastinya anda memerlukan tempat yang damai untuk melepaskan tekanan setelah penat bekerja.

Mungkin ramai yang masih tercari-cari lokasi yang sesuai untuk berbuat demikian.

Namun begitu, bagi mereka yang berada di wilayah utara, chalet terapung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok tentu menjadi pilihan.

Terletak di Kampung Segantang Garam, Merbok, dekat sini, chalet berkenaan merupakan sebuah tempat percutian atau perkhemahan yang ‘terlepas daripada segala gangguan’ dan kedamaian alam yang masih terpelihara yang membuatkan sesiapa sahaja teruja.

Untuk sampai ke destinasi itu, perjalanan darat hanya 12 kilometer dari pekan Merbok menghala ke Sungai Gelam, Bujang atau 20 minit menaiki bot dari Tanjung Dawai serta 30 minit menaiki bot dari Jeti Semeling.

Kawasan percutian berkenaan memang ‘saujana mata memandang’ dengan kehijauan hutan paya bakau, Sungai Merbok serta dihiasi panorama indah berlatar belakang Gunung Jerai.

Pengurus Bahagian Agro Pelancongan dan Infrastruktur Ladang PPK Merbok, Hamdan Awang berkata, kawasan chalet itu berada di pinggir hutan paya bakau Sungai Merbok yang masih terpelihara kecantikan alam sekitarnya.

Beliau berkata, selain itu, hutan bakau tersebut memiliki 30 spesies flora di kawasan seluas 4,114 hektar yang merupakan salah satu kawasan Hutan Simpan Paya Laut yang terbesar di negara ini.

“Antara tumbuhan utama yang hidup di kawasan hutan ini ialah pokok api-api, bakau, perepat dan tumu. Di samping itu, hutan bakau terbabit turut menampung pelbagai jenis hidupan liar iaitu daripada jenis paling halus (zooplankton) hinggalah ke reptilia besar antaranya ketam rebab, ketam lumpur, ikan belacak dan udang kara,” katanya.

Hamdan memberitahu, kawasan chalet berkenaan mula diusahakan pada 16 Januari 2010 dengan modal terkumpul daripada PPK Merbok dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Katanya, chalet berkenaan juga dianggap unik memandangkan ia merupakan satu-satunya chalet terapung yang diusahakan dalam kalangan PPK seluruh negara setakat ini.

“Sekarang kita ada tujuh chalet yang diapungkan atas Sungai Merbok. Dua daripada chalet ini menawarkan bilik tidur berhawa dingin, sementara satu lagi merupakan calet jenis VIP dilengkapi perabot, peralatan dapur, televisyen dan ruang santai.

“Selain itu, kita juga mempunyai dua chalet berkembar tanpa pendingin hawa serta empat buah bilik penginapan berasingan,” katanya.

Tambah beliau, satu pelantar turut disediakan untuk aktiviti memancing atau riadah yang dilengkapi perabot dan dapur.

“Di samping itu, chalet ini juga menawarkan sebuah dewan untuk bermesyuarat dan riadah dengan kapasiti 80 orang pada satu-satu masa. Ia dilengkapi kerusi, meja dan set karaoke,” katanya.

Katanya, kadar bayaran penginapan di chalet terapung itu antara RM40 hingga RM250 satu malam manakala untuk memancing tanpa menginap dikenakan bayaran RM15 seorang tanpa had masa.

“Antara ikan yang banyak terdapat di sini ialah sembilang, jenahak, kerapu, senangin, gemang dan malong,” katanya.

Hamdan berkata, para pengunjung yang menginap di situ boleh menjalankan pelbagai aktiviti yang disediakan pihaknya seperti aktiviti menyusuri Sungai Merbok bagi menikmati keindahan hutan paya bakau.

“Pengunjung juga boleh memilih untuk memancing ke pulau-pulau berhampiran dengan perkhidmatan bot dan mengikuti lawatan ke kawasan pelancongan menarik berdekatan seperti Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Tanjung Dawai dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Besar PPK Merbok, Yahaya Abd. Aziz berkata, projek chalet terapung berkenaan merupakan salah satu aktiviti serampang dua mata yang digerakkan pihaknya.

Katanya, matlamat utama penubuhan chalet itu adalah untuk memajukan sektor agro pelancongan tempatan di samping meningkatkan pendapatan dalam kalangan ahli-ahli atau peladang.

“Melalui usaha ini, para peladang atau ahli-ahli PPK di kawasan Ban Merbok boleh melibatkan diri dengan menyediakan perkhidmatan sewa bot, memandu pelancong, menjual hasil tanaman atau ternakan sungai.

“Dengan itu, ia mampu memberikan pendapatan sampingan dan tidak bergantung kepada hasil tanaman padi semata-semata,” jelasnya.

Yahaya berkata, sejak dibuka, chalet terapung tersebut mendapat sambutan hangat daripada pelancong sama ada di kalangan penduduk tempatan ataupun dari luar.

“Chalet ini mendapat tempahan hampir setiap hari dan jarang menerima pengunjung walk-in kerana bilik sentiasa penuh,” katanya.

Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan meningkat, pihaknya kini dalam proses menambah beberapa buah lagi chalet untuk kemudahan pengunjung.

“Sambutan hangat diberikan pengunjung khususnya pada setiap musim cuti sekolah dan juga daripada sektor korporat serta agensi kerajaan yang mengadakan kursus. Selain itu, kita juga mendapat tempahan daripada institusi pengajian tinggi untuk membawa para penuntut menganjurkan program,” katanya.

Untuk tempahan boleh menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok, Jalan Batu Hampar, 08400 Merbok, Kedah di talian 04-4572117 atau di talian 019-5452412 (Norazieta Othman); 012-4633526 (Mahayadin Ismail) dan 013-4708230 (Abdullah Kancil).

Maklumat lanjut mengenai chalet terapung berkenaan juga boleh didapati menerusi laman web www.chaletterapung.weebly.com atau laman web sosial Facebook/Chalet Terapung.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.