VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
AGROBIZ

ARKIB : 12/03/2012

Koleksi herba di Taman Botani Negara


KESEMUA koleksi pokok herba di taman ini dihias dengan bahan-bahan terpakai seperti tayar dan kayu-kayu lama.


ANDA mungkin terkejut apabila mendapat tahu tumbuhan hiasan yang selama ini ditanam di kawasan rumah sebenarnya adalah pokok herba yang kaya dengan pelbagai khasiat.

Itu antara respons daripada para pengunjung Taman Koleksi Herba yang merupakan tarikan terbaru di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA).

Mula dibuka sejak awal tahun 2011, taman herba tersebut kini mempunyai lebih 130 koleksi tumbuhan herba tempatan.

Menurut Ketua Unit Teknologi Pertanian TBNSA, Muhammad Ajis Muhammad, kesemua pokok herba itu diperolehi hasil usaha pencarian yang dijalankannya kawasan hutan berhampiran.

''Ketika dilantik menerajui jawatan ini dahulu, saya tidak mempunyai sebarang perancangan projek khusus sehingga timbul idea untuk membangunkan taman ini.

''Selain mencari sendiri sumber pokok herba, ada juga pengunjung taman yang terdiri daripada bidan, bomoh serta pengamal perubatan Cina turut memberi sumbangan baka tumbuhan dan berkongsi maklumat tentang spesies-spesies yang mereka kenali.

''Untuk memberi kefahaman kepada pengunjung pula, setiap spesies pokok herba ini tersedia bersama paparan penerangan nama saintifik, nama panggilan, khasiat kesihatan serta teknik penyediaan,'' katanya ketika ditemui di taman tersebut baru-baru ini.

Antara jenis herba yang ditanam adalah seperti Kucing Galak, Belalai Gajah, Tenggek Burung, Terung Pipit, Selasih Hitam, Putarwali, Haba Neraka, Gandarusa Hitam, Hempedu Bumi dan Sambung Nyawa.

Muhammad Ajis memberitahu, pembangunan taman seluas satu ekar itu sebenarnya bermatlamat mendokumenkan semua informasi berkaitan herba secara lebih teratur.

Ini kerana, orang dahulu memang mempunyai banyak pengetahuan dan maklumat mengenai tumbuhan herba tetapi mereka tidak merekodkannya.

''Kita ingin memberitahu masyarakat bahawa Malaysia mempunyai banyak sumber herba yang boleh digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit,'' jelasnya.

Daripada segi susunan landskap, pokok-pokok herba berkenaan ditanam dalam barisan secara memanjang dengan dipisahkan oleh laluan pengunjung.

Sesuatu yang menarik perhatian, kesemua hiasan pada taman berkenaan di bina daripada bahan terbuang seperti kayu-kayu terpakai, pasu dan tayar lama.

Untuk tujuan penyiraman tanaman pula, Muhammad Ajis telah mencipta sistem paip automatik yang akan menyiram setiap 30 minit dengan penggunaan kuasa paling rendah.

Kos penyelenggaraan juga menjadi minimum apabila dia hanya menggunakan najis kuda daripada taman haiwan berhampiran untuk tujuan pembajaan dan tidak menggunakan baja kimia.

''Di Malaysia, saya telah mengenalpasti lebih 700 spesies tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat kesihatan.

''Jadi, menjelang penghujung tahun ini, saya bercadang untuk menanam kesemua spesies tersebut di taman ini dengan keluasan maksimum sehingga enam hektar,'' ujarnya yang dibantu oleh tiga orang kakitangan.

Bagi mendapatkan kepastian mengenai setiap nama dan khasiat spesies tertentu, Muhammad Ajis ada bekerjasama dengan pihak Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) selain membuat rujukan daripada buku-buku dan juga Internet.

Selain maklumat, dia turut mempelajari tentang teknik penanaman dan penjagaan pokok-pokok tersebut supaya dapat membiak dengan lebih sempurna.

Di samping pengunjung biasa, taman itu turut dilawati oleh para pelajar universiti dan organisasi yang ingin membuat kajian.

''Di sini, kita tidak menjual baka pokok herba kepada pengunjung sebaliknya aktiviti pembiakan ini lebih bermatlamat memberi pendedahan maklumat kepada para pengunjung dan juga penyelidik,'' katanya.

Pada masa hadapan, dia bercadang untuk mempelbagaikan lagi tanaman di kawasan sekitar taman tersebut melibatkan tumbuhan fertigasi seperti anggur dan juga cendawan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.