VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
UTARA

ARKIB : 20/10/2011

Warisan pesawah di Muzium Padi


Muzium Padi yang terletak di Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.


ALOR SETAR 19 Okt. - Perkembangan teknologi dan perubahan zaman mungkin menyebabkan generasi sekarang tidak mengenali alat-alat tradisional untuk membajak sawah dan menuai padi yang digunakan oleh petani pada zaman dahulu.

Kewujudan jentera membajak dan menuai telah mengambil alih peranan peralatan mengerjakan bendang tradisional seperti tenggala, sisir, cangkul, tajak serta tenggiling.

Justeru, sebuah muzium dikenali Muzium Padi diilhamkan di negeri ini, sekali gus menjadi satu lagi mercu tanda dan daya tarikan pelancong ke Kedah.

Pembinaannya bertujuan mewujudkan sebuah muzium yang unggul untuk mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta perkembangan teknologi padi.

Kewujudan muzium yang terletak di Gunung Keriang, kira-kira lapan kilometer dari bandar raya ini memberi manfaat besar bagi membolehkan orang ramai mengenali warisan sejarah dan mengetahui betapa kegigihan generasi nenek moyang petani mengusahakan sawah dengan tenaga sendiri.

Dalam kalangan petani sendiri, kewujudan muzium itu sudah pasti menggamit memori dalam mengingati pengorbanan dan kegigihan generasi pesawah dalam meneruskan kehidupan serta mengeluarkan makanan negara.

Pengarah Perbadanan Muzium negeri, Suhaidi Shukri berkata, pembinaan Muzium Padi adalah bertepatan dengan kedudukan negeri ini sebagai Jelapang Padi negara supaya dapat diabadikan sebagai imej sejarah untuk ditonton oleh generasi masa kini dan akan datang.

"Muzium ini bukan sekadar mempamerkan barang-barang lama, tetapi juga sebuah gedung ilmu untuk melahirkan generasi berpengetahuan yang menghargai warisan nenek moyang mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Dibuka secara rasmi oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 12 Oktober 2004, bangunan Muzium Padi dibina berbentuk gemai padi dengan mempunyai sebuah bangunan induk dan enam bangunan sampingan.

Sebaik melangkah ke pekarangan muzium itu, pengunjung dapat menyaksikan beberapa ukiran haiwan yang menarik seperti kerbau membawa pembajak, singa dan burung manakala dalamannya pula turut dihiasi dengan lukisan dan mural yang menggambarkan sejarah, geografi serta teknologi penanaman padi.

Keluasan keseluruhan Muzium Padi adalah 12,000 meter dan mempunyai tiga aras. Aras satu, pengunjung berpeluang mengetahui sejarah penanaman padi di negeri ini, meninjau koleksi pelbagai jenis padi dan melihat peralatan sawah tradisional seperti anak, renggam, kepok serta tenggiling.

Di aras itu, pengunjung boleh mencuba pengalaman membanting dan menumbuk padi selain dapat melihat alat-alat penangkapan ikan yang hampir pupus seperti sepila, tuar, bubu dan tangkul.

Memasuki aras dua, pengunjung boleh memberi peluang kepada pengunjung melihat galeri yang memuatkan pelbagai lukisan yang berkaitan aktiviti pertanian bermula dari zaman purba hingga sekarang.

Pihak muzium turut menyediakan tayangan dokumentari mengenai kaedah penanaman padi, selain dapat melihat aktiviti harian pesawah seperti mencabut semai, menyulam, membaja dan menuai.

Dengan mendaki 59 anak tangga ke aras tiga yang menggambarkan seolah-olah mendaki Gunung Keriang hingga ke puncaknya, pengunjung menikmati ruang panorama menarik perkampungan padi tradisional.

Aras terakhir itu turut menempatkan platform berputar yang membolehkan pengunjung menghayati keindahan jelapang padi pada satu musim dalam bentuk mural dan landskap.

Sebagai tanda kenang-kenangan, pengunjung boleh mendapatkan buah tangan seperti kraf tangan berkaitan padi atau membeli makanan tradisional yang berasaskan beras di kedai cenderamata untuk dibawa pulang.

Suhaidi berkata, dalam usaha menyegarkan dan menambah keunikan muzium itu, pihak muzium merangka pelbagai rancangan bagi memastikan ia sentiasa menggamit kehadiran pengunjung.

Katanya, ia termasuk mewujudkan Galeri Alatan Pertanian Padi Kemboja sejak penghujung 2009 bagi mendedahkan pengunjung mengenai peralatan tradisional berkaitan penanaman padi di negara tersebut.

"Pihak muzium merancang untuk menaik taraf pameran dari semasa ke semasa selain mengambil pendekatan baru dengan menganjurkan program melibatkan masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan agar mereka berasa dekat dengan Muzium Padi," katanya.

Muzium Padi dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk RM3 seorang untuk dewasa dan RM1 (kanak-kanak serta rombongan sekolah), manakala mereka yang ingin membawa masuk kamera atau telefon bimbit berkamera akan dikenakan bayaran RM2 seunit.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.