VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
PAHANG

ARKIB : 19/04/2011

Kelebihan kanak-kanak di taska


Sebahagian kanak-kanak bersedia untuk bersarapan pagi sambil diawasi oleh dua orang pengasuh di Taska Tiara Murni, Kuantan, baru-baru ini. – Utusan/khairatul ainal abdul karim


KUANTAN 18 April – Suatu ketika dahulu, hanya golongan bapa keluar bekerja mencari nafkah tetapi kini wanita juga memikul beban yang sama bagi menambah pendapatan keluarga.

Namun, timbul persoalan, jika ibu juga keluar bekerja, bagaimana dengan penjagaan anak-anak? Siapakah yang bertanggungjawab menjaga dan memantau aktiviti harian mereka?

Apakah meninggalkan anak-anak untuk dijaga oleh neneknya adalah sesuatu yang wajar? Atau adakah taman asuhan kanak-kanak atau ringkasnya taska merupakan alternatif terbaik?

Itu adalah dilema yang sering dihadapi oleh kebanyakan keluarga apabila ibu bapa bekerja.

Dengan senario masa kini yang menakutkan berikutan kes penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi, ibu bapa yang bekerja terus dihimpit dilema.

Segala-galanya terletak di tangan ibu bapa itu sendiri dalam mencorak dan memastikan keselamatan anak-anak.

Seorang pengusaha taska di Jalan Mat Kilau di sini, Norbaizura Ariffin, 50, menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak di bawah seliaan taska daripada menghantar anak ke rumah orang lain.

Ini kerana di taska, katanya, kanak-kanak dikawal rapi dari segi keselamatan dan pemakanan.

Di taska juga katanya, pemakanan kanak-kanak tersebut begitu dititikberatkan supaya mereka dapat membesar dengan sihat.

“Kanak-kanak akan diberi makanan berkhasiat seperti bijirin, roti, telur, sup sayur, daging, ayam, biskut dan bihun goreng.

“Di sini, kami sentiasa memastikan makanan yang dihidangkan kepada kanak-kanak mengandungi karbohidrat, protein, vitamin dan kalsium untuk keperluan tumbesaran mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Norbaizura yang mendapat sokongan kuat daripada suami, Akmal Yahya, 53, berkecimpung dalam bidang pengasuhan kanak-kanak hampir enam tahun lalu berkata, kanak-kanak juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat.

Sebaik sahaja ibu bapa menghantar anak-anak, ujarnya, pengasuh telah bersiap-sedia dengan aktiviti menyeronokkan.

“Di taska, aktiviti dijalankan turut mengambil kira faktor umur dan keupayaan kanak-kanak itu sendiri.

“Misalnya, bayi berusia tiga hingga 12 bulan akan melakukan aktiviti seperti mendengar muzik, menggenggam jari, sentuhan, main alat yang mengeluarkan bunyi atau tindak balas cermin.

“Kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun pula lebih cenderung melibatkan diri dalam aktiviti mengenal warna, saiz, melukis, menghasilkan kraf tangan, menyanyi, berdrama dan menari,” katanya.

Norbaizura berkata, aktiviti paling digemari kanak-kanak di taskanya ialah sesi bercerita dan lakonan.

Menerusi cerita dan lakonan yang disampaikan guru, katanya, kanak-kanak bukan sahaja terhibur malah mudah memahami apa yang hendak disampaikan dalam kisah tersebut.

“Kanak-kanak akan berasa gembira dan terhibur apabila permainan mereka diselitkan dengan pelbagai informasi dan pendidikan.

“Justeru, saya kurang bersetuju apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak menggalakkan anak-anak mereka bermain kerana menganggap sesi bermain hanya merugikan dan membuang masa.

“Aktiviti ini juga merupakan salah satu persediaan diri kanak-kanak untuk menempuh alam remaja dan dewasa,” ujar Norbaizura yang mengusahakan taska selain sebuah tadika dan pusat jagaan di sini.

Tambahnya, jika ibu bapa melihat anak-anak mereka bermain pasir, jangan cepat melenting tetapi seelok-eloknya memberitahu mereka bahawa pasir tidak elok untuk dijadikan alat mainan.

“Beritahu anak-anak, terdapat bermacam-macam benda dalam pasir, antaranya bakteria yang boleh mendatangkan penyakit,” ujarnya.

Selain itu, Norbaizura memberitahu, gerak-geri kanak-kanak sering diawasi oleh pengasuh.

Di taskanya juga, kata beliau, kanak-kanak dilarang bermain di luar premis tanpa pemantauan pengasuh.

“Ancaman keselamatan seperti kemalangan, terjatuh dalam longkang atau bermain alatan tajam, bergaduh dengan rakan mungkin berlaku.

Namun, dengan kecekapan pengasuh terlatih di sini serta diiktiraf, ancaman keselamatan seumpama itu boleh dielakkan,” ujarnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.