VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 September 2014 / 26 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
AGROBIZ

ARKIB : 30/05/2011

Penternakan ikan siakap

IKAN siakap putih atau nama saintifiknya Lates calcarifer dari keluarga Centropomidae merupakan spesis ikan air payau yang berupaya hidup di habitat air masin dan air tawar.

Berikutan permintaan yang baik dan teknologi yang agak kehadapan berbanding ikan marin lain, aktiviti menternak spesis siakap terus mendahului dalam komoditi akuakultur ikan marin negara ini.

Di Malaysia, spesies ini adalah satu spesies yang paling banyak diternak di sangkar-sangkar terapung dan juga kolam air payau sama ada di perairan Semenanjung atau pun Sabah dan Sarawak.

Ia diternak di sangkar terapung sama ada di laut terbuka, muara sungai, teluk, lagun dan juga hilir sungai.

Selain itu, ikan dari jenis pemangsa ini juga cepat membesar dan boleh mencapai saiz antara 1.5 kilogram hingga dua kilogram dalam tempoh setahun.

Ikan siakap putih adalah bersifat hemaprodite protandri iaitu ia berlaku pertukaran jantina pada peringkat umur dan saiz tertentu.

Ikan siakap putih matang dengan jantina jantan dahulu dan akan bertukar menjadi betina.

Pada berat antara 1.5 hingga 2.5 kilogram kebanyakan ikan siakap putih adalah jantan namun apabila ia mencapai berat antara empat dan enam kilogram kebanyakan akan bertukar menjadi betina.

Dari segi fizikal muncung ikan, siakap putih jantan sedikit berlengkok sementara ikan siakap putih betina berbentuk lurus. Bentuk badan ikan jantan lebih pipih berbanding ikan betina.

Pemilihan tapak

Kriteria utama untuk pemilihan tapak sangkar perlu mengambil kira faktor seperti kedalaman air, arus, ombak, angin, dasar laut, ancaman pencemaran, ancaman haiwan perosak dan kemudahan prasarana.

Parameter berikut boleh dijadikan sebagai panduan dimana julat optimum untuk kedalaman air adalah melebihi 10 meter (m), arus antara 20 dan 50 sentimeter (sm) sesaat, ketinggian ombak kurang dari dua meter, kelajuan angin kurang dari 17 m sesaat dan dasar laut hendaklah rata serta tidak berbatu.

Reka bentuk sangkar

Komponen utama sangkar HDPE 6m X 6m ialah rangka sangkar yang juga bertindak sebagai pelampung, pagar, pukat laluan pejalan kaki, sistem sauh serta ruang yang mencukupi untuk pejabat, bilik tidur, dapur, setor, tandas mesra alam dan stor makanan ikan.

Susun atur sangkar serta peralatannya mestilah mengambil kira kesannya terhadap keselamatan sangkar dan ikan di samping keselesaan untuk menjalankan kerja - kerja pengurusan harian.

Komponen utama dan spesifikasi asas sangkar HDPE 6m X 6 m sangkar : saiz mata pukat 1 - 2 ", sauh dari bongkah konkrit seberat empat tan sebanyak 14 buah.

Kedalaman tali sauh adalah tiga kali kedalaman air manakala batu pemberat pukat antara 20 dan 30 kg setiap satu dan pelantar kerja 15m X 7 m terdiri dari kayu cengal.

Pengurusan ternakan

Pengurusan ternakan terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama menghasilkan ikan bersaiz 0.6 kg untuk dipasarkan secara hidup dan sejuk beku dan peringkat kedua untuk menghasilkan ikan bersaiz 2.5 kg untuk dijadikan produk filet.

Bagi peringkat pertama benih berukuran 8 - 10 sm atau 10 g diternak hingga 10 bulan untuk mendapat saiz 0.6 kg.

Selepas itu baki ikan boleh diternak untuk peringkat kedua selama 14 bulan. Kepadatan ikan untuk peringkat awal adalah 5,000 ekor berbanding 1,500 ekor untuk peringkat kedua.

Keperluan mutu air

Mutu air adalah faktor tekanan terhadap ikan ternakan. Mutu air yang stabil akan meningkatkan kadar hidup dan tumbesaran ikan.

Kawalan kualiti air dilakukan dari masa ke semasa dengan memastikan parameter air pada saliniti 10 hingga 30 bahagian perseribu (ppt), oksigen terlarut empat hingga sembilan bahagian perjuta (ppm), suhu antara 28-30 °C dan pH (kemasaman) antara 7.5 hingga 8.5, kandungan ammonia kurang dari satu ppm, turbiditi (kekeruhan) kurang dari 10 ppm dan hidrogen sulfida kurang dari 0.3 ppm.

Penentuan jantina

Penentuan seks atau jantina ikan siakap agak sukar untuk dikenal pasti, kecuali semasa musim pembiakan.

Namun begitu terdapat beberapa ciri yang boleh dipraktikkan bagi penentuan jantina yang mana muncung bagi ikan jantan agak lengkung sedikit, manakala bagi ikan betina muncungnya agak lurus.

Ikan jantan mempunyai badan yang lebih ramping berbanding ikan betina. Berat ikan betina lebih tinggi berbanding ikan jantan bagi ikan yang sama saiz.

Sisik yang hampir dengan kloaka adalah lebih tebal bagi ikan jantan berbanding ikan betina semasa musim pembiakan. Semasa musim pembiakan, abdomen ikan betina menjadi lebih kembung berbanding ikan jantan.

Pemakanan

Makanan adalah antara faktor terpenting dalam pengurusan kolam ternakan.

Benih-benih ikan perlu diberi makan empat kali sehari dari pagi hingga petang sehingga kenyang atau ad libitum (sehingga ikan kenyang atau berhenti makan).

Teknik pemberian makanan adalah penting bagi memastikan pengambilan makanan yang sempurna oleh ikan.

Pemberian makanan yang lebih kerap dengan kuantiti yang sama adalah digalakkan untuk memberi peluang kepada setiap individu ikan mendapatkan makanan tersebut.

Jenis makanan yang sesuai adalah pelet terapung yang mengandungi antara 40 dan 45 peratus protein sesuai dengan tabiat ikan siakap yang suka mengambil makanan di ruang air dan juga makanan yang terapung di permukaan.

Penyakit

Kematian ikan adalah satu faktor yang menyebabkan kerugian dalam aktiviti perikanan. Ikan merupakan organisme poikiloterma yang mana suhu badannya bergantung kepada suhu sekitar (air).

Apabila perubahan suhu berlaku dengan cepat ia akan menyebabkan renjatan dan seterusnya menyebabkan ikan menjadi lemah. Populasi ikan yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan kemerosotan mutu air. Makanan yang kurang atau tidak sesuai boleh melemahkan dan menyebabkan kematian ikan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.