VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
FORUM

ARKIB : 20/09/2011

Kejar ranking atau kepentingan nasional?

PENEGASAN Datuk Prof. Dr. Hashim Yaacob mengenai sikap waspada kita terhadap penarafan universiti dalam tulisannya "Hati-hati kejar ranking" (Forum 9 September 2011) harus diambil berat oleh semua pentadbiran universiti awam (IPTA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya serta rakyat Malaysia amnya.

Antara sebabnya telah pun mantan Naib Canselor Universiti Malaya itu senaraikan. Kita semua mesti sedar orientasi penarafan itu lebih kepada komersialisme yang 'buta' kepada kepentingan nasional.

Buktinya sudah boleh dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Paling ketara dalam semester kemasukan sesi 2011/2012 bulan ini. Pertama, akibat mengejar ranking kemasukan pelajar ijazah dasar dikurangkan.

Kita telah dikejutkan dengan dominasi pelajar perempuan mengatasi pelajar lelaki dalam nisbah yang makin dahsyat jurangnya. Walhal, dalam masa sama ramai tidak sedar jumlah pelajar tempatan baru di universiti awam bagi peringkat ijazah dasar telah dikecilkan secara mendadak dengan alasan mahu menuju kepada taraf universiti penyelidikan.

Di Universiti Malaya misalnya, kemasukan pelajar di Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) dan Akademi Pengajian Melayu (APM) berkurang 50 peratus. Ironinya, ratusan pelajar asing bagi ijazah dasar boleh pula dibawa masuk. Untuk apa? Bagi penuhi syarat ranking!

Adilkah kita kepada ratusan lepasan pelajar matrikulasi sains dan STPM yang cemerlang dan meningkat saban tahun tetapi gagal mendapat tempat di universiti awam kerana keghairahan universiti awam mengejar ranking?

Akibat pengurangan pelajar yuran pelajar ijazah dasar meningkat. Catatan seorang pelajar pada hari ini dalam Facebook miliknya berbunyi: "Yuran Universiti Malaya ni memeningkan kepala. Tak fahamlah. Dalam buku panduan pun semester akhir cuma 10 jam kredit berjumlah RM997. Sekarang dah jadi RM1,577 untuk 18 jam kredit. Semua pelajar pun perlu duit juga bukan untuk bayar yuran saja."

Kedua, kemasukan begitu ramai ahli akademik asing selari dengan pengambilan pelajar asing yang majoritinya datang dari Afrika dan negara dunia ketiga lain. Bagaimana dalam kita hampir setengah abad berdiri sebagai rakyat Malaysia yang maju dalam semua segi termasuk bidang pendidikan tetapi masih 'mengimport' begitu ramai pensyarah, tutor dan pelajar asing hanya kerana mahu mengejar kriteria ranking universiti dunia?

Bukan sahaja periuk nasi anak tempatan dalam dunia akademik makin terkambus. Paling buruk bahasa Melayu tidak berperanan lagi sebagai bahasa ilmu diganti bahasa Inggeris.

Selain itu, universiti juga tidak lagi menjadi tempat utama percambahan ilmu bagi tujuan menambah baik kesejahteraan hidup rakyat negara ini.

Pensyarah dan pelajar asing sudah tentu tertumpu dalam kerangka pemikiran untuk bangsa dan negaranya. Ilmu dan pengalaman yang ditimba di sini akan dibawa balik ke negara mereka. Jika pola kejar ranking berterusan negara kita akan mandul dalam tradisi pempribumian ilmu seperti yang sepatutnya menjadi falsafah penubuhan universiti awam di negara ini.

Hal ini sama sekali tidak menyumbang kepada penyelesaian masalah masyarakat negara kita sendiri.

Buktinya, kerap penulis perhatikan tajuk penyelidikan mereka lebih kepada data dan kajian kes di negara mereka contohnya 'penagihan dadah di Afghanistan' dan sebagainya.

Banyak universiti hebat dan sarjana ulung di Jerman dan Perancis dalam pelbagai bidang ilmu tidak kemaruk mengejar 'ranking' kerana mereka tahu hanya penyelidikan dan pembangunan; penerbitan serta percambahan ilmu dalam program ilmiah itulah yang akan memandaikan dan memajukan bangsanya sendiri.

Bagi universiti tempatan yang gila kejar ranking sehingga tidak peduli kemerosotan ahli akademik dan pelajar tempatan haruslah sedar bahawa tindakan mereka itu lebih bahaya daripada ancaman komunis. Sudah terang lagi bersuluh mereka khianat terhadap kepentingan nasional yang sepatutnya didahulu dan diutamakan seperti yang terungkap dalam gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.