VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Oktober 2014 / 6 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 26/04/2011

Melahirkan generasi berintegriti tinggi

PELAN Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004 telah menampakkan banyak hasil yang positif walaupun tiada kajian dilakukan untuk mengukur tahap integriti penduduk negara ini. Kesan nyata yang dapat dilihat adalah masyarakat sekarang lebih bersikap terbuka dan berani melaporkan kejadian jenayah sama ada rasuah, buang bayi dan lain-lain.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd Tap Salleh berkata, ekoran sikap itu juga maka banyak kes-kes jenayah rasuah dan buang bayi dilaporkan dari semasa ke semasa. Daripada laporan yang diterima maka kita melihat seolah-olah statistik jenayah meningkat sedangkan pertambahan itu berlaku kerana adanya laporan media mengenainya.

"Mungkin ada pihak akan berkata kenapa kes rasuah bertambah, kenapa kes buang bayi meningkat. Jadi, timbul persoalan adakah semua tindakan PIN yang telah diambil itu tidak efektif?," katanya dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Datuk Ramani Gurusamy.

Mohd Tap menjelaskan, peningkatan kes berlaku kerana masyarakat sekarang lebih berani tampil melaporkan kes-kes berkenaan. Berbanding dahulu, orang ramai enggan melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mungkin tidak mahu dituduh 'suka jaga tepi kain orang'.

"Saya melihat statistik kes tidak bertambah, tetapi laporan di media yang meningkat. Sebab itu kita lihat seolah-olah kes-kes seumpama itu meningkat," ujarnya.

Beliau berpendapat, perubahan sikap masyarakat itu adalah satu perkembangan yang positif kerana adanya check and balance terhadap sesuatu perkara. Keadaan itu katanya, akan membuatkan seseorang individu berfikir banyak kali untuk melakukan sesuatu jenayah. Mohd Tap juga berkata, banyak tindakan telah diambil oleh IIM untuk meningkatkan integriti masyarakat dan ia dilakukan melalui seminar, bengkel dan aktiviti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Semua tindakan itu katanya telah menjadi perbualan masyarakat, justeru mesej program yang dianjurkan itu dapat disampaikan dari mulut ke mulut. Antara aspek yang kerap menjadi perbincangan yang menghasilkan tindakan adalah nilai-nilai murni dalam kepimpinan di semua peringkat sama ada di sekolah mahupun sektor awam.

Selain itu, katanya, faktor-faktor lain yang bersangkut paut adalah persekitaran yang berubah, keadaan ekonomi yang mencabar, pertambahan jenayah lain dan peningkatan pengangguran.

"Kesemua faktor-faktor itu saling berkaitan dan jika kita mahu integriti penduduk negara ini berada pada paras yang tertinggi, maka keluarga terutama golongan ibu perlu memainkan peranan masing-masing," tambahnya.

Menurutnya, ibu memainkan peranan penting dalam menyemai nilai-nilai murni di dalam jiwa anak-anak, selain peranan guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak kerajaan sendiri. Ini kerana katanya, anak-anak lebih rapat dengan ibu, berbanding dengan bapa. Justeru, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terutama wanita dalam mempertingkatkan integriti, IIM akan menganjurkan Seminar Integriti Kepimpinan Wanita bertemakan Pemerkasaan Wanita Sebagai Model Peranan Dalam Integriti di IIM pada 28 April ini.

Antara lain ia bertujuan mendapatkan maklum balas tentang tekad integriti yang terdapat dalam agenda pengukuhan integriti negara, meningkatkan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan wanita dan mengenal pasti peranan yang boleh dimainkan oleh wanita dalam ruang keluarga serta masyarakat untuk meningkatkan pembudayaan integriti.

Salah seorang pembentang kertas kerja, Datuk Dr. Rafiah Salim yang juga Pengarah Institut Pengupayaan Wanita bagi Pergerakan Negara-negara Berkecuali NAM (NIEW) memberitahu beliau akan membentangkan kertas kerja bertajuk Kepimpinan Wanita dalam Sektor Awam: Satu Perspektif Integriti.

Menurutnya, beliau akan membincangkan beberapa topik termasuk salah laku kecil dan salah laku besar yang ada kaitan dengan integriti. Katanya, ada orang menganggap lambat datang kerja itu bukan satu kesalahan, sebaliknya perkara biasa.

"Begitu juga sikap sesetengah orang yang suka menipu cuti sakit. Mereka patut menyedari bahawa duit gaji yang diperoleh sepanjang bercuti sakit atau lambat datang kerja itu adalah duit haram.

"Hakikatnya, mereka tidak layak menerima gaji sepanjang bercuti sakit yang palsu itu. Jika mereka menerimanya juga, maka itu boleh dianggap sebagai mencuri," katanya.

Dr. Rafiah menegaskan, bermula melakukan kesalahan kecil seperti itu, seseorang boleh melarat melakukan kesalahan besar seperti rasuah atau pecah amanah. Bersetuju dengan pandangan Dr. Mohd Tap, beliau menegaskan tindakan pertama bagi mendidik masyarakat supaya lebih berintegriti bermula dari rumah.

"Peranan ibu amat penting dalam menyemai nilai-nilai murni ke dalam jiwa anak-anak kerana anak-anak lebih rapat dengan ibu. Di sekolah pula, 70 peratus guru adalah wanita. Tiga perempat jawatan baru di PTD juga wanita. Sebab itulah, saya menekankan betapa pentingnya peranan wanita dalam melahirkan masyarakat yang berintegriti," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, peratusan wanita yang melanggar integriti yang serius adalah kurang berbanding dengan lelaki. Misalnya, daripada 62 pegawai kastam yang ditahan pada 3 April lalu, sembilan daripadanya adalah wanita. Manakala daripada lapan pegawai imigresen yang ditahan pada 7 April lalu, seorang daripadanya adalah wanita.

Namun, katanya, wanita dikenal pasti mudah hilang integriti apabila ia melibatkan soal keluarga, anak dan suami. Sebab itulah, katanya ada wanita terpaksa menipu cuti sakit semata-mata mahu menjaga anak di rumah ketika pengasuh bercuti atau menjaga ibu, bapa atau suami yang sakit.

"Mereka takut nak minta cuti, jadi terpaksalah menipu cuti sakit. Bukan sebab sengaja tetapi keadaan memaksa," ujarnya.

Justeru, katanya, pihak berkuasa perlu melihat isu ini dengan serius dan dicadangkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak dibuka di tempat kerja.

Selain itu, katanya, keadaan sekarang juga memerlukan pusat jagaan harian orang tua diwujudkan supaya anak yang bekerja boleh menghantar orang tua mereka ke pusat itu pada waktu pergi kerja, dan mengambil mereka semula pada waktu balik kerja.

"Jika ini dapat diadakan, maka saya yakin masalah wanita yang terpaksa menipu cuti sakit semata-mata mahu menjaga keluarga boleh dikurangkan," katanya.

Selain itu, katanya, konsep bekerja dari rumah wajar diperluaskan supaya wanita dapat menghabiskan lebih banyak masa dengan anak-anak di rumah. Begitu juga, isteri mempunyai kuasa yang hebat dalam menasihatkan suami agar tidak terlibat dengan rasuah dan pecah amanah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.