VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 26/02/2012

Surat Akujanji

BULAN tersenyum indah di dada langit. Angin membisu seribu bahasa. Menjelang musim kemarau begitu memagar suasana keselesaan. Hawa agak panas dan membingitkan.

Merimaskan perasaannya. Petang tadi anak sulung dan menantunya pulang. Kepulangan yang mendebarkan hatinya, menggusarkan sukmanya, pun hati dan sukma isterinya, Mak Salmah.

Pak Rahmat turun ke beranda rumahnya untuk merehatkan badan. Dia membawa secelepa tembakau, seberkas rokok daun nipah dan sekotak mancis. Keselesaan hidup seorang pesara, seperti dirinya jua. Tubuhnya disalut baju panas cap Pagoda, berkain pelekat cap Gajah Duduk.

Dia melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang yang terhampar di situ. Tuala kecil tersangkut di bahunya. Itulah identitinya, seorang pesara guru, juga seorang penulis menjangkau umur tujuh puluhan, namun tubuhnya masih segar. Mungkin hikmah riadah dari kebunnya.

Matanya menjamah permukaan bulan di angkasa. Betapa cahaya itu memesrakan sukmanya.

“Hm! Panas juga malam-malam begini bang,” tegur Mak Salmah, sambil membawa raga yang bertangkal, bekas sirih pinangnya.

“Apa dah jadi dengan budak-budak kita tu ha?" tanya Mak Salmah.

Pertanyaan itu mencuit hatinya. “Hal itulah yang aku fikir-fikirkan ni,” sela Pak Rahmat sambil menghisap rokok daun nipahnya.

Tengah hari tadi, ketika dia pulang dari kebun, kereta Mitsubishi Triton kepunyaan anak sulungnya Rashid, terbujur di hadapan rumahnya. Kereta itulah digunakan untuk mengangkut barangan pengantin syarikatnya.

“Ayah, tolonglah kami,” rayu Rashid setelah mereka makan tengah hari di rumahnya.

“Lihat gambar ini,” kata isteri Rashid, Rohana sambil menghulurkan lembaran akhbar.

“Rizuan?" Pak Rahmat begitu terperanjat.

“Cuba kamu berdua terangkan apa sebenarnya Rizuan lakukan?" desak Pak Rahmat. Dia benar-benar berharap, merungkai sebuah pengharapan.

Rashid dan Rohana berpandang-pandangan. Perasaan sedih, khuatir, bimbang, dan malu, meramas perasaan mereka.

“Mereka adakan pesta liar di bangunan itu. Minum arak, menari, bercumbu-cumbuan, main judi, pada malam tahun baru yang lepas, ayah!" Rashid berusaha menerangkan tragedi itu.

“Apa yang patut kita lakukan?" tiba-tiba terpancut pertanyaan itu di bibir Pak Rahmat.

“Boleh jadi ayah dapat lakukan sesuatu, bukankah Rizuan itu amat akrab dengan ayah? Ketika kami pulang hari raya dulu, dia pernah memujuk ayah belikan sebuah kereta untuknya. Dia amat berminat dengan kereta. Kami memang tak mampu nak beli,” begitu pula luahan rasa hati anak sulungnya itu.

Ya, cucunya itu amat berminat dengan kereta. Ketika pulang berhari raya dulu dia menggosok-gosok kereta Kancil kepunyaan datuknya untuk berulang-alik ke pasar, digunakan juga untuk memancing, hobi dan riadahnya.

“Kamu pulanglah dulu, selesaikan kes anak kamu berdua tu. Lepaskan dia dari kurungan, nanti ayah fikirkan jalan penyelesaiannya,” demikian Pak Rahmat membuat pengakuan.

“Macammana kita nak tolong anak dan menantu kita tu, bang?" pertanyaan itu menyedarkan lamunan Pak Rahmat. Dia menoleh ke arah Mak Salmah.

“Apa kata kamu jika kita tolong belikan sebuah kereta untuk Si Rizuan tu? Kata Rashid, cucu kita itu saja yang berulang alik ke kolejnya tidak menggunakan kereta.”

“Eh! Eh! Abang nak belikan kereta pula kepada budak tu? Kalau pakai kereta tentulah lebih ganas lagi dia. Belajar entah ke mana. Berfoya-foya ke sana, berfoya ke sini!" suatu pendapat yang amat membimbangkan Mak Salmah. Garis-garis kegusaran mencalarkan hatinya.

“Kita cuba tolong anak dan menantu kita tu dengan psikologi. Kamu tahu, apa tu psikologi ha?" Pak Rahmat cuba menguji isterinya.

“Saya juga bekas guru, bang. Masa mengajar dulu, banyak sekali saya gunakan falsafah dan psikologi tu,” tindas Mak Salmah.

“Ha! Tau pun kamu. Kalau kamu dah amalkan falsafah pendidikan dan psikologi tu, cuba kita gunakan pula kepada cucu kita. Mudah-mudahan usaha murni kita ini diberkati Allah,” tegas Pak Rahmat.

Mak Salmah mengangguk-angguk sambil mengunyah sirih dan pinang di mulutnya. Mantan guru itu gemar mengunyah pinang kerana semenjak kecil tinggal bersama-sama datuknya.

Esoknya, ketika matahari mencecah ubun-ubun bukit Chuping, ketika burung putih berlegar-legar di permukaan sungai di belakang rumahnya, sekitar jam delapan pagi, Pak Rahmat menelefon anaknya.

“Aku dan emak kamu tu dah dapat satu ilmu nak pujuk Rizuan tu,” jelas Pak Rahmat menerusi telefon.

Kehairanan

“Ilmu? Ilmu apa tu, ayah?" nada anaknya dipagut kehairanan.

“Kami nak beli kereta untuk Rizuan. Kamu setuju?" dia menguji anaknya.

“Nak beli kereta untuk Rizuan?...” lama benar anaknya terdiam, seperti terputus hubungan telefon.

“Eh! Kamu berdua setuju?" ulangnya, agak kegelisahan.

“Kami khuatir, ayah. Rizuan salah gunakan kereta tu.”

“Kami akan gunakan ilmu yang ayah katakan tadi. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kita nanti.”

“Ilmu apa, ayah?" desak anaknya. Dia benar-benar ingin tahu.

“Ilmu psikologi.”

“Psikologi?"

“Kita buat surat aku janji. Surat tu ayah sediakan. Nanti ayah e-mel kepada kamu berdua. Lepas itu kamu ubahsuai mana yang perlu. Ok?" dan dia amat mengharapkan anaknya bersetuju. Zaman gerbang maya terbuka luas kini, perhubungan begitu amat senang dilunasi.

“Hm! ... kalau begitu, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan, ayah!"

“Berseloka pula kamu, ha?"

“Kami amat hargai ingatan baik ayah dan emak. Harap-harap anak kami tak lagi menumpang kereta kawan-kawannya ke kolej tu,” jelas anaknya secara jujur dan ikhlas.

“Baiklah, ayah e-mailkan surat akujanji itu dulu. Lepas tu baru ayah kirimkan wang untuk beli kereta. Carilah sebuah kereta terpakai berharga antara sepuluh hingga dua belas ribu ringgit. Kereta kecil sudahlah. Ha macam mana?"

“Kami setuju. Insyaallah akan kami tinjau kereta tu dulu,” tegas Rashid.

Selaku seorang penulis, dia akan pergunakan sedikit wang ganjaran persaraannya di samping royalti hasil penulisan yang terkumpul rapi dalam ASB. Setahun dia menerima dividen delapan hingga sepuluh ribu ringgit. Sedikit biaya untuk kebaikan seorang cucu, darah dagingnya sendiri apa salahnya, begitu pendiriannya.

Termeterailah sepucuk surat akujanji disediakan oleh Pak Rahmat.

Kandungannya sedemikian rupa:

SURAT AKUJANJI MENGGUNAKAN KERETA

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

l Bila ada kereta, Rizuan mesti belajar bersungguh-sungguh - sebagai kemudahan berulang-alik ke kolej, meringankan beban abah dan mama mengambil dan menghantarkan Rizuan ke kolej.

l Pelajaran sewajarnya semakin baik - Tokwan akan pantau prestasi pembelajaran Rizuan dari masa ke semasa. Jika semakin merosot, kerana menyalahgunakan kereta tersebut, Tokwan terpaksa tarik balik kereta itu.

l Pergunakanlah kereta itu sebaik-baiknya - bukan untuk berpeleseran dan berfoya-foya.

l Keselamatan - perlu benar Rizuan memandu dan mematuhi peraturan jalan raya.

l Amal ibadat jangan ditinggalkan - Allah SWT sentiasa melihat apa yang kita lakukan.

“Hm bagaimana Salmah, kamu setuju?" begitu suara Pak Rahmat setelah menyerahkan surat aku janji kepada isterinya.

Mak Salmah menggunakan kaca mata dan menelitinya. Senyuman menguntum di bibirnya. “Saya setuju, bang.”

Tiba-tiba telefon bimbit Nokia E63, sumbangan anak sulungnya jua, berbunyi irama Nokia di atas meja tulisnya. Segera dia menyambut panggilan itu.

“Rashid? Ha, ada apa?"

“Kereta terpakai tu dah kami dapat di pusat jualan kereta di Kepong. Jenis Hyundai Atos. Harga dua belas ribu lima ratus, termasuk cukai jalan dan proses pendaftaran,” jelas Rashid.

Seperti yang diduga di samping usaha yang jitu, kereta tersebut berjaya dibawa pulang, hari itu juga.

“Lihat ayah, itu keretanya,” Rashid mengirim mesej bergambar kepada Pak Rahmat.

“Eh! Cantik juga kereta untuk cucu kita tu, Salmah,” seru Pak Rahmat sambil menghulurkan telefon bimbit kepada isterinya. Mak Salmah melihat gambar sebuah kereta pada skrin telefon tersebut. Kereta berwarna biru muda.

“Aku nak telefon Rashid. Ada tiga perkara yang hendak aku minta,” bicara Pak Rahmat untuk memantapkan surat akujanji cucunya itu.

Dia mendail nombor telefon Rashid, ketika itu juga dia menerima jawapan.

“Ada apa ayah?" tanya anaknya.

“Ayah minta kamu ambil tiga keping gambar, kemudian kirim pada ayah melalui telefon bimbit.”

“Gambar apa, ayah?"

“Pertama gambar Rizuan menandatangani surat aku janji. Kedua, gambar dia menerima kunci kereta. Ketiga, gambar dia mula memandu kereta tu. Boleh?"

“Boleh ayah, nanti kami kirimkan gambar-gambar tu,” tegas Rashid.

Pak Rahmat tersenyum. “Ha! Sebentar lagi kita akan tengok gambar-gambar tu, Salmah,” katanya sambil menggulung rokok daun nipah.

“Saya nak ke dapur, goreng pisang yang tergantung di dapur rumah kita tu,” ujar Mak Salmah pula.

Gambar

Ketika Mak Salmah goreng pisang di dapur, Pak Rahmat menerima satu demi satu mesej bergambar daripada Rashid. Dia meneliti gambar itu dengan penuh pengharapan, “Semoga cucu kesayangan aku itu berubah laku hendaknya,” begitu pengharapan seorang Tukwan.

Sambil minum petang, kopi O bersama goreng pisang, dia menunjuk gambar-gambar itu kepada Mak Salmah.

Pagi itu bandar raya kosmopolitan bermandikan cahaya matahari, diseliputi asap kenderaan yang berjajaran di jalan raya. Ketika itu jua Rizuan sudah bersiap dalam kamar tidurnya. Dia nekad untuk melunasi keazaman dan impiannya. Lantas dia menggalas beg berisi pakaian, segera melangkah turun ke tingkat bawah.

“Abah, mama, maafkan Rizuan,” ujarnya sambil bersalaman dan mencium tangan kedua ibu bapanya.

Rashid dan Rohana ternganga. Amat terperanjat.

“Eh! Kamu hendak ke mana?" tanya Rashid, kebimbangan mencuit perasaannya.

“Rizuan nak pergi ke rumah Tokwan ...” hanya serangkai kata-kata itu diucapkannya. Dia tahu abah dan mamanya kesibukan. Lantas dia mengenderai kereta Hyundai Atos yang terletak di seberang jalan, berhadapan kawasan rumah mereka. Kereta itu terus berlalu dari situ.

Rizuan mengenderai Hyundai Atos dengan penuh ketenangan, pun dengan seribu pengharapan. Dia memiliki lesen memandu dan sering menggunakan kereta ayahnya dan kereta-kereta rakannya.

Semalaman dia teruja setelah menandatangani surat akujanji. Suatu rakaman kesedaran dan keinsafan dalam sanubarinya. Seperti terakamnya sebuah gambar dalam kamera, rakaman yang kekal, bisa dilahirkan realitinya. Rakaman itulah bekalannya mengenderai kenderaan yang baru diterimanya menuju ke destinasi, nun jauh di utara.

Delapan jam dia mengenderai, cuma dua kali berhenti melepaskan penat dan dahaga. Akhirnya tibalah dia di rumah Tukwan dan datuknya. Dia berhenti di halaman rumah tanpa seseorang yang dilihatnya. Dia menuju ke belakang rumah, melihat datuknya berada di dapur. “Assalamualaikum, Tuk,” serunya.

Orang tua itu tercengang. Dia sedang mengadun serbuk pekasam ikan puyu. “Eh! Rizuan? ...” jeritnya. Segera membersihkan tangannya.

Rizuan melangkah masuk, bersalaman dan mencium tangan datuknya.

“Rizuan nak jumpa Tokwan.”

“Pagi-pagi lagi Tokwan pergi ke kebun,” jelas Mak Salmah.

“Rizuan pergi ke kebun nak jumpa Tukwan,” segera pula dia berlalu mengenderai keretanya.

Kebun kerehatan kepunyaan Pak Rahmat tidak begitu jauh dari rumahnya, kira-kira lima ratus meter.

“Tokwan..” laung Rizuan apabila melihat orang tua itu sedang membersihkan kebunnya.

Pak Rahmat mendongak. “Eh! Rizuan? ...” kaget dan kehairanan. Rizuan terus meluru ke arah Pak Rahmat. Dia memeluk orang tua itu erat-erat. Sebilah parang jatuh dari tangannya. Dia turut memeluk cucunya itu pula erat-erat. Keduanya sepi. Burung putih terbang berlegar-legar dalam kebun Pak Rahmat.

“Rizuan balik nak ucap terima kasih kepada Tokwan,” dia memegang tangan Pak Rahmat dan menciumnya penuh kemesraan.

“Rizuan ucap terima kasih kerana Tukwan beli kereta tu?" duga Pak Rahmat.

“Kereta tu nombor dua, Tukwan. Tapi yang pertama apabila Rizuan baca surat akujanji, menyedarkan Rizuan untuk belajar bersungguh-sungguh dan menghormati pengorbanan Tukwan dan kedua ibu bapa Rizuan,” jelasnya. Keinsafan membalut hatinya.

“Syukur alhamdulillah. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati usaha Tokwan,” ujar Pak Rahmat. Kepuasan menyelinap ke lubuk hatinya pula.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.