VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 07/07/2011

Sabar menempuh ujian hidup


Setiap musibah yang menimpa mesti dihadapi dengan tabah. - Gambar hiasan


HIDUP ini merupakan ujian. Semua ketentuan sama ada kesenangan mahupun kesusahan telah disusun rapi oleh Allah SWT yang bersifat al-Qadir dan al-'Alim.

Sebagai seorang manusia, kehidupan kita akan sentiasa diwarnai dengan ujian yang kadangkala datang dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan.

Hidup yang hanya diwarnai dengan kesusahan, pasti akan mengecewakan, manakala kehidupan yang hanya diuliti dengan kesenangan pasti akan membosankan. Kehidupan akan ada turun naik dan pusingannya.

Orang yang berada di bawah suatu ketika pasti akan berada di puncak kejayaan dan begitulah sebaliknya. Itu adalah sunnatullah, Dia yang menciptakan manusia dan amat mengetahui keperluan kita sebagai makhluk dan hamba-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155)

Penciptaan manusia di muka bumi ini adalah sebagai hamba yang berperanan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT di dalam ruang lingkup ibadah yang luas.

Dia meletakkan perintah dan larangan untuk dipatuhi oleh manusia dalam mereka menjalani kehidupan. Ia juga merupakan ujian untuk Dia melihat sejauh manakah manusia dapat mengawal diri dan nafsunya untuk melakukan ketaatan kepada-Nya di kala insan lain bergelumang dengan dosa dan kedurhakaan lantaran tewas dengan ajakan nafsu dan dunia yang mempersonakan.

Sememangnya kehidupan ini adalah medan ujian untuk Allah SWT menilai siapakah manusia yang menggunakan hidupnya dengan beramal kebaikan, sebelum mereka dipanggil pulang kehadrat-Nya untuk diberi ganjaran yang sewajarnya di dalam kehidupan akhirat yang abadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk Dia menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)

Kebanyakan manusia keliru dengan bentuk ujian yang menimpa mereka. Bentuk ujian dalam kehidupan ini sebenarnya tidak hanya berupa kesusahan, kecelakaan, kesakitan, kehilangan harta dan jiwa, sebagaimana yang dianggap oleh kebanyakan manusia.

Malah ujian juga datang dalam bentuk kesenangan dan kemewahan. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.

Kebanyakan manusia akan banyak mengingati dan berdoa kepada Allah ketika ditimpa musibah, agar kesusahan itu segera hilang, tetapi tidak ramai manusia yang bersyukur dan berserah diri kepada-Nya di kala kesenangan dan kemewahan.

Manusia yang ditimpa kesakitan akan menadah tangan kehadrat Allah, agar memberi kesembuhan kepada mereka kerana mengetahui hanya Allah SWT sahajalah yang boleh menyembuhkan.

Manusia yang dikurniakan nikmat kesenangan dan kemewahan, ramai antara mereka yang terleka dan terlalai dan merasakan kesenangan dan kemewahan itu datang dari usaha dan ikhtiar mereka semata-mata.

Kebanyakan mereka terus lalai dibuai keindahan dunia, sehingga ajal menjelma dan mereka mati dalam keadaan melupakan Allah dan Allah akan menjauhkan mereka dari rahmat-Nya. Na'uzubillahi min zalik.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (al-Anbiya': 35)

Cabaran serta ujian dalam kehidupan merupakan satu mekanisma untuk mematangkan diri kita, meningkatkan cara kita berfikir, cara kita berhadapan dengan masalah, mendidik kita untuk sabar, mengajar kita untuk menjadi lebih baik dan yang lebih manis lagi.

Cabaran serta ujian dalam kehidupan ini telah mendekatkan diri hamba-Nya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Inilah satu proses pembelajaran selama mana kita berada dalam universiti kehidupan.

Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan resah dan gelisah. Bagaimanapun, manusia yang beriman akan menghadapi ujian dengan penuh kesabaran dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Allah SWT mengajar golongan Mukmin yang ditimpa musibah menyebut Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un yang bermaksud apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah.

Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.

Orang yang menerima ujian dengan penuh kesabaran dan reda dengan ketentuan-Nya dijanjikan dengan berita gembira yang berupa keampunan, keredaan dan mendapat rahmat Allah.

Dalam satu riwayat, dikatakan Sa'id ibn Jubayr, seorang tabien mengatakan bahawa rahmat itu adalah pelindung daripada siksa azab neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar : (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya. (al-Baqarah: 155 - 157)

Sehubungan dengan itu sifat sabar hendaklah dijadikan perhiasan diri ketika bencana melanda agar umat Islam tidak terjebak kepada amalan sia-sia seperti kekecewaan melampaui yang mengakibat bunuh diri dan lain-lain.

Saling pesan memesan kepada sifat sabar ini juga satu amalan mulia yang menjadi syarat kepada orang-orang yang beruntung.

Ia sebagaimana maksud Firman Allah SWT: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-Asr: 1-3)

Kesimpulannya, setiap manusia tidak akan terlepas melalui ujian yang ditetapkan di dalam kondisi yang berbeza di antara satu sama lain. Itu adalah lumrah alam dan takdir yang ditentukan bagi setiap insan.

Justeru keistimewaan akal yang dikurniakan kepada manusia hendaklah digunakan sewarasnya agar ujian itu dapat dilalui dan diatasi dengan jayanya.

Bersikap positiflah dalam menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba kerana kita tidak mampu merubah takdir yang tertulis, tetapi kita mampu merubah perspektif dalam diri kita ketika menghadapi qada Allah SWT.

Terutamanya dengan bersabar, saling memaafkan kesilapan orang lain dan belajar melupakan demi untuk ketenangan jiwa dan kebahagiaan hakiki yang menjadi dambaan insan seluruhnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.