VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 04/04/2011

Berpantang maut sebelum ajal


Datuk Sarimah Ahmad


BUKAN mudah untuk memujuk primadona ini berkongsi kedukaan yang sudah lama bersarang di lubuk jiwanya. Alasan yang diberikan, dia enggan penderitaan yang dilaluinya akan mudah menarik simpati ramai.

Selama ini pun, apa saja pandangan buruk yang tidak dibahaskan masyarakat mengenai lara yang dilalui oleh golongan anak seni sepertinya dan kerana itu kali ini, seniwati unggulan, Datuk Sarimah Ahmad lebih senang berdiam diri.

Namun, kehendak Hits yang tidak pernah henti memujuknya untuk tampil di media berkongsi cerita mengenai penyakit kanser yang dihidapinya mencairkan hati beliau.

Pertemuan diatur di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor (berdekatan dengan kediamannya) untuk diinterbiu baru-baru ini.

Kejelitaan seniwati yang mula menempa kemasyhuran di era studio perfileman hitam putih di Jalan Ampas masih belum luntur. Dia hadir dengan imej yang cukup sederhana, bertudung hitam putih dan berkain serta blaus panjang hitam.

Aktres Sarimah atau lebih mesra dipanggil sebagai Kak Mah pagi itu hadir ditemani anak kelimanya, Yusarima Puteri.

Tidak banyak yang berubah pada Sarimah. Pada usianya mencecah 68 tahun, beliau masih manis biarpun sekadar mengenakan solekan yang nipis.

Bagaimanapun, dalam kesederhanaan itu, pada wajahnya sebetulnya terpancar kesedihan yang cuba diselindungi tuan punya dirinya yang kental dengan semangat juang yang tinggi, apa lagi untuk berhadapan dengan ujian maut selama setahun kerana kanser - penyakit yang amat digeruni dan menjadi antara penyakit paling berbahaya di dunia era moden ini.

Semangat berlawan dengan penyakit yang dikongsi dengan Sarimah pada awal perbualan sudah cukup menjelaskan betapa beliau sentiasa reda dengan ujian Ilahi.

Mengenali Sarimah, beliau tidak pernah lekang diuji sejak dari usia mudanya sehingga mendaki usia emas. Ibu tunggal kepada enam orang anak ini tidak henti-henti melafazkan rasa syukur pada Yang Maha Esa kerana kuasaNya itu mengatasi apa yang pernah diungkapkan oleh pengalaman perubatan.

“Bila doktor memberitahu jangka hayat Kak Mah hanya mampu bertahan tiga bulan saja, Kak Mah amat terkejut namun reda andai itu ketentuanNya. Kak Mah harus menerima qada dan qadar Tuhan,” Sarimah memulakan perbualan dalam nada yang cukup sebak.

Air mata cuba ditahan agar tidak mengalir laju dari kelopak matanya saat membuka rahsia mengenai penyakit barah hidung dan otak yang dimaklumkan oleh doktor ketika menjalani pemeriksaan pada April tahun lalu.

Sejak tarikh 20 April tahun lalu, hari yang dimaklumkan oleh doktor mengenai penyakit yang dideritainya, kehidupan Sarimah berubah secara total.

“Kak Mah masih ingat tarikh 20 April tahun lalu, bila Farawahida, Jamil dan Siti Rohani (arwah menantu yang meninggal kerana kanser payu dara pada Julai tahun lalu) membawa Kak Mah ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan keputusan perubatan, Kak Mah hanya berserah pada Allah.

“Tatkala doktor mengesahkan Kak Mah mengidap penyakit barah hidung dan otak tahap empat dan hanya ada waktu tiga bulan untuk hidup, Kak Mah hanya melafazkan `aku reda’.

“Sebab Kak Mah percaya, hidup dan mati kita ditentukan oleh Allah SWT dan jika sudah sampai ajal kita, ia tidak akan cepat atau lambat walau sesaat jua,” sambung Sarimah dengan nada bergetar.

Hati wanita, sesabar mana sekalipun mereka menerima ujian, namun sebagai insan yang lemah air mata akhirnya tumpah juga kerana tidak mampu untuk melaluinya sendirian.

“Kak Mah cuba kuat, namun hati seorang wanita tidak dapat menahan air mata daripada menitis. Waktu itu Kak Mah memandang Ida, Jamil dan Siti Rohani yang terdiam kaku.

“Walaupun hati ini digayut sedih namun Kak Mah reda dan yakin selagi belum sampai ajal, Kak Mah akan berusaha untuk membebaskan diri daripada penyakit ini.

“Cuma doa Kak Mah ketika itu, agar Allah beri peluang kepada Kak Mah untuk menunaikan umrah walaupun untuk kali terakhir pada bulan Ramadan lalu. Alhamdulillah, doa Kak Mah dimakbulkanNya,” cerita Sarimah dalam nada sebak.

Sebetulnya, tidak ramai yang mengetahui primadona yang bakatnya diasah oleh Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu sudah diserang kanser sejak 2007 lagi.

“Waktu itu, dalam seminggu sekurang-kurangnya Kak Mah demam dan batuk sampai tiga empat hari. Bila makan ubat, demam kebah dan batuk pun reda.

“Bukan itu sahaja, malah kadang-kadang waktu tengah malam, tiba-tiba lidah Kak Mah keras. Kak Mah tak boleh rasa apa pun. Kepala sakit macam nak putus nyawa.

“Walaupun ketika itu, Kak Mah memujuk hati ini agar sabar namun kadang-kadang Kak Mah dapat rasakan maut bagaikan di depan mata. Apa yang mampu Kak Mah lakukan, hanyalah meminum air zam-zam yang menjadi minuman utama Kak Mah setiap hari.

“Bukan itu sahaja, malah Kak Mah sering diserang sakit kepala yang amat sangat dan mata semakin kabur. Bila penyakit itu datang menyerang, Kak Mah rasa dunia ini bagaikan gelap dan tidak punya apa-apa lagi,” Sarimah mendedahkan derita yang dilalui dengan penuh keinsafan.

Namun kerana sifat tawakal dan istiqamahnya, Sarimah tidak pernah mengalah. Menyedari setiap penyakit ada penawarnya, beliau memilih untuk mendekati Allah dengan menghayati bacaan ayat-ayat suci al-Quran selain memastikan solat wajib menepati waktu dan amalan solat sunat digandakan.

Sebagai seorang muslim, Sarimah berpegang pada ketentuan seandainya Allah mencabut nyawanya pada bila-bila masa, dia reda namun kewajipan sebagai hambaNya tidak akan sama sekali dipersiakan.

Ada ketika dalam serba kesulitan juga, Sarimah tetap mendekati Allah biarpun dalam keadaan terbaring.

Namun, satu hal yang tidak sanggup untuk dilalui pelakon Madu Tiga dan Ibu Mertuaku itu ialah proses perubatan kimoterapi yang disyorkan doktor kerana proses itu amat menyakitkan.

“Melihat kedegilan kak Mah enggan menjalani kimoterapi, Usha membawa kak Mah berjumpa doktor dan memberitahu keadaan sebenar. Bukan Kak Mah tidak percaya dengan perubatan moden, tetapi dalam usia Kak Mah ketika itu sudah mencecah 67 tahun ketika, tubuh Kak Mah tidak mampu menerimanya lagi.

“Bagi Kak Mah biarlah Kak Mah bertahan begitu dan jika Allah akan menjemput Kak Mah pulang, Kak Mah reda daripada menjalani proses kimoterapi,” kata Sarimah berkali-kali.

Beruntung Sarimah kerana beliau disayangi ramai. Saudara-mara dan kenalan rapat yang mengetahui penderitaan yang dilaluinya turut sama mendoakan kesejahteraan dan kesihatannya.

Ini termasuk saudara terdekat, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi dan isteri yang tidak pernah putus mengadakan solat hajat mendoakan kesihatannya.

Ketika Sarimah menanggung kesakitan yang amat sangat dan teraba-raba untuk mencari ubat, seorang kawan membawanya berjumpa seorang Profesor yang dikenali sebagai Prof. Syed yang menawarkan makanan tambahan B17 yang diimport dari Mexico.

“Sebelum mengamalkan pil supplemen ini, Kak Mah harus menjalani ujian darah. Hasil daripada keputusan ujian darah itu barulah Profesor berkenaan mengetahui penyakit Kak Mah. Keputusannya, Prof. Syed mendapati Kak Mah mengidap kanser hidung dan otak tahap empat dan Kak Mah juga ada masalah jantung,” Sarimah menjelaskan hasil penemuan dengan professor berkenaan.

Amalan dan gaya hidup Sarimah selama ini sememangnya positif dan memenuhi kriteria mereka yang sihat. Beliau amat menjaga kesihatan terutama dari aspek pemakanan selain sentiasa mengadakan senaman ringan setiap hari.

Justeru, apabila disahkan mempunyai masalah jantung, beliau sendiri keliru dan tertanya-tanya kenapa ia berlaku pada dirinya.

“Akhirnya kak Mah berbalik pada ketentuan Ilahi. Seperti yang kak Mah katakan sebagai umat Islam, kak Mah reda dengan ujian Allah. Dengan wang simpanan yang kak Mah ada serta bantuan anak-anak, kak Mah bersedia menjalani rawatan alternatif yang ditawarkan," jelasnya yang berterima kasih kepada anak-anak yang sentiasa mengambil berat soal kesihatannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.