VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 01/01/2012

Puisi, lagu rakyat Perak di Pulau Pangkor

PULAU Pangkor bukan sahaja terkenal dengan sejarah Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 yang membawa pencerobohan Inggeris di Perak abad ke-19 tetapi terkenal sebagai destinasi pelancongan. Pulau Pangkor dipopularkan lagi dengan adanya Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2 di Pulau Pangkor pada 17 dan 18 Disember lalu.

Acara yang bermula 2010 ini menjadi acara tahunan dan tahun 2012 dijangka akan lebih hebat sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Usaha menganjurkan festival ini digerakkan oleh tokoh penulis dan sasterawan Perak Malim Ghozali PK, Institut Darul Ridzuan, Kerajaan Perak, Yayasan Kampung Karyawan Malim, DBP Wilayah Utara dan beberapa pihak lagi.

Memartabatkan puisi dan lagu rakyat merupakan usaha murni dan berwawasan jauh ke arah memasyarakatkan sastera di jiwa masyarakat.

Begitu juga penglibatan Raja Muda Perak, Raja Dr.Nazrin Shah yang merasmikan festival ini dan melancarkan kumpulan puisi Suara Pelaut karya Menteri Besar, Datuk Seri Dr.Zambry Abd.Kadir memperlihatkan kepekaan yang tinggi terhadap bidang kesusasteraan.

Pelbagai acara diadakan sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2 antaranya deklamasi puisi tokoh dan penyair terkenal dalam dan luar negara, nyanyian lagu-lagu rakyat dari dalam dan luar negara, forum berkaitan dunia puisi dan diskusi buku kumpulan puisi Suara Pelaut menghangatkan suasana festival itu.

Dr. Zambry atau nama penanya Zambry A.K mencipta sejarah tersendiri kerana muncul sebagai Menteri Besar pertama yang menerbitkan kumpulan puisi persendirian. Ini juga satu sejarah dalam kesusasteraan Malaysia.

Kumpulan puisi Suara Pelaut diterbitkan oleh Institut Darul Ridzuan dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris yang diterjemahkan oleh Malim Ghozali PK dengan judul Cries of the Fishermen. Ia diterbitkan dengan kertas yang bermutu dan dihiasi dengan gambar keindahan panorama alam Pulau Pangkor.

Kumpulan puisi ini menghimpunkan puisi yang ditulisnya sejak tahun 1978 hingga 1984 yang membicarakan pelbagai kisah suka duka penulisnya dalam hubungannya dengan manusia, alam, Tuhan serta merakamkan suara batin anak nelayan. Isu-isu ini diungkapkan dengan jujur, indah dan berseni sejajar dengan sifatnya sebagai karya kreatif.

Zambry dilahirkan di Pulau Pangkor pada 22 Mac 1962. Beliau mendapat pendidikan awal di pulau bersejarah itu seterusnya mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sitiawan sebelum lulus Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa UIAM (1987). Kemudian Zambry melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang falsafah politik dan perbandingan agama di Temple University, Amerika Syarikat (1992).

Pemikiran

Tulisan-tulisan akademiknya yang sudah diterbitkan ialah Pendidikan dan Pembangunan, 1980, Pentadbiran Perniagaan Dalam Islam 1991, dan Memperkasa Kepimpinan Untuk Masa Depan 1991. Beliau juga menghasilkan beberapa buku seperti UMNO dan Jiwa Merdeka (1998), Pemuda UMNO Menebus Maruah, Menuju Arah (2000), Islam Malaysia Dan Amerika (2002) dan menyunting buku Imbas Gemilang KBS 98(1998) terbitan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Kemunculan kumpulan puisi Suara Pelaut yang menampilkan 83 puisi ini menunjukkan minat Dr Zambry yang mendalam dalam kesusasteraan dan pemikiran kreatif untuk memajukan kesusasteraan di Perak khasnya dan Malaysia amnya.

Kumpulan puisi ini dibincangkan oleh empat orang sarjana sastera dan penulis yang melihat dan menanggapinya daripada pelbagai sudut pandangan dan pemikiran. Profesor Dr Sohaimi Abdul Aziz (USM) membincangkannya tajuk Perjuangan Anak Muda, Sentuhan Tuhan dan Pelaut Terpinggir Dalam Suara Pelaut. Prof Madya Dr Denisova Tatiana (UM) menyorot tajuk Unsur lslam Dalam Kumpulan Puisi Suara Pelaut. Mohamad Shahidan (DBP) memperkatakan tajuk Suara Pelaut: Pembicaraan Awal Sajak-sajak Zambry A.K. Manakala Mana Sikana (UPSI) membicarakan tajuk Puisi Suara Pelaut Karya Zambry A.K.

Mana Sikana dalam kertas kerjanya antara lain menyebutkan, "Perak pernah dikenal sebagai pemula dan penggerak ilmu kerana terdirinya banyak sekolah dan institut perguruan, juga tempat lahirnya beberapa tokoh ahli politik yang juga sasterawan seperti Zulkifli Muhammad, namun akhir-akhir dekad ini mitos itu sudah berguguran. Kemunculan Suara Pelaut K akan menghidupkan semula tradisi kepenyairan di kalangan pembesar negeri dalam berkarya.

Jika kita meninjau tradisi sastera masa silam, pengarang muncul di kalangan ahli pemerintah, yang melahirkan Sejarah Melayu adalah Bendahara Johor yang bernama Tun Muhammad dengan Tun Seri Lanang, pembesar Melaka yang bernama Tun Bestari yang menulis Hikayat Hang Tuah, Perdana Menteri kepada kerajaan Johor Riau penulis Tuhfat an-Nafis Raja Ali Haji. Misa Melayu pula yang menggambarkan sosiopolitik Perak abad ke-18 ditulis oleh seorang anak raja, Raja Culan."

Sempena festival ini juga diadakan pelancaran antologi puisi Pangkor 1 oleh Dr.Zambry di Dewan Puteri Bayu, Hotel Puteri Bayu, Pulau Pangkor. Antologi puisi ini menghimpunkan puisi yang dideklamasikan semasa berlangsungnya Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 1 tahun 2010.

Kesimpulannya, usaha gigih dan serius Kerajaan Perak menganjurkan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2 sewajarnya dicontohi oleh negeri-negeri lain dalam usaha menyemarakkan minat dan kecenderungan masyarakat menghargai menghargai puisi, lagu rakyat dan kesusasteraan sebagai jiwa dan hati nurani sesuatu bangsa itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.