VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 08/04/2011

Dakwah ‘dinihari’ Salam FM


Penerbit dan juruhebah Salam FM bersama Ismail Noor (dua dari kanan).


ADA ke orang nak dengar radio pada lewat malam hingga dinihari dan membawa ke awal pagi? Apatah lagi, yang berkonsepkan pendekatan dakwah Islamik?

Itulah tanda tanya spontan di fikiran penulis sebaik menerima tugasan liputan tentang radio penyiaran berkonsep Islamik Salam FM, kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Lantas itu, kesempatan mewawancara Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran, Ismail Noor di pejabatnya Khamis lalu menjadi peluang keemasan bagi meleraikan persoalan di atas.

“Mungkin ramai beranggapan radio yang bersiaran di tengah malam hingga ke awal pagi itu tidak ada pendengar atau pengikutnya. Namun, persepsi sebegitu sebenarnya salah.

“Ini kerana pendengar kami adalah terdiri daripada mereka yang bekerjaya dalam syif, ada juga mereka yang terdiri daripada para pelajar, pemandu teksi atau lori dan tidak ketinggalan juga kategori mereka yang tidak tidur, mungkin kerana pelbagai sebab dan alasan.

“Malah menurut juruhebah-juruhebah serta penerbit-penerbit yang bersiaran, ada segelintir segmen yang melibatkan tetamu ke konti atau membuka sesuatu topik, respons daripada pendengar amat menggalakkan. Malah ada juga panggilan daripada rakyat Malaysia yang tinggal di Australia dan Jepun,” akui Ismail.

Sayangnya, perkara ini tidak dapat dibuktikan menerusi rating sebenar kerana pihaknya belum lagi memperoleh data tersebut.

Kata Ismail, lebih membanggakan apabila ada program di Salam FM mendapat sambutan daripada Radio Brunei, di mana ada antara bahan pengisiannya disiarkan di stesen radio di sana.

Ini ujarnya, menunjukkan di dalam konteks dakwah ia sesuatu yang bagus kerana berlaku perkongsian ilmu menerusi bahan-bahan yang disediakan oleh pihak mereka, sekali gus membuktikan kualiti serta mutu bahan-bahan penerbitan Salam FM.

Menceritakan detik awal kemunculan Salam FM kata Ismail, ia adalah stesen radio berfokuskan dakwah dan ajaran Islam kelolaan Jakim dengan kerjasama Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Memulakan siaran percubaannya pada 15 Februari 2009 dari pukul 1 pagi hingga 8 pagi.

Kemudian pada 11 Jun tahun yang sama, ia dilancarkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Pada 1 Oktober 2009, radio Salam FM ditambah waktu siarannya iaitu bermula 12 tengah malam hingga 8 pagi setiap hari ke seluruh negara dan beberapa negara luar.

Salam FM dipancarkan dari Konti 7 berkongsi studio dengan ASYIKfm dan Suara Islam di Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Siaran Salam FM amat jelas diikuti sekitar Lembah Kelang melalui frekuensi FM 91.1 MHz, Pahang Barat melalui frekuensi FM 102.5 MHz dan Cameron Highlands, FM 105.1 MHz.

Untuk lain-lain kawasan sekitar Malaysia SalamFM boleh didengari melalui Gelombang Pendek Kebangsaan, GPK 49 meter atau SW 6070 KHz.

Kelebihan berkongsi gelombang pendek siaran radio Suara Islam adalah Salam FM dapat menjangkau pendengar luar negara melalui frekuensi GPK 31 meter dan GPK 48.58 meter atau SW 9750 KHz.

“Penubuhan dan pengoperasian Salam FM adalah bagi menyahut trend semasa iaitu medium radio mempunyai keberkesanan langsung yang pantas, mudah dan murah untuk diaplikasi bagi tujuan dakwah.

“Lantas ia bertepatan dengan objektif stesen ini iaitu untuk melebarkan lagi program dakwah melalui radio dalam Bahasa Malaysia dengan program-program yang berinformatif dan ilmiah selain merangkumi semua aspek kehidupan seorang Muslim dalam menuju reda Allah SWT.

“Ia juga sebagai satu kaedah untuk memberi pilihan kepada pendengar mendapat input dakwah secara interaktif pada waktu sepertiga malam.

“Yang paling utama adalah untuk memastikan ajaran Islam tersebar luas kepada seluruh masyarakat bagi melahirkan ummah yang progresif dan berakhlak mulia,” ulas Ismail.

Bagaimanapun, setakat ini radio Salam FM masih belum lagi dimasuki bahagian pemasaran.

“Saya ada mencadangkan kepada pihak pemasaran untuk kita menjual program dan rancangan yang di jangka boleh dijual iaitu pada pukul 6 hingga 8 pagi.

“Seperkara lagi, walaupun program-program kita berjaya mencapai golongan pelbagai peringkat usia tetapi golongan yang belum kita penuhi adalah kategori kanak-kanak. Ini kerana masa siaran yang tidak sesuai.

“Jadi saya rasa untuk mendalami lebih, mungkin tidak timbul masalah kerana sekurang-kurangnya para pendengar telah memperoleh asas menerusi segmen yang disediakan,” jelas Ismail.

Pada bulan Ramadan pula, Salam FM ada menerbitkan segmen Salam Masjid bagi memberi peluang pihak masjid menghebahkan aktiviti sepanjang bulan mulia tersebut.

Pada musim haji pula, ia turut memuatkan jadual penerbangan haji pergi dan balik.

Kata Ismail, radio itu mengalukan-alukan mana-mana pihak yang berhasrat membuat hebahan awam di Salam FM secara percuma.

Selain itu, baru-baru ini telah diwujudkan laman sosial facebook untuk menarik lebih ramai pendengar dan pada masa sama berpeluang mengenali secara lebih dekat mereka yang di belakang tabir Salam FM.

Bagi yang inginkan maklumat lanjut mengenai Salam FM, anda boleh melayari www.salamfm.my

Mengenai strategi masa depan Salam FM, Ismail berkata, adalah baik sekiranya saluran itu boleh mendapat waktu siaran lebih awal.

“Kita yakin jika berpeluang bersiaran awal, kita mungkin boleh tarik lebih ramai pendengar. Ini kerana kita memikirkan program-program yang berat untuk masuk pada sebelah malam, dibimbangi kurang pendengarnya.

“Sebab itulah pada pukul 12 tengah malam, kita menyediakan rancangan yang berbentuk interaktif. Apabila di pertengahan pagi, juruhebah pula akan memainkan peranan, sama ada yang berbentuk rakaman dan kemudian diikuti dengan alunan bacaan al-Quran pada pukul 3 pagi,” kata Ismail mengakhiri perbualan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.