VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Ogos 2014 / 6 Syawal 1435  
  Carian Arkib
SELATAN

ARKIB : 24/02/2012

Sungai Rambai berubah wajah


Ketua Menteri, Mohd. Ali Rustam menyaksikan pertunjukan akrobatik pesawat jenis Extra 300L pada Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai di Kampung Tasek Jasin, Melaka.


JASIN 23 Feb. - Kampung Sungai Rambai yang terletak di Selatan negeri ini melalui jalan utama Melaka-Muar melalui Lebuh AMJ sejauh 32 kilometer dulunya hanyalah sebuah penempatan kecil.

Dipercayai kampung ini mula didiami sejak awal 1800-an dan penduduk asalnya dari Kampung Tedong, Kampung Serkam dan Kampung Kesang, Muar, Johor.

Kampung Sungai Rambai mendapat nama daripada sebatang pokok rambai yang besar tumbuh di antara Kuala Parit Penghulu dan Parit Sidang Seman dan orang yang bertanggungjawab menamakan Kampung Sungai Rambai ialah Penghulu Dualim pada 1880.

Kini, landskap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai sudah banyak berubah.

Dari sebuah penempatan kecil ia kini membangun pesat dengan banyak infrastruktur dan kemudahan awam menjadikan ia setanding dengan daerah lain di negeri ini.

Sejak kepimpinan diterajui Barisan Nasional (BN) sejak dulu hingga kini, daerah itu berubah mengikut arus peredaran zaman.

Pekan lama Sungai Rambai pula bakal berubah wajah tidak lama lagi apabila ia dinaik taraf menggantikan premis-premis bangunan papan digantikan dengan baru selain menyediakan pelbagai kemudahan awam.

Projek naik taraf itu akan dibangunkan oleh Yayasan Melaka menerusi peruntukan sebanyak RM7 juta dan ia sekali gus menjadikan Pekan Sungai Rambai berwajah baru.

Sungai Rambai mempunyai segala kemudahan asas seperti sekolah, balai raya, klinik kesihatan, balai polis dan sebagainya dinikmati oleh lebih 17,730 orang penduduknya yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India.

DUN tersebut terbahagi kepada empat mukim iaitu Mukim Sungai Rambai, Sebatu, Semujok dan Merlimau dan ditadbir oleh lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

DUN Sungai Rambai mempunyai keluasan tanah seluas 9,214 hektar yang mana 7.218 hektar adalah kawasan pertanian seperti dusun buah-buahan, getah, kelapa sawit, sawah padi, kelapa, pisang dan ternakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman banyak memainkan peranan penting untuk membangunkan daerah itu.

Dari sebuah daerah yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan penduduknya, kini sektor pelancongan semakin berkembang pesat mempopularkan kawasan tersebut.

Satu demi satu produk pelancongan mula berkembang di DUN tersebut walaupun ia berasaskan alam semula jadi yang terdapat di situ.

Inap desa di Parit Penghulu cukup popular dalam kalangan pelancong dari luar negara selain namanya turut terpahat dalam kalendar Pelancongan Malaysia.

Saban masa pelancong dari Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, England dan sebagainya menjadikan inap desa di sini sebagai destinasi untuk menikmati kehidupan kampung dan merasai kehidupan masyarakat Melayu.


PEMANDANGAN indah di Tebingan Sungai Rambai di Laman Belia 1Malaysia sentiasa menggamit kehadiran pengunjung.


Pada 2009, seramai 92 belia dari 53 negara Komanwel berkampung selama tiga hari di situ yang sekali gus melonjakkan nama Sungai Rambai di peta pelancongan.

Selain itu, Lapangan Terbang Microlight di Kampung Tasek menjadi salah satu mercu tanda apabila setiap tahun menganjurkan Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai.

Pertunjukan udara menerusi pelbagai pesawat seperti Eagle, Cesna, Christaine Eagle, Extra 300, Microlight dan Paramotor jelas menarik minat penduduk di situ.

Sungai Rambai River Cruise menjadi produk pelancongan terbaru diperkenalkan di kawasan tersebut dan menjadikan daerah itu turut dikunjungi orang ramai pada cuti hujung minggu atau cuti umum.

Jika menaiki bot Melaka River Cruise di Taman Rempah, anda akan berpeluang menikmati pemandangan bangunan-bangunan sejarah.

Namun, dengan menggunakan perkhidmatan Sungai Rambai River Cruise, pengunjung berpeluang menikmati hutan paya bakau daripada pelbagai spesies.

Dengan menaiki Sungai Rambai River Cruise, orang ramai berpeluang menikmati suasana kampung dan menyaksikan flora serta fauna di samping hutan paya bakau yang unik di sepanjang laluan tersebut.

Di samping itu, Laman Belia Satu Malaysia pula menjadi mercu tanda terbaru untuk masyarakat di DUN tersebut berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti.

Laman tersebut dibangunkan dengan pelbagai kemudahan seperti tempat duduk, restoran, jambatan gantung, gelanggang futsal, berkayak, pentas hiburan selain dihiasi landskap yang menarik perhatian.

Selain itu, Sungai Rambai Agrotourism Park yang terletak di Batu Gajah Pasir pula menjadi destinasi pelancongan berasaskan ternakan kerana di kawasan seluas 38 hektar itu diternak rusa, lembu bali, lembu trust, kambing trust dan premis burung walet.

Menerusi peruntukan RM3.8 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ia akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan lagi seperti pembinaan chalet, inap desa, restoran, surau, pusat kraftangan, tanaman buah-buahan, herba dan kolam ikan.

Bagi menambah pendapatan penduduk di DUN Sungai Rambai, projek ternakan udang yang terbengkalai kini dibangunkan semula di Sebatu.

Terdapat 15 kolam ternakan udang yang sudah beroperasi, tambahan 20 lagi kolam menerusi peruntukan sebanyak RM5 juta sedang dilaksanakan di kawasan tersebut.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.