VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 30/01/2012

Persamaan Tiz, Aeril, Bob


CINTA kura-Kura merupakan filem yang pertama menggabungkan tiga pelakon ini.


CINTA Kura-Kura bukan setakat sebuah filem terbitan KRU Studios semata-mata. Ia merupakan filem terbaru lakonan Tiz Zaqyah, Aeril Zafril dan Bob (Akademi Fantasia). Filem romantik komedi itu mempunyai persamaan buat tiga pelakon pelapis terbabit.

Ini kerana, Cinta Kura-Kura adalah filem kedua lakonan Tiz, Aeril dan Bob. Pada masa sama, filem arahan Nizam Zakaria itu pula yang pertama kali menggabungkan mereka dalam sebuah filem sejak terbabit dalam bidang perfileman tanah air.

Tiz yang melakonkan watak Nani dalam Cinta Kura-Kura tidak menduga dipertemukan dengan Aeril dan Bob buat pertama kali kerana sebelum ini dia hanya mengikuti dari jauh perkembangan dua jejaka yang digandingkan bersamanya itu.

"Kami hanya mendapat tahu akan digandingkan dalam sebuah filem daripada pihak KRU Studios dua minggu sebelum penggambaran filem ini dijalankan. Sebelum ini kami tidak pernah berlakon drama atau filem bersama-sama.

"Dalam tempoh dua minggu itulah kami menghafal skrip dan menghayati watak masing-masing sebelum bertemu di lokasi penggambaran Cinta Kura-Kura. Di situlah kami mula rapat dan bekerjasama bagi menjayakan filem itu sehinggalah penggambaran tamat.

"Apa pun secara kebetulan, ini adalah filem kedua kami tetapi ia pertama kali menggabungkan kami dalam sebuah filem dalam genre komedi romantik," katanya selepas sesi fotografi di Hotel Palm Garden, Putrajaya baru-baru ini.

Sebelum Cinta Kura-Kura, Tiz telah berlakon dalam filem pertamanya berjudul Nur Kasih The Movie yang dihasilkan ekoran sambutan hangat daripada drama bersiri Nur Kasih yang telah disiarkan di saluran TV3 beberapa tahun yang lalu.

Jelas Tiz, Cinta Kura-Kura bukan sahaja filem kedua lakonannya sejak dia bergelar pelakon, malah ia juga jauh berbeza dengan Nur Kasih The Movie yang berada dalam genre drama berat berbanding filem terbarunya itu.

"Watak Nani dalam Cinta Kura-Kura agak ringan, begitu juga dengan jalan ceritanya. Watak Nani tidak memerlukan penghayatan dan emosi yang tinggi. Ia tidak seperti watak saya dalam Nur Kasih The Movie yang memerlukan saya menangis.

"Pembawakan watak saya juga ringkas dalam Cinta Kura-Kura iaitu sebagai seorang remaja yang menyayangi binatang. Sedangkan dalam Nur Kasih The Movie watak lakonan saya memerlukan saya bertudung," ulasnya.

Sungguhpun dua filem lakonan Tiz itu tidak sama genre tetapi dia tidak menghadapi masalah terutamanya melakonkan watak Nani dalam filem yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 1 Mac ini.

Jelas pelakon jelita ini, selain berlakon dengan seekor kura-kura dalam filem itu, dia juga sebenarnya seorang pencinta binatang peliharaan di mana ia sedikit sebanyak membantunya menghayati watak Nani.

"Saya memang sukakan binatang peliharaan. Setakat ini, saya ada membela seekor kucing dan sugar glider di rumah. Saya banyak berinteraksi contohnya dengan membelai kucing sewaktu di rumah, begitu juga dengan sugar glider.

"Secara tidak langsung ia juga memberi inspirasi dan penghayatan kerana dalam Cinta Kura-Kura watak Nani memerlukan saya seolah-olah bercakap dengan seekor kura-kura yang diberi nama Nico," ceritanya penuh semangat.

Kenal di lokasi

Aeril Zafril yang muncul dalam filem kedua lakonannya itu selepas filem Aku Tak Bodoh turut menganggap gandingannya bersama Tiz dan Bob sebagai suatu kebetulan. Namun, dia tiada masalah bergadingan dengan dua pelakon itu.

Menurut pelakon berusia 24 tahun ini, dia yang mula berkenalan dengan Tiz sewaktu penggambaran filem itu dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.

"Sewaktu berkenalan di lokasi kami terus berbincang bagi melakonkan watak masing-masing. Apatah lagi, dalam Cinta Kura-Kura watak lakonan kami adalah sebagai pasangan kekasih.

"Tiz banyak memberi idea bagaimana mahu melakonkan adegan-adegan kami berdua dalam filem itu. Selain itu, pengarah filem ini, Nizam Zakaria juga banyak memberi tunjuk ajar dan bersikap terbuka sewaktu mengarah.

"Selain Tiz, watak lakonan saya juga bercakap dengan seekor kura-kura. Ia memerlukan kami berimaginasi seolah-olah sedang berkomunikasi dengan kura-kura itu. Sebab itu saya dan Tiz selalu bertukar-tukar idea," katanya.

Jelas pelakon yang bernaung di bawah syarikat MIG Talent sejak dua tahun lalu itu, dia gembira kerana dapat mencuba watak yang tidak pernah dilakonkan, apatah lagi Cinta Kura-Kura menampilkan banyak mesej berguna.

Tambah Aeril, selepas berlakon dalam filem yang skripnya juga ditulis oleh Nizam Zakaria itu, dia semakin bersemangat untuk berlakon, malah menerima banyak tawaran berlakon daripada syarikat-syarikat produksi lain.

"Banyak pengalaman saya pelajari sewaktu berlakon dalam Cinta Kura-Kura. Filem ini mahu memberi pengajaran agar jangan memandang sebelah mata terhadap orang yang lurus bendul kerana mereka juga ada kelebihan sendiri.

"Selepas berlakon Cinta Kura-Kura yang menjalani penggambaran awal tahun lalu, saya turut menerima banyak tawaran berlakon antaranya dalam filem 7 Petala Cinta, Harga Cinta Kau Seorang dan Budak Pailang.

"Selepas ini pula, saya akan berlakon dalam filem 99 Kali Rindu. Alhamdulillah rezeki dan tawaran berlakon yang saya terima semakin banyak sejak akhir-akhir ini," ujarnya yang mengikat kontrak selama lima tahun bersama MIG Talent.

Selain Tiz, Aeril dan Bob, Cinta Kura-Kura yang menjadikan lagu Pencinta Terbaik nyanyian kumpulan Sofaz sebagai lagu tema turut menampilkan pelakon seperti Zizan Raja Lawak, Farah Fauzana dan Harun Salim Bachik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.