VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 September 2014 / 25 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 11/06/2011

Tarikan di Kota Osaka


UNIVERSAL studios Japan yang terletak di Osaka.


Sejak dibangunkan pada tahun 1583, Istana Osaka yang terletak di Chuo-ku kekal sebagai pusat pemerintahan dan bandar wilayah Kansai yang menyimpan pelbagai khazanah sejarah.

Bagi yang melancong ke Osaka, pemilihan kota purba itu sebagai persinggahan pertama sememangnya tepat sebelum pengembaraan ke lokasi-lokasi lain di pusat komersial terkemuka Pulau Honshu itu.

Istana Osaka yang dibina dengan kehalusan seni bina tradisional Jepun menerima kunjungan ratusan ribu pelancong pada setiap tahun dan menjadi satu daripada tarikan wajib dikunjungi di Osaka.

Istana lapan tingkat yang diilham oleh Toyotomi Hideyoshi itu menempatkan 120 bilik termasuk tiga tingkat bawah tanah. Di tingkat paling atas disediakan sebuah muzium yang menyimpan pelbagai sejarah istana dan kota Osaka.

Dari anjung tingkat yang sama, pemandangan menyajikan aliran arus Sungai Osaka berlatarbelakang kota moden yang dipenuhi bangunan pencakar langit. Waktu terbaik untuk melawat Istana Osaka adalah pada musim bunga di mana tamannya dipenuhi bunga sakura.

Meskipun istana yang didirikan di atas susunan tembok setinggi 30 meter kelihatan dari seluruh pelosok bandar, kunjungan sendiri ke kota lama yang dipenuhi persembahan dan adat resam Nippon itu pasti menjadi pengalaman yang berharga.

Akuarium Kaiyukan

Selain Istana Osaka, melancong ke Osaka juga dikatakan tidak lengkap tanpa menjengok ke Akuarium Kaiyukan yang merupakan antara akuarium terbesar di dunia.

Dibuka pada 1988, pusat hiburan yang terletak di Minato berhampiran Teluk Osaka itu menempatkan spesies ikan terbesar di dunia iaitu jerung paus. Akuarium Kaiyukan menjadi kediaman kepada lebih 30,000 hidupan laut terdiri daripada 580 spesies.

Antaranya termasuk ketam gergasi yang semula jadinya hidup kira-kira 100 meter di dasar laut, ikan lumba-lumba, penguin dan anjing laut di dalam persekitaran artifisial yang mirip dengan alam marin sebenar.

Akuarium Kaiyukan terletak kira-kira lima minit jalan kaki dari Stesen Osakako laluan subway Chuo. Selain menyaksikan kehebatan alam laut yang dipersembahkan ke darat, pelancong juga berpeluang mencuba roda ferris Tempozan yang terletak berhampiran.

Taman Mino

Lembah hutan yang terletak tidak jauh dari pusat bandar ini merupakan tempat terbaik untuk melihat keindahan hutan terutama bagi yang melawat pada musim luruh (November).

Menyamai Gunung Takao di Tokyo, Taman Mino bukan sahaja menjadi destinasi tumpuan pelancong bahkan adalah kawasan istirehat bagi penduduk bandar.

Taman Mino mempunyai laluan jelajah hutan sejauh kira-kira tiga kilometer di mana pelawat disajikan pemandangan menarik seperti bangunan berseni bina lama, bunga bonsai dan juga air terjun. Pendakian yang sederhana sukar ke Air Terjun Mino boleh dilakukan selama 45 minit dari Stesen Hankyu Mino.

Selain curahan Air Terjun Mino setinggi 33 meter, tarikan seterusnya adalah Kuil Ryuanji yang pasti dapat mengembalikan anda ke zaman silam Nippon.

Universal Studios

Selain keindahan alam semula jadi dan tarikan seni bina tradisionalnya, Osaka juga menjadi tuan rumah kepada satu daripada empat rangkaian taman tema antarabangsa, Universal Studios.

Universal Studios Japan (USJ) yang dibuka pada 2001 terletak di tebingan air, Konohana yang menyediakan pelbagai permainan taman tema mirip dengan yang ada di Universal Orlando Resort.

Taman tema yang dihias seperti kawasan perumahan mewah Beverly Hills, Amerika Syarikat itu dibahagi kepada sembilan bahagian yang kebanyakannya berbumbung.

Kepuasan untuk seisi keluarga itu termasuk permainan gelongsor, tarikan dan persembahan pentas.

USJ membawa pelawat mengembara jauh ke alam fantasi filem-filem Hollywood seperti kehebatan kesan khas di taman Jurassic Park, kecanggihan dunia robot di galeri Terminator dan Back to the Future.

Dotonbori

Osaka sebagai pusat komersial terkemuka di Pulau Honshu juga dikenali dengan tarikan aneka selera makanan bagi yang meluangkan sedikit masa ke Lorong Dotonbori. Salah satu daripada hidangan popular adalah hidangan ketam gergasi.

Bagi yang berpoket tebal dan berselera besar, kunjungan ke bahagian selatan pesisir terusan Dotonsori yang dipenuhi restoran dan bar itu juga menjanjikan keunikan hidangan 'Kuidaore' dan Takoyaki (sotong kurita).

Pertandingan Sumo

Idamkan sedikit aksi yang mendebarkan, kunjungan ke Osaka tidak seharusnya dilepaskan untuk menyaksikan aksi sukan paling popular Jepun iaitu Sumo.

Pertandingan Sumo yang berlangsung di gimnasium di Namba merupakan sebahagian daripada enam kejuaraan Grand Sumo Jepun yang berlangsung sepanjang tahun.

Perlawanan Sumo dimainkan di dalam gelanggang bulat berdiameter 4.5 meter di mana peninju bertarung untuk menjatuh atau mengeluarkan lawan dari gelanggang.

Di Osaka, kejohanan Sumo tiba pada setiap hari Ahad pertama bulan Mac dan berterusan selama dua minggu. Perlawanan biasanya bermula pada sebelah pagi dan berakhir pada lewat petang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.