VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Julai 2014 / 2 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 10/04/2012

Pemerintahan beraja Malaysia unik


Skuadron Istiadat Berkuda dari Kor Armor Diraja berkawal di hadapan Istana Negara sempena persiapan Istiadat Pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, baru-baru ini. - Bernama.


PEMERINTAHAN beraja di Malaysia dikatakan paling unik berbanding negara lain yang mengamalkan pemerintahan beraja.

Ini kerana di negara-negara berkenaan takhta pemerintahan terus kekal dikuasai waris, tetapi di Malaysia raja yang memegang jawatan sebagai Ketua Negara atau dikenali sebagai Yang di-Pertuan Agong bertukar mengikut giliran dalam kalangan sembilan Sultan atau Raja yang memerintah negeri.

Sungguhpun negara ini mengamalkan sistem pemerintahan Raja BerPerlembagaan dan Demokrasi BerParlimen, pemilihan Yang di-Pertuan Agong, yang mula dilaksanakan ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, adalah cukup bermakna kerana ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi.

Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong, orang yang terutama di Malaysia, tidak dipilih oleh rakyat tetapi oleh sembilan Raja-raja Melayu berkenaan pada persidangan Majlis Raja-raja, bagi memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun.

Apabila genap tempoh itu, Seri Paduka Baginda hendaklah turun dari takhta dan akan digantikan oleh seorang raja lain berdasarkan sistem pemilihan yang sama. Dalam sistem penggiliran ini, takhta pemerintahan adalah kekal tetapi raja akan bersilih ganti.

Raja-raja Melayu yang layak memilih dan menduduki takhta pemerintahan Malaysia ialah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Selangor, Raja Perlis, Sultan Terengganu, Sultan Kedah, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Perak.

Negeri Sembilan yang pertama

Sejak pemilihan Yang di-Pertuan Agong pertama iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Malaysia sudah mempunyai 14 orang ketua negara termasuk Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dari Kedah, yang akan ditabalkan pada 11 April ini.

Malah pertabalan Tuanku Abdul Halim, 84, pada Rabu ini (esok) mencatat sejarah kerana telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua.

Seri Paduka Baginda pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 23 Julai, 1970 semasa berusia 42 tahun.

Mengikut catatan sejarah, sistem pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh para Undang yang memerintah luak atau daerah di negeri itu mengikut adat Minangkabau, memberikan inspirasi kepada Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dalam merangka kaedah pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

Pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab memperkemas sistem yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid pada 1957 di mana jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah diwarisi tetapi berdasarkan kepada sistem giliran - sesuatu yang baru dan tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara di dunia.

Sehubungan itu, Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Kepala Utama Negara. Seri Paduka Baginda mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan.

Di bawah Pindaan 1993, Yang di-Pertuan Agong, seperti juga Raja-raja, boleh didakwa atas kapasiti peribadinya dan jika didakwa bagi sebarang kesalahan di bawah mana-mana undang-undang, Seri Paduka Baginda akan dibicarakan di sebuah Mahkamah Khas yang dibentuk Majlis Raja-Raja.

Dipilih Majlis Raja-Raja

Perlembagaan juga memaktubkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja secara undi sulit untuk tempoh lima tahun. Namun begitu, Seri Paduka Baginda boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan mengutus surat perletakan jawatan kepada Majlis Raja-Raja atau dipecat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Setakat ini belum ada pemegang jawatan Yang di-Pertuan Agong yang dipecat atau meletak jawatan.

Perlembagaan seterusnya memaktubkan bahawa sebagai Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan, pemerintah dan kehakiman.

Dalam banyak perkara hampir semua keputusan kerajaan yang dibuat Seri Paduka Baginda adalah atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Namun begitu Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara bagi melaksanakan tugas-tugas berikut:

n Melantik seorang Perdana Menteri,

n Tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen,

n Meminta supaya diadakan satu Mesyuarat Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam Perlembagaan.

Ada beberapa tugas rasmi yang hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong termasuk memanggil, memberhenti dan membubarkan Parlimen.

Selain mempunyai kuasa dan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda juga berkuasa melantik menteri-menteri lain sebagai anggota Jemaah Menteri dan Timbalan-timbalan Menteri, atas nasihat Perdana Menteri..

Agong Ketua Agama

Selain menjadi Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan negeri asal Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik hakim-hakim, mengampun dan menangguhkan hukuman mengenai segala kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Seri Paduka Baginda mengurniakan bintang-bintang kebesaran dan pingat kepada rakyat di semua peringkat. - Bernama

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.