VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
REKREASI

ARKIB : 10/03/2012

Menjejak Air Terjun Perlus


AIR Terjun Perlus terletak di dalam belantara berdekatan Empangan Pangsun, Hulu Langat, Selangor.


AIR Terjun Perlus, satu lagi lokasi tarikan peminat aktiviti rekreasi dan pencinta alam, khususnya penggemar aktiviti merentas dan menjelajah hutan.

Terletak di kawasan belantara berhampiran Empangan Pangsun, Hulu Langat, Selangor, lokasi air terjun ini jarang dikunjungi orang awam berikutan kedudukannya yang jauh dari jalan raya dan terpencil.

Biasanya orang awam lebih gemar mengunjungi air terjun yang lokasinya tidak jauh dari jalan raya berturap, selain mempunyai kemudahan asas seperti tandas. Misalnya, lokasi air terjun yang menjadi kawasan tumpuan awam adalah Air Terjun Sungai Gabai, Hutan Lipur Sungai Congkak, Air Terjun Sungai Tekala atau jeram di sekitar Hulu Yam, Selangor.

Untuk menjejaki Air Terjun Perlus, seseorang perlu menempuh laluan hutan hampir tiga jam. Ini membuatkan hanya penggemar rekreasi luar yang agak lasak sahaja mampu tiba di air berkenaan.

Penulis antara mereka yang berpeluang beriadah di Air Terjun Perlus. Baru-baru ini, penulis bersama sekumpulan penggiat rekreasi alam yang disertai 10 orang berjaya menjejaki air terjun yang cantik ini. Penerokaan kami ke air terjun itu diketuai oleh seorang pemandu arah, Anas Faris, 42. Kami bersama-samanya melakukan perjalanan santai ke air terjun tersebut tanpa masalah.

Perjalanan kami bermula pada pukul 10 pagi dari pekan Batu 18 di Hulu Langat menuju ke Kampung Orang Asli Gabai. Terdapat beberapa keluarga dan kelompok Orang Asli yang berketurunan suku kaum Temuan tinggal di perkampungan tersebut.

Setibanya kami di sana, kami melapor diri dan ‘mendaftar masuk’ ke air terjun di rumah Tok Batin dan salah seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) yang dilantik penduduk bagi memantau aktiviti kemasukan pengunjung ke lokasi air terjun itu. Ia dilakukan kerana setiap pengunjung perlu menempuh kawasan perkampungan dan kebun mereka.

Salah seorang penduduk Orang Asli di situ menasihati kami supaya sentiasa bergerak secara berkumpulan dan peka dengan keadaan persekitaran kerana katanya, penduduk kampung pernah terserempak dengan beberapa ekor beruang matahari (sun bear) di kawasan yang akan kami lalui.

Dengan menggalas beg yang mencecah hampir 15 kilogram, kami memulakan langkah menuju ke Air Terjun Perlus. Perjalanan kami pada mulanya agak mudah dengan menempuh kawasan kebun milik penduduk Orang Asli di situ. Selepas menempuh kawasan kebun, kami kemudiannya memasuki kawasan hutan yang didominasi pepohon buluh yang merimbun.

Pada salah satu rimbunan buluh yang kami tempuhi, kami terserempak dengan seorang penduduk Orang Asli sedang mengambil rebung. Tidak pula penulis bertanyakan sama ada rebung itu untuk dijual di pekan berdekatan atau dimakan untuk seisi keluarganya. Dalam kalangan orang Melayu, rebung sangat sedap jika dibuat gulai lemak cili padi.

Perjalanan diteruskan sehingga kami tiba di sebuah kawasan berpaya yang terletak di bahagian kiri dan kanan laluan kami. Setelah hampir dua jam berjalan, kami berehat sebentar di salah satu persimpangan denai hutan yang menuju ke Air Terjun Perlus dan Empangan Pangsun. Sebuah empangan untuk bekalan air minuman telah dibina di hulu Sungai Langat yang dinamakan empangan Sungai Langat atau Empangan Pangsun.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan dengan mendaki sebuah anak bukit. Setibanya di puncak bukit itu, kami berehat seketika untuk menghilangkan penat sambil mengesat peluh yang membasahi pakaian. Terdapat pemandangan indah yang boleh dilihat dari puncak bukit ini. Kami disajikan dengan pemandangan menghijau sekitar Empangan Pangsun dan kawasan yang berhampirannya.

Perjalanan diteruskan dengan melalui denai yang agak semak ditumbuhi pokok paku resam yang tumbuh hampir separas dada orang dewasa. Adakalanya kami terpaksa menebas bagi memudahkan perjalanan.

Setelah hampir tiga jam berjalan, kami akhirnya tiba di tapak perkhemahan yang terletak berhampiran Air Terjun Perlus. Terdapat beberapa kawasan perkhemahan yang agak luas dan sesuai untuk kumpulan yang ramai bermalam di situ. Kami memilih untuk berkhemah di kawasan yang terletak di tepi sebuah sungai yang mengalir dari kawasan air terjun.

Kedengaran bunyi deruan air terjun yang mengalir deras membuatkan kami tidak sabar untuk melihat dan merasai airnya yang dingin.

Setelah selesai memasang peralatan perkhemahan, kami beramai-ramai mencecah gigi air di kolam yang terdapat di air terjun itu.

Terdapat sebuah kolam semula jadi yang terbentuk dan sesuai untuk aksi ‘terjun tiruk’. Sungguh mempesonakan pemandangan di sekitar kawasan air terjun ini. Kami berendam dan berenang dengan sepuas hati di kolam ini.

Salah seorang peserta tidak melepaskan peluang untuk melakukan pelbagai gaya terjun dan berenang.

Setelah puas bermandi manda di kolam, kami kembali semula ke tapak perkhemahan. Penulis bersama seorang rakan yang juga merupakan ketua program, Shahrizan Rosdi, 30, mencuba nasib untuk mendaratkan ikan dengan memasang joran di sungai ini.

Ternyata setelah lama dan sabar menunggu joran mengena, kami akhirnya mendapat hasil tangkapan iaitu beberapa spesies ikan air tawar yang menghuni sungai ini seperti tengas dan keli bunga. Terdapat juga beberapa ekor udang yang berkeliaran di sekitar gigi air sungai dan kawasan air terjun ini pada waktu malam.

Malam berlalu, berbekalkan sinaran lampu LED, kami memasak juadah makan malam dan hasil tangkapan memancing untuk dinikmati bersama-sama rakan yang lain. Selesai makan malam, kami berehat dan berbual kosong sebelum lena dibuai kesejukan malam dalam rimba yang mendamaikan.

Keesokan paginya, setelah bersarapan, kami sekali lagi mandi-manda di kolam tersebut. Kedinginan air kolam pada waktu pagi menyerap sehingga ke dalam tubuh. Setelah puas mandi, kami mula berkemas untuk meninggalkan kawasan perkhemahan dan memulakan perjalanan pulang.

Kepuasan yang dinikmati di Air Terjun Perlus ini jelas terpancar pada setiap wajah peserta.

Pengalaman berkelah dan memancing di Air Terjun Perlus akan sentiasa terpahat dalam ingatan dan kami bercadang untuk kembali lagi ke air terjun ini bersama rakan-rakan yang lain pula.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.