VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 31/07/2011

Manfaat herba hutan Malaysia

MASYARAKAT dahulu kala sangat bergantung kepada alam semula jadi dalam kehidupan harian mereka. Nenek moyang kita dulu merebus akar tongkat ali untuk menambah tenaga ketika bekerja, mereka memakan ulam-ulaman yang membantu memberi khasiat secara dalaman.

Namun dek kerana arus kemodenan, amalan itu semakin dipinggirkan.

“Herba Malaysia mempunyai banyak manfaat dari segi kesihatan dan kecantikan. Pelbagai kajian telah membuktikan, hanya kita yang tidak pandai mengetengahkannya,” kata Safinah Yaakub.

Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas pameran herba tempatan terbesar Herbal Asia berkata, manfaat herba sepatutnya digunakan sepenuhnya dalam kebanyakan aktiviti harian terutama untuk perubatan dan kecantikan. Tambahan lagi, industri spa yang semakin berkembang hingga ke seluruh pelosok dunia.

Menurutnya, herba atau produk herba banyak digunakan sebagai ubat-ubatan sampingan atau sebagai bahan alternatif untuk meningkatkan kesihatan dan melawan penyakit. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peningkatan dalam jualan produk herba serta kewujudan banyak pusat kesihatan yang menyediakan perubatan tradisional seperti aromaterapi, qi-gong, refleksologi, terapi ozon dan sebagainya.

Diamalkan

‘‘Ubat-ubatan tradisional yang diamalkan oleh orang Melayu dianggarkan melebihi 1,000 jenis tumbuhan. Contohnya termasuklah tongkat ali, kacip fatimah, sirih, misai kucing, lilit memanjat seruntum, daun inai, mengkudu, pegaga, kecubung, hempedu bumi, dukung anak, Cina maki dan sebagainya,’’ kata Safinah.

Kesemua jenis tumbuhan dan herba tersebut amat bernilai dan mempunyai khasiat yang tinggi.

Jika masyarakat Arab dan India boleh berbangga dengan herba jintan hitam yang tumbuh di tanah mereka katanya, mengapa tidak kita berbangga dengan produk tempatan yang sebenarnya mampu mengubati 1,001 jenis penyakit.

“Hari ini, banyak syarikat farmaseutikal yang sudah memanfaatkan penggunaan herba dari sumber alam tropika yang kaya ini untuk dikomersialkan’’, kata Safinah.

Malah, di Malaysia sendiri katanya, para penyelidik sudah mengkaji 1,500 jenis pokok dan tumbuhan hutan untuk mengenal pasti kemungkinan nilai perubatan yang ada padanya. Dalam masyarakat Orang Asli dan di kalangan orang Melayu, khasiat tumbuh-tumbuhan hutan yang hidup liar sudah dikenalpasti sejak sekian lama. Apa yang diperlukan adalah memanfaatkannya secara komersial.

‘‘Justeru, potensi sumber asli seperti herba cukup luas dalam memperkenalkan produk-produk alternatif kesihatan dan perubatan,’’ kata Safinah.

Di Amerika Syarikat (AS) sahaja katanya, jutaan ringgit diperuntukkan setiap tahun untuk menghasilkan makanan kesihatan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa. Dianggarkan, sebanyak 20 hingga 50 peratus penduduk di negara membangun bergantung kepada perubatan alternatif dan komplimentari berasaskan tumbuhan. Fenomena yang sama juga ditunjukkan oleh negara-negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia dan juga Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bahawa permintaan global terkini terhadap tumbuh-tumbuhan ubatan sekitar AS$14 bilion setahun dan menjangkakan permintaannya akan terus meningkat menjelang 2050 menjadi AS$5 trilion. Angka ini jelas membuktikan bahawa pasaran herba mempunyai potensi dan peluang yang tinggi untuk berkembang maju.

Laporan juga menunjukkan bahawa jumlah jualan produk herba tempatan mencecah RM100 juta bagi tahun 2000. Pasaran ini meningkat kepada RM500 juta bagi tahun 2005 dan RM2.5 bilion pada 2010. Perkembangan global industri ini pastinya memberi kesan signifikan kepada pasaran herba Malaysia.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.