VERSI : Mobile | Akhbar Digital
31 Ogos 2014 / 5 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 13/11/2011

Agropolitan ubah nasib penduduk Pulau Seduku

Sejak 100 tahun lepas, penduduk di Pulau Seduku dekat muara Batang Lupar hanya bergantung hidup dengan hasil laut dan sungai selain menjadi pekebun kecil yang sekadar untuk menampung kehidupan harian.

Ketua Kaum Pulau Seduku Mohd Salleh Jon berkata, sebelum ini penduduk di Pulau Seduku yang majoritinya Melayu Islam berhadapan dengan banyak masalah khasnya berhubung bekalan air bersih selain masalah bekalan elektrik dan sistem perhubungan.

Penduduk kampung terpaksa bergantung hidup dengan bekalan air hujan yang ditakung menggunakan tong dan keadaan menjadi rumit ketika musim kemarau. Beliau berkata usaha kerajaan untuk memindahkan penduduk di pulau itu ke tanah besar adalah alternatif terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan berbanding kos untuk menyediakan kemudahan air bersih dari tanah besar.

Mohd Salleh berkata selepas mengadakan beberapa perbincangan dan rundingan dengan penduduk setempat mereka bersepakat untuk berpindah dari Pulau Seduku ke satu kawasan baru di tanah besar.

Atas keprihatinan Anggota Parlimen Batang Lupar dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lingga serta bantuan kerajaan negeri bersama kerajaan pusat, hasrat penduduk Pulau Seduku untuk membina kehidupan baru yang lebih selesa kini menjadi kenyataan.

"Kami berterima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat kami kerana menyediakan kawasan pempatan baru yang dikenali sebagai penempatan Baru Rakyat (PBR) Seduku," katanya.

penempatan

Sejak November tahun lepas, seramai 126 keluarga berpindah ke kawasan penempatan baru itu dan mereka diberi sebidang tanah serta sebuah rumah yang lengkap dengan kemudahan bekalan air dan elektrik. Selain mendapat rumah, penduduk juga diberi lot tanah seluas 1.3 hektar seorang selain saham Ladang Sejahtera Batang Lupar (4.4 hektar seorang) yang diusahakan oleh Felcra Berhad dengan tanaman kelapa sawit, katanya.

Anggota Parlimen Batang Lupar, Datuk Rohani Abdul Karim, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata berkat kesabaran serta sokongan padu penduduk Pulau Seduku membolehkan mereka turut dalam projek Agropolitan Batang Lupar. Beliau berkata, di bawah projek itu, Felcra Berhad dipertanggungjawab untuk membangunkan Ladang Sejahtera membabitkan kawasan seluas 1,600 hektar.

Projek ini, yang membabitkan penduduk Pulau Seduku melalui pemberian saham dan tanah, membabitkan kos sebanyak RM46.16 juta. "Penduduk Pulau Seduku sangat saya kagumi kerana mereka sabar dan bersatu dalam membuat sesuatu keputusan demi kebaikan mereka bersama," katanya.

Rohani berkata dengan adanya kawasan penempatan baru itu penduduk di kawasan terbabit kini lebih mudah merancang kehidupan serta meningkatkan lagi pendapatan mereka melalui projek Ladang Sejahtera.

Kerajaan juga sedang berusaha untuk menambah baik kemudahan untuk penduduk kawasan sekitar penempatan baru Kampung Pulau Seduku termasuk kemudahan sekolah dan dewan.

Kawasan itu yang turut terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga akan dibangunkan dengan kemudahan asas lain yang lebih baik khasnya kemudahan pendidikan.

"Kita yakin dengan adanya sokongan daripada Felcra Berhad, kawasan ini akan dapat dibangunkan dengan beberapa kemudahan seperti sekolah rendah sekurang-kurangnya dan kalau boleh sekolah menengah kerana ketika ini penduduk di sekitarnya terpaksa pergi ke Sri Aman untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah," katanya.

Sementara itu, Rohani berkata penduduk di kawasan Lingga perlu bersabar dengan kerja menaik taraf projek jalan Lingga ke Sri Aman sepanjang kira-kira 70 kilometer.

Dengan siapnya jalan itu nanti, perjalanan yang memakan masa kira-kira dua jam sebelum ini dapat disingkatkan kepada sejam sahaja.

Penduduk Pulau Seduku, Rashid Mos, 74, berkata selama ini mereka tidak pernah menduga hidup mereka akan berubah setelah sekian lama menetap di pulau terpencil itu dan bergantung kepada hasil tangkapan ikan serta bercucuk tanam.

penduduk

Mereka kini sudah boleh menarik nafas lega dengan adanya projek penempatan baru penduduk Pulau Seduku yang menjanjikan masa depan baru.

"Saya amat bersyukur kerana kami tidak lagi perlu menyeberang sungai Batang Lupar yang besar dan penuh dengan buaya jika ingin ke bandar Sri Aman," katanya.

Harapan Rashid pada masa akan datang ialah agar lebih banyak kemudahan asas disediakan di penempatan baru itu khasnya kemudahan seperti sekolah dan klinik selain jalan raya.

Selama ini tidak ramai yang mengetahui nasib penduduk Pulau Seduku namun berkat kesabaran serta kegigihan pemimpin masyarakat nasib mereka kini berubah.

Walaupun terpaksa meninggalkan kampung asal, yang berusia lebih 100 tahun, penduduk yakin apa yang dirancang oleh kerajaan adalah untuk kebaikan serta generasi baru Pulau Seduku yang sama-sama tidak mahu ketinggalan dalam menikmati arus kemajuan negara.

— BERNAMA

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:25
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.