VERSI : Mobile | Akhbar Digital
26 Julai 2014 / 28 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 24/03/2012

Zaiton masih teringat tragedi 1990


WAJAH terbaru Zaiton Sameon yang dirakamkan pada sidang akhbar Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon di Hotel Adamson, Kuala Lumpur Rabu lalu.


LAGU Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon merupakan salah satu lagu paling berpengaruh yang berjaya mengangkat nama penyanyi itu dalam bidang seni suara tanah air pada tahun 1987.

Populariti lagu ciptaan A. Ali dan lirik nukilan Habsah Hassan itu berada di kemuncaknya apabila ia turut menjuarai Juara Lagu anjuran TV3 pada tahun yang sama.

Sejak saat itu, nama anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini semakin menjadi rebutan ramai terutamanya pihak penganjur persembahan pentas di seluruh negara.

Zaiton pada saat itu memang tidak menang tangan memenuhi banyak undangan menyanyi di merata-rata tempat termasuklah pada malam 20 Februari 1990 di Kuala Ketil, Kedah.

Malangnya, malam itu telah mengundang tragedi dalam hidup penyanyi yang juga terkenal dengan lagu bertajuk Kabut Serangkai Mawar ini apabila dia terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kuala Ketil menuju ke Kuala Lumpur selepas mengadakan persembahan itu, van yang dinaiki Zaiton telah berlanggar dengan sebuah lori.

Dalam kemalangan tersebut, anak tunggal Zaiton, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia dan penyanyi bersuara lantang itu pula koma selama enam bulan.

Menurutnya yang kini tinggal di Kampung Tanjung Sena Hilir, Rembau, biarpun tragedi itu telah berlaku 22 tahun lalu tetapi sehingga kini dia belum mampu untuk melupakannya.

“Tragedi itu telah mengubah hidup saya. Walaupun sudah lama tetapi saya masih ingat lagi kemalangan yang berlaku pukul 3 pagi itu, apatah lagi sehingga menyebabkan kematian anak saya.

“Sejak saat itu, saya bukan sahaja menyepikan diri daripada bidang nyanyian kerana masalah kesihatan tetapi ramai juga orang yang telah melupakan saya,” katanya kepada S3.

Penyanyi yang dianggap diva pada zaman kegemilangannya itu kini tidak mempunyai pekerjaan tetap selain sekadar meneruskan sisa-sisa bakat menyanyi yang dimilikinya.

Ekoran minat, bakat dan tiada punca pendapatan lain, Zaiton tiada pilihan selain meneruskan kerjayanya dalam bidang nyanyian yang seakan-akan telah menjadi darah dagingnya.

Bagaimanapun, kata penyanyi yang berstatus janda itu, dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi biarpun namanya sebagai penyanyi tidak segah dulu termasuk pendapatannya ketika ini.

“Sekarang ini saya hanya menyanyi di majlis kecil-kecilan sahaja. Contohnya di kenduri kahwin. Itu pun jemputan yang datang bukannya selalu dalam dua bulan sekali.

“Malah bayaran yang saya terima juga tidak seberapa iaitu sekitar RM100 hingga RM200 sahaja. Saya tiada pilihan kerana itu adalah sumber pendapatan saya ketika ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Zaiton, rakan baiknya, Azmi Zahari bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan menganjurkan Konsert Amal Tabung Kebajikan untuknya pada 7 April ini.

Konsert yang akan diadakan di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, Perak pukul 8.30 malam itu tidak mengenakan bayaran tetapi para peminat boleh menghulurkan derma kepada penyanyi itu.

“Walaupun konsert ini dianjurkan bagi mengutip derma bagi membiayai kos sara hidup saya yang hidup sebatang kara tetapi ini adalah konsert solo pertama saya sejak 22 tahun lalu.

“Saya tiada punca pendapatan lagi dan sukar untuk meneruskan kehidupan tanpa adanya bantuan daripada orang ramai terutama para peminat yang banyak menyokong selama ini,” pintanya.

Pada Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon itu ramai lagi artis lain yang akan turut serta antaranya Ali Terra Rosa, Bagio Damasutra, Farhana Jalil dan Mazlan Hamzah.

Difahamkan pihak penganjur akan mengadakan beberapa lagi siri konsert itu di bandar lain seperti Raub, Pahang; Tanjung Karang, Selangor dan Rembau pada masa akan datang.

Tambah Zaiton, dia bukan sahaja terharu apabila Karyawan mempunyai inisiatif bagi membantu meringankan bebannya tetapi turut teruja menjayakan konsert tersebut.

“Saya memang tidak sabar untuk beraksi pada konsert terbaru saya itu nanti. Antara lagu wajib yang akan saya sampaikan pada konsert itu dan tempat lain ialah lagu Menaruh Harapan.

“Saya juga akan menyanyikan lagu penyanyi lain seperti Hound Dog (Elvis Presley) dan Black Magic Woman (Santana) bagi menambahkan lagi variasi persembahan saya itu nanti,” jelasnya.

Hadir sama pada sidang akhbar pengumuman konsert itu ialah Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Penasihat Karyawan, Datuk Mohamed Mohd. Daud.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.