VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 21/08/2011

Apa status Wan Maimunah?


Wan Maimunah


TAK payahlah temu bual ibu ni, ibu bukannya muda lagi.” Itu yang terpacul dari mulutnya saat diminta Pancaindera untuk ditemu bual.

Ternyata sifat merendah dirinya cukup menebal meski semua tahu hanya ada satu sahaja Wan Maimunah Wan Abdul Aziz di bumi Malaysia ini yang tiada galang gantinya.

Mula menceburi bidang lakonan secara serius pada tahun 1972, Wan Maimunah layaknya digelar primadona tanah air. Andai kata permata yang satu ini hilang, percayalah, sukar untuk mencari pelakon sepertinya yang mampu membawakan apa sahaja watak yang ditawarkan padanya.

Namun apa yang pasti, watak air mata adalah yang paling melekat di mata peminatnya. Pun begitu, sejauh mana orang tahu mengenai isi hati Wan Maimunah sebagai orang biasa jika dia tidak berada di hadapan kamera?

Lebih-lebih lagi mengenai kesunyian yang ditatangnya selama hidup bersendirian tanpa ditemani seorang lelaki bergelar suami.

“Kalau boleh ibu tak mahu bercerita mengenai status ibu. Cukuplah kalau ibu katakan yang ibu hidup bersendiri dan sudah biasa begini.

“Tapi itu tak menjadi masalah kerana yang penting ibu ada anak-anak yang sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan pada ibu,” kata wanita yang berasal dari Johor Bharu, Johor ini.

Terasa kekurangan

Mengakui menjalani hidup secara solo bukanlah mudah, kata Wan Maimunah, adakalanya dia terpaksa menahan kesedihan walau di luar, riak wajahnya mencerminkan keceriaan. Tempoh berapa lama dia hidup sebegitu masih menjadi rahsia besarnya.

Mengambil pendekatan untuk terus berahsia, Wan Maimunah bagaimanapun berkongsi rasa tentang kesunyian yang ditanggungnya selama ini.

“Bohonglah kalau ibu kata tak pernah rasa sunyi atau sedih. Paling dirasa, kalau sakit demam tak siapa yang nak tengokkan. Memanglah orang lain boleh bercakap, suruh kita makan ubat dan jangan lupa pergi klinik. Tapi itu berbeza jika ia disertakan dengan sentuhan dan belaian.

“Bagi ibu, sentuhan dan belaian adalah penawar kepada segala penyakit. Sesiapa pun tak akan sangkal apa yang ibu katakan ini.

“Sudah tentulah ibu juga rindu untuk semua itu. Tapi nak buat macam mana dah ditakdirkan ibu hidup bersendirian.

“Tapi ibu bersyukur kerana dikurniakan ramai anak yang semuanya sayangkan ibu. Sampai bercucu bercicit pun sekarang ini. Ada yang panggil Mak Tok, Opah, Wan, Tok Su. Nanny pun ada. Alhamdulillah, ibu bahagia dengan pemberian Allah S.W.T ini.”

Sempat mengusik empunya diri mengenai niat hatinya untuk berumah tangga, ternyata ia disambut dengan deraian tawa panjangnya. Kata wanita ini, dia menyerahkan semua itu kepada Tuhan untuk menentukan jodoh buatnya.

“Sekarang ini belum ada yang sudi. Tak apalah, itu semua ketentuan Tuhan. Kalau benarlah ibu ditakdirkan berkahwin lagi, ibu harap biarlah ia adalah yang terakhir. Sekarang ini, tunggu dan sabar sahajalah,” guraunya lagi.

Jangan sombong

Mengakui kurang mengambil tahu mengenai perkembangan dunia artis tanah air, kata Wan Maimunah, dia bagaimanapun punya petua untuk dikongsi bersama pelakon-pelakon baru di luar sana.

Dalam kerendahan hati, sesekali dia menyebut “Ibu bukanlah orang glamor pun.” Namun katanya, dia selalu mengingatkan diri sendiri supaya tidak berlaku sombong dengan semua orang.

“Tak kisahlah kita ni artis glamor ke tidak atau orang biasa sekali pun, jangan sesekali kita menyombong dengan orang. Itu yang ibu pegang selain sentiasa jujur dengan diri sendiri terutama dalam soal kerja,” katanya.

Dalam pada itu, cerita Wan Maimunah, dia juga sentiasa percaya bahawa rezekinya dalam bidang lakonan sentiasa ada selagi peminat masih menyokongnya.

Malah, pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 1992 ini juga tanpa segan menganggap lakonan adalah sebahagian daripada dakwahnya.

“Ibu selalu berharap, kalau watak baik lakonan ibu dapat menjadi contoh kepada masyarakat, kalau watak jahat pun begitu. Maknanya, yang jahat kita jauh-jauhkan, yang baik kita ikuti.

“Kalau nak tahu, ibu juga cukup pantang kalau ada orang langkah skrip. Pada ibu, itu adalah periuk nasi, jadi janganlah dilangkah apalagi ia adalah rezeki berlakon.

“Lagipun ibu dapat berlakon semuanya dengan izin Allah S.W.T,” katanya menutup bicara pertemuan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.