VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
TIMUR

ARKIB : 12/04/2011

Jadikan produk pelancongan


Seorang peserta bersama piala yang dimenangi dan burung ketitir miliknya yang berharga RM120,000 pada Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir ASEAN Kelantan 2011 di Lubuk Jong, Pasir Mas, baru-baru ini.


PASIR MAS 11 April – Siulan seekor burung ketitir, mungkin satu kebiasaan bagi sesetengah orang. Namun, lain pula kepada penggemarnya yang menilai kehalusan seni di sebalik kemerduan suara burung itu, dianggap terlalu istimewa dan amat berharga.

Barangkali, disebabkan ‘aura’ seni suaranya begitu abstrak, aktiviti membela burung ketitir yang suatu ketika dulu hanya popular di kalangan masyarakat petani, kini, menarik minat serta menjadi hobi kalangan korporat, jutawan, malah, golongan elit sehingga ada yang sanggup berbelanja besar sehingga ratusan ribu ringgit semata-mata untuk memperoleh seekor burung ketitir sebesar dua jari.

Hobi menikmati suara burung ketitir tidak lenyap ditelan zaman, sebaliknya terus kekal untuk ‘santapan’ dari satu generasi ke satu generasi.

Bahkan, perkembangannya dilihat agak meluas dan membanggakan rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang khususnya apabila seni suara burung ketitir menjadi satu ‘permainan’ yang turut melibatkan penggemar dari luar negara termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand.

Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir ASEAN Kelantan 2011, yang diadakan sempena sambutan perayaan Jubli Perak Persatuan Seni Suara Burung Ketitir Negeri Kelantan bertempat di Lubuk Jong, dekat sini, baru-baru ini, jelas membuktikan perkembangan permainan atau pertandingan tersebut yang merentasi sempadan.

Apa tidaknya, hampir 2,000 ekor burung ketitir melibatkan tidak kurang 400 peserta dari Singapura, Indonesia dan Thailand termasuk Malaysia menyertai pertandingan tersebut untuk menguji kemerduan suara haiwan itu.

Difahamkan acara yang diadakan setiap tahun itu berjaya mencipta sejarah penyertaan tertinggi sejak ia diperkenalkan lebih 30 tahun lalu sehingga membanggakan Penaung Persatuan Seni Suara Burung Ketitir Kelantan, Datuk Nik Ishak Nik Daud.

Menurut beliau, sudah tiba masanya mutu permainan tradisi itu ditingkatkan bagi mengangkat martabat pertandingan tersebut.

“Ini kerana ia melibatkan penggemar di peringkat antarabangsa yang secara tidak langsung mampu dijadikan produk pelancongan negeri ini,” katanya semasa ditemui selepas menghadiri majlis pertandingan tersebut di sini, baru-baru ini.

Kata Nik Ishak lagi, sebelum ini, pertandingan suara burung ketitir biasa diadakan oleh golongan petani sebagai satu hiburan terutama selepas seharian membanting tulang di bendang.

Dalam pada itu, menyedari perkembangan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan dalam ucapan perasmiannya memberitahu, kerajaan negeri akan menyediakan satu lokasi kekal sebagai kemudahan kepada peminat seni suara burung ketitir tempatan untuk mengadakan aktiviti berkaitan.

Lokasi sesuai akan dikenal pasti di sekitar jajahan Kota Bharu yang dianggap paling strategik, selain bandar itu mempunyai banyak kemudahan terutama dari segi perhubungan.

Takiyuddin berkata, lokasi itu wajar diwujudkan berikutan aktiviti itu semakin mendapat sambutan meluas peserta dalam dan luar negeri, sekali gus memberi peluang kepada kerajaan untuk mempromosikan pelbagai produk pelancongan.

Menurutnya, kerajaan juga akan mengambil inisiatif bagi meningkatkan mutu pertandingan kerana ia melibatkan peserta antarabangsa.

“Peminat dan penggiat seni ini semakin berkembang tanpa mengira kaum, budaya mahu pun latar belakang, maka mutunya juga mesti ditingkatkan agar ia dilihat semakin menarik,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan, Abdullah Md. Yusoff ketika menyentuh proses membela seekor burung ketitir untuk pertandingan berkata, ia bukan satu perkara mudah sebagaimana disangka oleh kebanyakan orang, termasuk dalam soal menentukan juara.

Pelbagai usaha perlu dilakukan ke atas burung terbabit antaranya aspek pemakanan yang teratur termasuk pengambilan ubat serta vitamin untuk memastikan kemampuan seekor burung itu mengeluarkan suara yang merdu dan lunak.

“Bermula dengan proses makanan, burung-burung akan diberi bunga rumput ataupun sekoi selain makanan utamanya termasuklah vitamin ataupun bancuhan air khas untuk membantu meningkatkan kesihatan.

“Manakala pasir khas iaitu campuran pasir pantai yang digoreng diberi untuk membantu proses penghadaman dan menjaga kelunakan suara burung,” jelasnya.

Menurut Abdullah lagi, tidak semua burung mempunyai suara yang baik dan hanya yang terpilih selain faktor genetik akan menentukan keupayaan suaranya.

“Selain itu burung juga perlu dilatih dari segi keupayaan mengeluarkan lenggok, getaran suara dan sebagainya mengikut kriteria pertandingan,” jelasnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.