VERSI : Mobile | Akhbar Digital
31 Julai 2014 / 4 Syawal 1435  
  Carian Arkib
LAPORAN KHAS

ARKIB : 20/08/2011

Rahsia ‘buluh’ lemang Pak Ali


Pemilihan buluh amat penting dalam menghasilkan lemang yang berkualiti dan enak rasanya serta mengelakkan ia ‘muntah’ ketika dibakar.


SEBUT tentang juadah raya sama ada ketupat, lemang, dodol hinggalah kepada kuih baulu, rempeyek atau kuih ros, tentunya salah satu daripadanya menjadi kegemaran anda serta ‘wajib’ untuk dihidangkan pada setiap 1 Syawal.

Menikmati makanan warisan berzaman ini akan membangkitkan semula nostalgia malam raya saat anak-anak sibuk menolong ibu atau ayah di dapur bagi menyiapkan pelbagai juadah raya.

Apa yang menarik, dalam suasana ibarat ‘riuh sekampung’ itu, setiap ahli keluarga seolah-olah faham dengan tugas dan peranan masing-masing.

Paling sibuk tentulah si ayah dan ibu. Mereka sanggup bertungkus-lumus dan bersengkang mata menjaga lemang atau ketupat yang direbus bagi memastikan tidak ada masakan yang hangit.

Begitulah suasana indah pengalaman silam generasi lampau dalam seni pembuatan juadah tradisional setiap kali menjelangnya Aidilfitri.

Namun, dalam zaman serba moden ini, sukar untuk diulang kenangan ‘keriuhan’ serta ‘kesibukan’ proses menyediakan juadah raya bersama keluarga.

Walaupun dijamu dengan lambakan makanan moden dan terkini, Hari Raya Aidilfitri seakan tidak lengkap tanpa kehadiran juadah-juadah tradisi yang diakui lazat serta memiliki keistimewaan dan tarikan tersendiri.

Malangnya, ramai dalam kalangan generasi muda hari ini tidak tahu bagaimana caranya untuk menyediakan juadah warisan nenek-moyang itu.

Bagi tujuan menghidupkan semula semangat Aidilfitri, S2 cuba mencari beberapa individu yang pakar dalam menghasilkan juadah tradisional.

Keenakan dan kelazatan rasanya masih tetap dinikmati berkat daripada wujudnya pengusaha-pengusaha makanan tradisional ini.

Dengan adanya mereka, juadah turun temurun nenek moyang tidak akan terus ditenggelami zaman hasil lambakan juadah dan kuih muih moden yang membanjiri segenap rumah.

Makanan tradisi inilah yang mewarnai Aidilfitri yang menjelang tiba dan ia tidak akan ‘lapuk dek hujan dan lekang dek panas’.

Bersempena Syawal yang bakal menjelang, wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan ROSALINDA MD. SAID bersama jurugambar IRWAN MAJID serta MOHD. NAIM AZIZ menyingkap tradisi pembuatan juadah raya buat tatapan semua khususnya generasi muda.

KATA orang tua-tua, buluh yang sudah ditebang atau siap dipotong mengikut ruasnya, tidak boleh di langkah kerana ia boleh menyebabkan lemang ‘muntah’ sewaktu dibakar.”

Oleh itu, semasa proses mencari dan menebang buluh sehinggalah ketika ia dibakar, pantang-larang tersebut haruslah sentiasa dipatuhi bagi memastikan lemang yang dibuat menjadi.

Bagi mereka yang tidak memahami, pantang-larang tersebut mungkin kedengaran agak remeh dan tidak masuk akal.

Namun, kepercayaan itulah yang menjadi amalan pengusaha lemang asli yang popular di Lembah Klang, Md. Ramli Abdul Rasip, 69, atau lebih dikenali ramai dengan nama Pak Ali.

Apa tidaknya, penjagaan rapi ke atas buluh-buluh yang diperoleh bukan sahaja membantu dalam menghasilkan lemang-lemang yang berkualiti tinggi bahkan menepati cita rasa pembeli.

Bagaimanapun, ekoran faktor masa dan tenaga, Pak Ali tidak lagi mencari buluh di hutan seperti dahulu dan kini menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada masyarakat Orang Asli di Sungai Dua, Karak, Pahang.

“Kalau nak diikutkan proses lengkap pembuatan lemang, ia bermula dengan mencari buluh di hutan. Tapi seiring perubahan zaman, lebih mudah untuk kita beli sahaja buluh-buluh tersebut.

“Kemudian, baharulah disediakan ramuan pulut dan santan untuk dimasukkan ke dalam kelongsong daun pisang sebelum dibakar,” katanya ketika ditemui di gerainya berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Tengah II (MMR2), Hulu Klang baru-baru ini.

Jelas Pak Ali, bagi mendapatkan rasa lemang yang lemak serta adunan secukup rasa antara pulut dan santan, terdapat beberapa teknik menjadi amalannya.

“Ramai yang mengatakan rasa ‘lemak’ lemang saya sukar ditandingi dengan lemang lain. Ia mungkin dipengaruhi teknik sukatan santan yang sentiasa diamalkan.

“Selepas memasukkan pulut dan santan, saya sukat dengan buluh halus bagi memastikan santan meresap sehingga ke seluruh bahagian,” katanya.

Sebelum itu, kata Pak Ali, beras pulut kebiasaannya direndam selama 15 ke 20 minit dan ditoskan sebelum boleh dimasukkan ke dalam kelongsong daun pisang dan diisi dengan santan.

Pak Ali yang sinonim dengan gelaran ‘Lord of The Lemang’ berkata, walaupun ramai pengusaha lemang lain sudah beralih kepada proses pembakaran secara ‘separuh tradisional’, dia tidak sesekali akan mengamalkan cara itu.

“Macam mana nak berniaga lemang kalau tak tahan dengan api yang panas? Kerana itulah, ramai di kalangan peniaga baru yang hanya ‘wayang’ membakar lemang.

“Sedangkan, hakikatnya mereka rebus pulut dahulu sebelum dimasukkan ke dalam buluh. Pada saya, tak elok ‘berlakon’ begitu semata-mata untuk meraih keuntungan,” katanya.

Bagi Pak Ali, asap putih berkepul-kepul serta aroma harum daripada santan dan pulut yang dibakar itulah daya penarik dan ‘menyengat’ hidung pelanggan untuk singgah ke gerainya.

Sekali gus, penjagaan api amat penting dalam proses pembakaran lemang. Kebiasaannya masa yang diperlukan adalah selama satu jam setengah hingga dua jam bergantung kepada keadaan api.

“Supaya lemang tidak hangit dan dapat masak dengan betul, ia perlulah dipusing mengikut putaran jam selang beberapa minit.

“Lemang yang sudah masak, bahagian luar buluhnya akan berubah warna menjadi kekuningan dan berkilat,” katanya.

Menjelang Aidilfitri ini, Pak Ali berkata, permintaan lemangnya bertambah mendadak.

Sementara itu, mengulas persediaannya menghadapi permintaan yang meningkat, Pak Ali berkata, bekalan buluh, kayu api serta ramuan lemang untuk tempoh dua bulan sudah disediakan dengan secukupnya.

“Satu hari secara purata 500 batang lemang dijual. Permintaan semakin kritikal menjelang dua ke tiga hari sebelum dan selepas raya. Kadang-kala sehingga 3,000 batang lemang laris dijual,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:22
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.