VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 12/05/2011

Keberkatan silaturrahim


Memelihara silaturrahim adalah antara tanda orang yang beriman. -Gambar hiasan


HUBUNGAN silaturrahim adalah suatu ikatan perhubungan yang dibina secara sedar di antara sesama ahli keluarga dan masyarakat.

Ia merangkumi hubungan antara ibu bapa dan anak, hubungan antara adik beradik, sahabat, kawan sepejabat, jiran tetangga dan masyarakat.

Secara fitrahnya manusia memerlukan orang lain baik sanak saudara mahupun rakan taulan untuk berkomunikasi dan berinteraksi.

Seseorang yang menghubungkan silaturrahim merupakan insan yang paling sempurna iman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain dan peliharalah hubungan silaturrahim. (al-Nisa': 1)

Perintah menghubung dan mengeratkan silaturrahim bertujuan memudahkan urusan kehidupan manusia kerana secara fitrahnya manusia tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya saling bergantung antara satu sama lain dan melengkapkan keperluan masing-masing.

Perkara ini menjadi asas pembinaan sebuah masyarakat yang harmoni. Hal ini dapat dilihat daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. (Riwayat Muslim)

Alangkah indahnya sebuah keluarga dan masyarakat yang saling hormat menghormati dan berkasih sayang kerana ia menjadi tunjang perpaduan dalam hubungan antara manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan serta tidak terbatas kepada hubungan kerabat semata-mata.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui lagi maha mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu. (al-Hujurat: 13)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalinkan hubungan silaturrahim. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Akhir-akhir ini, berlaku pelbagai peristiwa yang mendukacitakan dan ini menunjukkan betapa rapuhnya hubungan silaturrahim dalam masyarakat kita.

Ada segelintir anak tidak menghiraukan ibu bapa mereka. Ada ibu bapa ditempatkan di rumah orang tua; adik beradik tidak bertegur sapa; kawan sepejabat bermasam muka, dan hubungan dengan jiran serta masyarakat sekitar diabaikan.

Islam amat melarang umatnya memutuskan hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Apatah lagi jika hubungan tersebut melibatkan hubungan adik-beradik dalam satu keluarga. Tidak terkecuali hubungan rakan sepejabat, jiran tetangga dan masyarakat.

Memutuskan silaturrahim memberi kesan yang tidak baik, baik di dunia maupun di akhirat kelak. Lazimnya, gejala memutuskan silaturrahim di kalangan ahli keluarga berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan disebabkan perebutan harta benda, harta pusaka, hutang piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan mementingkan diri sendiri.

Kadang-kadang berlaku persengketaan sesama adik beradik yang boleh menyebabkan terputusnya ikatan silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahi dan didorong oleh sifat tidak sabar, benci serta saling tidak bermaafan.

Permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau mendamaikannya.

Memutuskan silaturrahim akan menyebabkan kehidupan seseorang sentiasa dibelenggu keresahan dan rasa tidak selamat. Orang yang memutuskan silaturahim akan mendapat balasan di dunia lagi.

Ini dapat diperhatikan dalam hadis daripada Abu Bakar r.a. bahawa baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturrahim". (riwayat Ahmad dan Ibn Majah).

Islam sangat menekankan kewajipan menghubungkan silaturrahim ini dan orang yang mengabaikannya merupakan antara golongan yang menyimpang daripada fitrah kehidupan manusia, akhlak yang buruk dan mendapat kutukan Allah SWT.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan dimuka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan. Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka. (Muhammad: 22-23)

Betapa kejinya memutuskan hubungan silaturrahim sehingga seseorang akan terhalang daripada memasuki syurga.

Ia dijelaskan sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturrahim (kekeluargaan). (riwayat Muslim)

Rasulullah SAW juga memberi amaran kepada manusia tentang sifat-sifat tercela ini.

Ia sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Jangan saling membenci, jangan berhasad dengki, jangan membelakangi kepentingan saudara-saudara kamu, dan jangan memutuskan silaturrahim, tetapi jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seseorang Muslim memulaukan saudaranya lebih daripada tiga hari. (Muttafaq 'Alaih)

Kesimpulannya, mengeratkan silaturrahim sesama saudara hukumnya wajib dan merupakan akhlak mulia (mahmudah), mempunyai darjat dan sanjungan yang tinggi di dunia dan akhirat.

Kehidupannya diberkati Allah SWT di mana jua ia berada, dan kesudahan yang baik juga di akhirat bagi orang yang menyambung hubungan silaturrahim serta melaksanakan hak ini dengan sebik-baiknya.

Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai manusia yang terbaik, Baginda menjawab dalam sabdanya bermaksud: "(Orang yang terbaik antara mereka) ialah orang yang paling bertakwa kepada Allah. Dan orang yang paling erat hubungan silaturahimnya (sesama keluarga atau saudaranya). Dan orang yang paling banyak mengajak kepada kebaikan serta orang yang paling banyak dalam melarang berbuat kemungkaran". (riwayat al-Tabrani)

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.