VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Ogos 2014 / 2 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 05/08/2011

Kuih tradisional terus bertahan


Asmah Ismail (kiri) menunjukkan cara baru membuat kuih goyang.


BAULU, kuih loyang dan putu kacang merupakan beberapa nama kuih tradisional Melayu yang masih bertahan sampai ke hari ini.

Kuih yang dianggap tidak lapuk dek zaman itu memang mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi rasa dan rupa.

Kalau dulu kuih-kuih tradisional ini cuma boleh dinikmati pada musim perayaan, tetapi kini ia semakin mudah didapati dan pada bila-bila masa memandangkan sudah dikomersialkan.

Sebenarnya tidak ramai di kalangan wanita Melayu yang berminat membuat kuih tradisional ini memandangkan proses penyediaannya bukan sahaja renyah bahkan memakan masa selain ada pantang larang.

Asmah Ismail, 64, dari Sungai Petani, Kedah mengakui sekalipun telah mula membuat kuih loyang sejak berusia 18 tahun tetapi ada kalanya masih berdepan dengan masalah kuih tidak menjadi.

Katanya, proses belajar membuat kuih tradisional seperti kuih loyang itu sebenarnya masih berterusan walaupun seseorang itu sudah mahir dan cekap dengan sukatan, cara membancuh dan menggoreng.

''Saya belajar cara buat kuih loyang ini dari arwah nenek dan emak yang memang sedia dikenali di kampung sebagai pembuat kuih goyang dari generasi ke generasi,'' katanya ketika ditemui di Promosi Kraf Aidilfitri 2011 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay baru-baru ini.

Dia merupakan antara beberapa wanita yang pakar dalam membuat kuih tradisional yang dijemput melakukan demonstrasi masakan sempena promosi tersebut anjuran Kraftangan Malaysia.

Menurut Asmah, berdasarkan pengalaman biasanya kuih loyang tidak menjadi disebabkan sukatan bahan kurang tepat atau tersalah bancuh.

Ada kalanyas tepung yang berbeza juga akan memberikan kesan terhadap kuih loyang yang dihasilkan.

Bagaimanapun katanya, kuih itu yang juga dikenali sebagai kuih goyang atau kuih ros mengikut negeri tertentu, tidak memerlukan bahan yang banyak untuk membuatnya.

Seperti kata Asmah, walaupun ia hanya menggunakan tepung beras, santan, telur dan minyak masak sahaja, tetapi cabaran sebenar ialah ketika proses menggoreng.

"Untuk menghasilkan kira-kira 100 biji kuih loyang, kita terpaksa berdiri dari pagi hingga petang,'' katanya.

Tambahnya, sejak dua tahun lalu dia cuba membuat sedikit inovasi pada bentuk kuih loyang.

Selain menampilkannya dalam pelbagai warna, Asmah juga berjaya membentuk kuih loyang menjadi seperti kuntuman bunga yang sedang mekar.

Katanya, dia mula terfikir untuk membuat bentuk kuih loyang itu berkembang bagai bunga sedang mekar selepas berasa bosan dengan bentuk sedia ada.

Bagaimanapun katanya, untuk mengubahsuai bentuk kuih loyang itu dia membuat beberapa percubaan dari peringkat menyediakan bahan, membancuh hingga menggoreng.

''Saya ganti santan dengan telur supaya selepas digoreng tidak akan pecah apabila diletak di atas muncung botol untuk membuatkan kelopaknya kembang dengan cantik,"' katanya.

Secara tidak langsung kuih loyang yang dihasilkannya kurang kolesterol memandangkan tidak menggunakan santan.

Asmah bersyukur kerana kuih loyang bentuk baru tersebut mendapat maklum balas positif daripada para pelanggannya.

"Mereka suka sebab bentuk nampak cantik dan berlainan. Lagipun rasa serta kerangupan kuih loyang bentuk baru ini tetap sama," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin merasai keenakan kuih loyang Mak Lang boleh menghubungi beliau menerusi talian 019-4201733.

Sementara itu Rohana Jaffar, 46, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, pula mengusahakan kuih tradisional masyarakat Jawa iaitu rempeyek dan tumpi sejak 10 tahun lalu.

''Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa itu rempeyek sehinggalah seorang jiran terlalu teringin untuk makan rempeyek.

''Kerana kasihankan dia, saya mencari buku resipi dan membeli bahan-bahan yang diperlukan. Itulah kali pertama saya belajar membuat rempeyek,'' katanya.

Bagai tidak percaya, bukan sahaja jiran tersebut memuji keenakan rempeyek yang dihasilkan malah meminta lebihan yang ada untuk diberi kepada jiran-jiran lain.

Semenjak itu walaupun mempunyai pekerjaan tetap sebagai guru, dia mula menerima tempahan daripada jiran-jiran yang menyebarkan keenakan rempeyeknya dari mulut ke mulut.

''Cuma sejak dua tahun lalu selepas meletakkan jawatan sebagai guru maka saya mula membuat kuih tradisional ini secara serius,'' katanya.

Rohana memberitahu, selain mengusahakan rempeyek dia turut menerima tempahan kuih batang buruk, simpul kasih dan kuih tradisional basah seperti kuih talam, roti jala, tepung pelita dan sebagainya.

Jelasnya, sekalipun membuat rempeyek nampak mudah tetapi untuk tujuna komersial ia perlu dihasilkan dengan lebih baik.

''Bukan sahaja perlu mengekalkan rasanya yang enak, bahkan rempeyek yang dibuat mesti rangup dan tahan lama,'' katanya.

Rohana mengakui agak cerewet dalam memilih bahan termasuk ikan bilis dan kacang yang terbaik supaya pelanggan puas hati.

Malah katanya, cara bancuhan juga tidak boleh silap kerana jika tidak ia akan menjadi keras.

Jelasnya, tugas membuat rempeyek juga bukan mudah kerana perlu berdiri semasa menggoreng dalam minyak yang panas.

''Rempeyek perlu digoreng satu persatu dan kerja yang lambat ini membuatkan tidak ramai yang ingin membuatnya secara komersial,'' katanya.

Sesiapa yang ingin menempah rempeyek dan beberapa kuih lain boleh menghubunginya menerusi talian 013-2853889.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:28
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.