VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 02/08/2011

Skeptikal Yusof terhadap anak-anak


TIGA beranak ini pasti akan meluangkan masa bersama untuk berbincang mengenai dunia perfileman tanah air.


KIRA-KIRA 17 tahun lalu, penerbit dan pengarah popular ini berjaya mencipta rekod dalam dunia perfileman tempatan apabila filem keempatnya, Sembilu II mencatatkan kutipan tiket luar biasa sebanyak RM6.3 juta.

Dengan pencapaian hebat yang belum pernah dicatatkan oleh mana-mana pengarah filem tempatan sebelum ini, ia sekali gus meletakkan nama Datuk Yusof Haslam di puncak kegemilangan sehingga diberi jolokan The Six Million Dollar Man.

Selama bergelar pengarah filem bermula dari tahun 1991 menerusi filem pertamanya, Bayangan Maut, Yusof boleh dikatakan pencetus kepada budaya filem popular yang mengenengahkan penyanyi menjadi teraju utama.

Pernah dikecam dan dikritik hebat lantaran filem-filemnya dikatakan tidak mempunyai nilai seni atau istilah kasarnya, filem sampah, namun, ia langsung tidak menggugat kedudukan Yusof sebagai sutradara.

Malah Yusof boleh berbangga dengan empayarnya, Skop Productions yang dibangunkan atas hasil titik peluhnya sendiri sejak tahun 1985.

Selepas kali terakhir mengarahkan filem - Sembilu 2005 yang hanya mencatatkan kutipan sebanyak RM1.39 juta - Yusof lebih selesa menumpukan perhatian kepada pengarahan drama televisyen.

Bukan mahu melupakan dunia perfileman, tetapi kata Yusof, legasi seninya itu kini sudah diambil alih oleh anaknya, Syamsul yang berjaya meneruskan kesinambungannya sebagai pengarah pecah panggung.

Semuanya menerusi filem kelima arahan anak muda itu, KL Gangster yang mencatatkan kutipan luar biasa sebanyak RM11.7 juta sekali gus menjadikan filem tersebut sebagai filem paling laris dalam sejarah perfileman tempatan.

Tidak restu

Barangkali ramai yang tidak tahu, di sebalik kejayaan Syamsul itu, hakikat sebenarnya, Yusof tidak pernah 'merestui' setiap hasil kerja anaknya itu.

Dalam erti kata lain, apa jua buah tangan yang dihasilkan anaknya, dia perlu memainkan peranan dalam memberikan input yang pada pandangannya mampu mencantikkan lagi karya Syamsul.

"Kalau Syamsul datang kepada saya dan memberikan ideanya, pasti akan ada perasaan tidak puas hati. Benar, saya memang skeptikal terhadap lontaran ideanya sejak dari filem pertamanya, Evolusi KL Drift.

"Bukan sengaja mahu menjatuhkan semangatnya tetapi selagi hasil belum nampak depan mata, saya memang kurang percaya dengan kemampuannya.

"Walaupun dia sudah menghasilkan lima buah filem yang semuanya mencatatkan kutipan pecah panggung, ia bukan satu tiket untuk saya menyatakan persetujuan 100 peratus untuk segala idea-ideanya yang akan datang," ujar Yusof tanpa selindung dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di rumahnya, Darul Haslam di Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Berontak

Menyambung bicara, Yusof memberitahu dia memang cukup faham dengan jiwa anak muda Syamsul yang pastinya akan memberontak seandainya kemahuannya dibantah.

Tetapi, sudah menjadi resam mereka anak-beranak akan duduk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik.

"Dia mempunyai alasan yang konkrit dalam setiap persoalan yang dibangkitkan sehinggakan saya berjaya 'diperdaya' olehnya untuk memberikan lampu hijau (ketawa).

"Sebagai contoh, apabila dia hanya mahu menampilkan semua pelakon lelaki dalam KL Gangster, saya melihatnya sebagai sesuatu yang mustahil. Apabila saya mencadangkan untuk meletakkan seorang pelakon wanita sebagai aktres, Syamsul memberitahu ia tidak kena dengan jalan ceritanya.

"Tetapi, ada juga idea saya yang diterimanya seperti menyelitkan elemen keluarga dan dia melihatnya dari sudut positif demi kebaikan jalan cerita itu sendiri.

"Begitu juga dengan filem Khurafat yang mana saya merasakan ia adalah idea yang kurang menarik atas alasan industri perfileman sudah terlalu banyak dilambakkan dengan filem-filem seram. Tetapi, Syamsul berjaya mengolah cerita itu dengan gaya penyampaian tersendiri," ujar pemilik nama penuh Mohd. Yusof Md. Haslam Khan itu yang pernah membintangi filem-filem popular seperti Jiwa Remaja, Chinta dan Lagu, Detik 12 Malam serta Tiada Esok Bagimu.

Berjaya

Jelas Yusof, bukannya sengaja mahu membangkang tetapi dia mahu melihat rasional dan realistik di sebalik idea Syamsul.

Menyingkap sejarah katanya, dia sendiri kurang yakin dengan kemampuan Syamsul mengarahkan filem. Sebab itu, dia memberikan tugas dengan lebih mudah iaitu mengarahkan siri televisyen dan Syamsul berjaya memberikan hasil yang memuaskan hati Yusof.

Tetapi, sebagai seorang bapa, Yusof mengakui memang cukup kagum dan hormat dengan idea segar dan baru yang dimiliki Syamsul dalam membangunkan industri perfileman tanah air.

"Sebagai penerbit, sudah pasti saya akan meluluskan segala projek filem yang mahu dilakukan oleh Syamsul dan mencabarnya untuk memberikan sesuatu yang berlainan dalam setiap filem-filemnya.

"Dia menyahut cabaran saya dan akhirnya dia membuktikan bahawa dia mampu melakukannya. Setiap filem dia berjaya memberikan persembahan dan pendekatan yang berbeza.

"Seiring dengan usianya yang masih muda, Syamsul tahu bagaimana hendak menawan hati golongan muda untuk ke panggung menonton filem-filemnya," katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Keempat (1983) menerusi filem Mekanik.

Selepas Syamsul, jejak langkah Yusof itu kini mula beralih kepada anak ketiganya, Muhamad Syafiq yang kini sibuk di lokasi penggambaran filem SAM (Saya Amat Mencintaimu) lakonan Shaheizy Sam dan Lisa Surihani.

Sama seperti Syamsul, kepercayaan yang diberikan Yusof kepada Syafiq dibuat selepas meneliti hasil kerja anak muda itu menerusi koleksi filem-filem pendek arahannya.

"Kelebihan yang ada pada Syafiq ialah dia mempunyai kepakaran dalam teknik imej janaan komputer (CGI) yang saya percaya akan memberikan sesuatu yang berbeza untuk projek akan datang," ujarnya.

Belum bersedia

Dalam usianya yang sudah pun mencecah 57 tahun itu, Yusof masih belum menampakkan sebarang tanda mahu bersara dan hanya duduk di rumah menghabiskan masa dengan cucu-cucunya.

Masih lagi diberikan kudrat untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya, Yusof memberitahu dia masih lagi mampu untuk bekerja.

Malah tegasnya, dia masih belum bersedia menyerahkan Skop Productions kepada Syamsul untuk menerajuinya.

"Syamsul masih muda dan biarkan dia bergelumang dengan dunia perfileman bagi mencari pengalaman.

"Anak kedua saya, Nursyamin pula tidak berminat dengan dunia hiburan. Jadi, dia lebih selesa mencari hala tujunya sendiri. Selagi saya terdaya dan mampu untuk menerajui syarikat, saya akan lakukannya," katanya ringkas.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.