VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 27/08/2011

Tarikan kota Ho Chi Minh


TEROWONG Cu Chi yang menjadi saksi peperangan Vietnam menentang Amerika.


Bandar Ho Chi Minh (HCMC) yang terletak di tebing Sungai Saigon berdekatan delta Sungai Mekong antara bandar yang terbaik untuk memulakan pengembaraan.

Bagi yang berkunjung buat kali pertama, keadaan lalu lintas yang sesak dan kelam kabut dengan pekikan hon mungkin antara perkara pertama yang boleh menimbulkan fobia dan cemas.

Bayangkan kesibukan sebuah bandar yang dikelilingi oleh enam juta motosikal pada setiap hari. Ho Chi Minh juga merupakan salah satu daripada bandar perbandaran terbesar di Indochina.

Namun di sebalik kota yang didiami sembilan juta penduduk tersembunyi khazanah budaya, kisah dan sejarah silam yang cukup hebat. Negara yang penuh dengan palitan duka dan tinggalan sisa Perang Dunia Kedua.

Namun di sebalik kemodenan bandar yang berkempang antara paling pantas di rantau ini, penduduk kotanya masih lagi mengekalkan cara hidup yang cukup sederhana.

Bahkan pelancong ke Ho Chi Minh juga akan mendapati nama lama Saigon masih banyak digunapakai.

Di samping menyelami budaya masyarakat setempat, peluang yang ada juga boleh diguna untuk mencari lokasi untuk menjamu selera kerana Ho Chi Minh menawarkan cita rasa yang baik untuk dicuba.

Di bandar itu, dianggarkan terdapat lebih daripada 10 buah restoran yang mempunyai pengesahan sijil halal. Maklumat mengenainya boleh didapati daripada risalah pelancongan dengan mudah.

Mengenai penginapan, Ho Chi Minh menawarkan banyak penginapan termasuk hotel-hotel bajet di sekitar pasar Cho Ben Thanh pada harga serendah RM60 semalaman.

Di Vietnam di mana industri pelancongan sedang pesat membangun, perkhidmatan sesebuah hotel biasanya dinilai mengikut kualiti perkhidmatan yang dinilai oleh badan pelancongan kebangsaan dan boleh dipercayai.

Kemudahan untuk mendapatkan makanan dan penginapan pada harga yang berpatutan menjadikan Ho Chi Minh kota yang cukup mesra untuk dikunjungi.

Tarikan pelancongan

Antara semua tarikan yang ada di bandar itu, terowong Cu Chi boleh dikatakan antara destinasi wajib dikunjungi dan semestinya tidak mahu dilepaskan pelancong.

Terowong yang menceritakan sejarah askar gerila Vietnam sewaktu zaman peperangan pada 1968 itu terletak kira-kira 70 kilometer di arah barat laut Ho Chi Minh.

Menerokai jaringan bawah tanah yang dibina pahlawan Vietnam semasa zaman menuntut kemerdekaan pada tahun 1940 itu menawarkan pengalaman melancong yang pasti berbeza.

Terowong sempit sepanjang 48 kilometer yang mengambil masa selama 20 tahun untuk disiapkan itu merupakan salah satu daripada strategi peperangan Vietnam semasa menentang Amerika Syarikat (AS) dari tahun 1959 hingga 1975.

Reka bentuk terowong yang sama seperti sarang labah-labah itu direka dengan binaan yang cukup unik termasuk terowong tiga tingkat dengan tingkat paling bawah yang berakhir di Sungai Saigon.

Sebahagian daripada terowong itu menempatkan bilik mesyuarat, dapur, tempat menyimpan senjata dan bekalan makanan suatu ketika dahulu.

Ekonomi Vietnam yang berkembang dengan pesat pada masa kini juga menjanjikan syurga bagi yang gemar berbelanja sambil melancong.

Bahkan kunjungan ke Ho Chi Minh dikatakan tidak sah jika tidak ke Pasar Benh Thanh iaitu sebuah pasar rakyat yang menghimpunkan pelbagai barangan tempatan yang dijual pada harga yang murah.

Pengunjung pasti akan rambang mata dengan pelbagai pilihan barangan yang sedang menanti. Pastinya anda membawa duit secukupnya kerana tempoh sehari membeli-belah di pasar ini boleh berlalu dengan singkat.

Di pasar ini, hampir kesemua barang-barang keperluan rumah boleh didapati dari produk seperti cenderamata, pakaian, tekstil dan fabrik, peralatan rumah, kraftangan hingga serbuk kopi Vietnam yang terkenal.

Anda cuma perlu bijak menawar harga yang ditawarkan kerana potongan harga sehingga 50 peratus adalah perkara biasa.

Tarikan sejarah di Ho Chi Minh juga termasuk seni bina tinggal Perancis yang boleh dilihat pada gereja besar Notre Dame (Nha Tho Duc Ba). Bangunan yang menyerlahkan seni gotik pada setiap sudut itu berdiri gah di tengah kota itu sejak 1845.

Berhampiran dengannya tersergam sebuah lagi struktur yang tidak pernah lekang dari dikunjungi pelancong. Ia adalah Pejabat Pos Besar Bandar yang juga kaya dengan nilai artistik dan sejarah. Turut menarik untuk dilawati ialah Muzium Peninggalan Perang dan Opera House.

Bangunan bersejarah lain yang mesti dilihat ialah Dinh Thong Nhat (Reunification Palace) yang pernah menjadi bekas kediaman rasmi presiden Vietnam Selatan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.