VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 20/03/2012

Rezeki ‘penumpang tumpangan’


Yohana mendukung Citra untuk menaiki kenderaan yang memerlukan khidmatnya sebagai Joki 3 in 1.


ANAK kecil bernama Citra yang berusia tiga tahun ini barangkali tidak memahami apa tujuan sebenar ibunya, Yohana mendukungnya dan berdiri di tepi jalan.

Yang hanya diketahuinya, pada pukul 6.30 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat dia akan dibawa keluar oleh ibunya berjalan hampir dua kilometer.

Setiba di pinggir jalan utama berdekatan Hotel Mulia, Senayan, Jakarta, ibunya akan berdiri sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah kenderaan yang sibuk melintasi jalan berkenaan.

Rutin yang sama juga dilakukan ibunya yang berusia 34 tahun itu pada sebelah petang pada pukul 4.30 petang.

Apalah sangat yang diketahui oleh anak sekecil Citra melainkan hanya mengikut saja langkah ibunya.

Kepada Yohana pula, berdiri di tepi jalan sambil menunggu ihsan para pemandu kenderaan yang memerlukan khidmat 'penumpang tumpangan' bukanlah tugas baru buatnya.

Bahkan, mengusung Citra yang dalam dukungan pula tidak dianggap sebagai 'berdosa' kerana itu sahaja pilihan yang ada buat dia untuk mencari rezeki menampung hidup.

Kerjaya Yohana sebagai Joki 3 in 1 setidak-tidaknya memberi peluang kepada dia membantu suaminya yang pernah tiga tahun menganggur.

Cuma, baru beberapa minggu lalu suaminya mendapat kerja sebagai buruk kontrak.

Namun, banyak mana sangat pendapatan suaminya untuk membiayai kehidupan mereka tiga beranak di kota yang pesat membangun seperti Jakarta.

"Setiap pagi dan petang saya akan berdiri di sini mencari rezeki. Setiap kali diambil penumpang kenderaan, saya akan mendapat upah sebanyak Rupiah 20,000 (RM6.60).

"Dengan membawa anak kecil saya menerima upah tambahan Rupiah 20,000 lagi. Itu untuk satu perjalanan," cerita Yohana kepada Mega ketika penulis mengupahnya menjadi 'penumpang tumpangan' dalam satu perjalanan ke lokasi tugasan baru-baru ini.

Yohana, anak jati Jakarta merupakan salah seorang daripada Joki 3 in 1 yang setia memberi khidmat kepada penumpang kenderaan di Jakarta yang memerlukan jasanya.

Di sebuah jalan utama di Jakarta iaitu Jalan Sudirman telah diwartakan oleh pemerintah tempatan sebagai laluan terhad untuk tiga orang dalam sebuah kenderaan pada dua waktu puncak setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Pada waktu pagi, laluan terhad itu ditetapkan bermula pukul 7 hingga 10 pagi iaitu masa orang ramai keluar untuk ke pejabat.

Sementara pada waktu orang ramai pulang bekerja bermula pukul 4.30 hingga 7 petang, peraturan yang sama ditetapkan.

Penguatkuasaan undang-undang 3 in 1 (3 dalam 1) bermula pada tahun 2003 di Jalan Sudirman iaitu laluan yang cukup padat setiap kali waktu masuk dan pulang kerja di kalangan warga kota.

Seandainya ada kenderaan yang dikesan pihak berkuasa tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan, pemandu berkenaan boleh dikenakan denda.

Justeru, bagi mengelakkan diri daripada membayar denda yang mahal, pemandu di Jakarta yang mungkin ditemani seorang sahaja penumpang lain ketika pergi dan pulang dari bekerja menggunakan khidmat Joki 3 in 1.

Dengan hanya mengupah seorang Joki, tidak ada sebab untuk pemandu kenderaan gusar memikirkan kos membayar denda yang dikenakan pihak berkuasa.

Memadai dengan hanya mengeluarkan Rupiah 20,000 buat seorang Joki yang tentunya sudah menyelamatkan poket mereka.

Kerana itu khidmat Joki 3 in 1 dari mata kasar dilihat sangat penting buat pemandu kenderaan di Jakarta.

Selain berpeluang mengelakkan diri daripada disaman, khidmat Joki 3 in 1 turut membantu memberi rezeki kepada sebilangan warga miskin Jakarta.

"Kebiasaannya pada waktu pagi saya berpeluang mendapat langganan antara dua hingga tiga kali. Ditambah dengan kehadiran anak saya, maka upah yang saya peroleh tinggi," Yohana rancak berkongsi cerita dengan penulis sepanjang perjalanan.

Bagaimanapun, rezeki pada sebelah petang katanya, sukar diramal.

Ada masa menurut Yohana, dia hanya menerima sekali langganan sahaja, ada masanya pula dia terpaksa pulang dengan kehampaan.

"Ini kerana pada sebelah petang, selalunya pemandu pulang lewat iaitu selepas waktu laluan 3 in 1 sudah berakhir.

"Ada juga pemandu kenderaan yang pulang bersama teman-teman, jadi mereka tidak memerlukan khidmat Joki 3 in 1 lagi," Yohana menyambung perbualan.

Ditanya apakah dia tidak berasa bersalah membawa anaknya yang kecil dan seharusnya berada di rumah dan membesar seperti anak orang lain, Yohana berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain daripada mengusung Citra mencari rezeki.

"Tiada siapa yang boleh menjaganya di rumah. Ketika suami menganggur pun bukannya boleh diharap.

"Jadi, lebih baik saya bawa dia bekerja. Sekurang-kurangnya dapat juga pendapatan kerana Citra juga sudah layak dikira sebagai 'penumpang tumpangan'. Adanya Citra saya dapat pendapatan berganda," jelas wanita itu dalam reaksi selamba.

Mendengar pengalaman permulaan Yohana dalam profesion Joki 3 in 1 menarik perhatian penulis terhadap betapa adanya manusia tidak pernah mahu berkongsi rezeki dengan orang lain.

Kata Yohana, tiga tahun lalu, dia sering melihat rakan-rakan yang tinggal di kejiranan rumah sewanya keluar mencari rezeki pada pukul 6.30 pagi dan sudah berada di rumah menjelang pukul 11 pagi.

Pada sebelah petang, rutin yang sama dilakukan mereka tanpa mahu berkongsi apa jenis pekerjaan yang dilakukan teman-teman.

Meskipun sering ditanya berkali-kali, tidak ada sesiapa teman-temannya yang bersedia bercerita.

Situasi itu menyebabkan Yohana tertanya-tanya dalam hati. Didorong oleh perasaan ingin tahu, dia akhirnya memberanikan diri mengikut teman-temannya dari belakang tanpa pengetahuan mereka.

"Sehinggalah tiba di pinggir jalan berdekatan Hotel Mulia saya melihat kawan-kawan saya berdiri dan menunjukkan jari telunjuk.

"Pada ketika itu baru saya menyedari kerja mereka ialah menumpang kenderaan orang ramai. Tugas itu saya fikir sangat mudah dan saya turut memberanikan diri melakukannya," jelas Yohana yang mengakui pada awalnya dia amat takut untuk melakukan tugas Joki 3 in 1.

Ketakutan yang dirasakan ketika itu disebabkan dia tidak ada pengalaman serta tidak mengetahui skop kerjanya.

Namun, dia memberanikan diri dengan hanya duduk dalam kereta sebaik ada kereta yang berhenti di depannya.

Bahkan, Yohana juga tidak pernah membuka mulut bertanya berapa bayaran yang harus dikenakan ke atas mereka yang menggunakan khidmatnya.

"Tahu-tahu sahaja saya sudah sampai ke destinasi dan dibayar Rupiah 20,000 oleh pemandu. Jumlah itu cukup besar kerana ia boleh menampung kehidupan saya," ujarnya sambil menjelaskan sebaik sampai di destinasi di luar jalur 3 in 1 dia akan menaik bas awam untuk kembali ke lokasi di mana tugasnya bermula.

Modal Yohana hanyalah kekuatan fizikal dan mental untuk mengais Rupiah bagi membantu meringankan beban suaminya menguruskan belanja rumah tangga mereka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.