VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 16/05/2011

25 peratus pelajar obes pada 2020?


NASI lemak menjadi pilihan utama ketika tinjauan bagi laporan khas mengenai para pelajar yang mengalami masalah obesiti di Sekolah Menengah Tinggi, Setapak, baru-baru ini.


ISU obesiti di kalangan pelajar semakin hangat diperkatakan hingga menu tradisi di kantin sekolah iaitu nasi lemak turut menerima tempiasnya.

Maka timbul persoalan, di manakah silapnya dan apakah yang akan terjadi jika masalah obesiti atau kegemukan ini dibiarkan berlarutan?

Berdasarkan statistik, sebanyak 73.8 peratus pelajar mempunyai pengetahuan mengenai pemakanan seimbang namun hanya 11.2 peratus yang mengamalkannya.

Ikuti laporan wartawan unit khas Utusan Malaysia, AZRAI MOHAMMAD dan SITI NURAZLINA JAMALUDIN mengenai isu membimbangkan itu.

Selain bertemu dengan pihak tertentu, tinjauan juga dilakukan di kantin-kantin sekolah selain mengikuti kehidupan seharian pelajar obes.

Esok, ikuti pula pengalaman Mohd. Khairul Mohd. Zain, 27, yang mempunyai berat badan luar biasa dan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang mendapati Malaysia mempunyai paling ramai penduduk obes di Asia Tenggara.

KUALA LUMPUR 15 Mei – Satu perempat atau 25 daripada 100 pelajar di negara ini dikhuatiri akan mengalami masalah obesiti atau kegemukan pada 2020 yang juga berisiko mempunyai penyakit.

Anggaran tersebut berdasarkan trend peningkatan satu peratus obesiti pelajar setiap tahun yang peratusannya didapati terus meningkat.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman menjelaskan, anggaran itu berdasarkan kajian pada 2007 yang mendapati hampir 12 daripada 100 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami obesiti berbanding hanya dua orang dikesan 10 tahun sebelumnya.

“Maka itu tidak mustahil jika tidak ditangani segera, pada 2020 sejumlah 25 daripada 100 pelajar atau satu perempat daripada mereka akan mengalami masalah itu.

“Jika diperincikan lagi, ini bermakna 10 pelajar dalam kelas yang mengandungi 40 orang adalah pelajar gemuk yang tidak aktif dan berisiko berpenyakit,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada masa ini terdapat lebih 5.24 juta pelajar sekolah rendah dan menengah.

Ridzoni berkata, walaupun selepas pelbagai pendedahan dan usaha dilakukan kerajaan, gejala obesiti atau kegemukan di kalangan remaja khususnya pelajar sekolah masih gagal diatasi.

“Oleh sebab itu, kantin berperanan sebagai tempat membentuk pemikiran pelajar berkaitan pemakanan seimbang sekali gus boleh mempengaruhi ibu bapa di rumah.

“Seandainya pengusaha kantin sekolah mampu menyediakan hidangan yang mengandungi sayur-sayuran dalam setiap menu, budaya pemakanan sihat secara praktikal dapat dibentuk dan menggalakkan para pelajar membawa amalan tersebut ke rumah,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi menangani peningkatan masalah tersebut dengan mencadangkan larangan 15 jenis makanan 'tidak sihat' dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah.

Turut dicadangkan ialah supaya indeks jisim badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.

Mengambil pengalaman beliau ketika berada di Jepun, Ridzoni berkata, pakar nutrisi dan pengusaha kantin sekolah akan bekerjasama dalam memastikan hidangan dijual adalah sihat.

Tambah Ridzoni, pelajar memerlukan kalori sebanyak 1,500 hingga 2,200 dalam sehari bergantung pada aktiviti harian yang dilakukan dan pihak berkaitan seharusnya peka dengan jumlah kalori yang sepatutnya diambil.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.