VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Ogos 2014 / 4 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 12/12/2011

Memahami erti kasih sayang sesama manusia

DALAM diri setiap manusia, Allah SWT bekalkan dengan pelbagai jenis perasaan. Ada perasaan sayang dan ada juga perasaan benci. Dua kategori perasaan itu adalah bersifat batiniah dan wujudnya adalah di dalam hati, tetapi kesannya boleh dilihat daripada tindakan yang manusia lakukan. Salah satu perasaan yang seringkali dipersoalkan ialah kasih sayang terhadap diri, orang lain dan kehidupan.

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir menerusi suara batiniahnya juga melengkapkan maksud kasih sayang dalam perspektif interaksi dan tindakan sesama manusia dan kehidupan di sekitarnya. Sekumpulan tulisan dari 97 buah rencana terkumpul dalam Membumikan Erti Kasih Sayang dihasilkan dalam tempoh hampir dua tahun setelah dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan disiarkan hampir setiap minggu dalam Utusan Malaysia.

Pada mulanya, hanya dengan melihat tajuk kita seakan-akan terheret untuk membuat spekulasi apakah penulis cuba memberikan gambaran keinginannya untuk melihat sebuah perhubungan antara manusia berjalan dalam naungan kasih sayang?

Juga sedikit sebanyak diduga bahawa pengarang akan membawa kita menelusuri kejiwaan manusia, kerana pada saat ini kita sebenarnya sedang dipersoalkan mengenai hubungan mesra, yang kadang kala terasa kosong, kaku dan sesekali bisu dengan kata-kata.

Kita seakan-akan kehilangan makna dalam diri setelah mendengar ada tragedi seorang anak sanggup membunuh ibunya sendiri atas pelbagai sebab; seorang suami sanggup melakukan kekasaran terhadap isterinya hanya kerana masakannya kurang enak; seorang bapa sanggup membelasah anak kandungnya sendiri hanya kerana si anak tidak mendengar kata; seorang abang sanggup memperkosa adiknya sendiri kerana terpengaruh dengan desakan nafsu liar; dan yang lebih parahnya ada ahli keluarga sanggup menjual anak gadisnya untuk mendapatkan wang sebagai melunaskan hutang. Bahkan ada manusia sanggup menggadai maruah, agama dan bangsanya sendiri kerana inginkan kemenangan politik.

Semua peristiwa yang berlaku, dalam dan luar negara dalam tempoh dua tahun itu menjadi fokus perbincangan menarik sehingga memberikan kita satu kesimpulan, pengarang memangnya mempunyai deria kasih sayang yang mendalam bagi menegur, menasihati dan mengembalikan kehidupan manusia ke landasan asal, tanpa menghukum mereka secara keras atas kesilapan-kesilapan yang terdorong oleh ketamakan rasa dan kegelojohan tindakan.

Buku setebal 530 halaman ini, dibahagikan kepada enam (6) bahagian, iaitu sejarah dan peradaban (16 rencana), kesatuan akidah (9 rencana), ibadah dan kemasyarakatan (18 rencana), politik dan sosial (26 rencana), Islam dan kehidupan (14 rencana) dan kerohanian (14 rencana).

Bagaimanapun kerana ia ditulis secara berasingan, berdasarkan pandangan terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku, ada beberapa bahagian terasa perulangan, perulangan dari aspek kaedah melihat dan menilainya.

Ini tidak boleh dielakkan, kerana setiap apa yang berlaku tetap ada kaitan dan hubungan dengan peristiwa sebelumnya. Atas alasan itulah sesetengah pendapat mengatakan, ada perulangan fakta sejarah dan tidak dapat dielakkan meskipun berlaku dalam masa, tempat dan situasi yang berbeza.

Bahkan dalam hal seperti itu, pengarang tetap yakin dengan rumusan seorang sejarawan bahawa sejarah memangnya berulang, sejarah akan terus berlangsung dalam keadaan seperti itu kerana manusia sebenarnya makhluk yang sentiasa lupa. Perulangan sejarah itu adalah sebuah petunjuk adanya sifat buruk manusia, lupa akan tanggungjawab dan tidak mahu belajar daripada apa yang pernah berlaku ke atas diri manusia sendiri.

Dalam memahami hakikat kehidupan, Datuk Aziz memberikan sebuah pendapat yang bersahaja tetapi penuh tanggungjawab dengan menyatakan "Islam lebih menitik beratkan kesungguhan seseorang menzahirkan niat baiknya, dan bukan hanya sekadar menterjemahkan firman Allah SWT tetapi tidak mempraktikkannya."

Nuansa itu jika difahami secara mendalam akan memberikan satu rumusan bahawa banyak bentuk "permusuhan, persengketaan, ketegangan atau perpecahan" adalah kerana adanya pautan politik yang kuat, politik yang hanya mengiktiraf orang lain sebagai salah, kotor, jijik dan zalim sedangkan diri sendiri dalam lingkaran semuanya benar, baik, tidak berdosa dan mengamalkan kebajikan.

Kontras pemikiran tersebutlah membawa kepada pelbagai bentuk percanggahan, fahaman keterlaluan dan kejumudan minda, sebagaimana diteladani oleh banyak kisah dan peristiwa. Ada pihak hanya berinteraksi dalam kelompok yang "seirama" dengan mereka, manakala yang berlainan pandangan dinilai sebagai musuh.

Membumikan Erti Kasih Sayang ini merupakan sebuah buku yang sarat dengan idea, renungan dan analisis serius mengenai sesuatu peristiwa yang akhirnya perlukan pemahaman yang mendalam kerana tersedia jawapan yang jelas dalam pandangan Islam.

Manusia perlu menggali hikmat dan meneroka jalan secara berhemah, kerana Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai kasih sayang-Nya untuk membolehkan manusia hidup aman, harmoni dan sejahtera.

Buku ini kalaupun tidak mampu menjamin manusia kekal berkasih sayang, sekurang-kurang membuka minda manusia bagaimana untuk menerapkan nilai kasih sayang itu dalam diri, keluarga, masyarakat dan semua manusia. Bacaan menarik, mudah difahami dan ditulis dalam bahasa segar meskipun sesekali terasa ada idealistiknya.

Dengan setiap pembelian senaskhah buku ini, Yadim akan menyumbangkan RM1 bagi membantu kanak-kanak malang apabila madrasah yang menjadi tempat mereka belajar ilmu pengetahuan dan mengenali erti kasih sayang runtuh secara tiba-tiba akibat cerun bukit yang tidak diselenggara.

Ruangan kasih sayang menjadi semakin sempit, dendam dan benci cuba mendominasi kerana itulah Aziz cuba merumuskan "Jika api panas membara, ia akan terpadam oleh air. Tetapi ketika banjir sedang menggila, api tidak dapat menghalang banjir."

Maknanya, membumikan erti kasih sayang adalah penawar paling mujarab bagi setiap manusia yang cintakan keamanan, kedamaian dan ketenangan sepanjang hidupnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:26
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.