VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Julai 2014 / 1 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 28/03/2011

Pemikiran Strategi Laut Biru


Najib Tun Razak berbual dengan seorang banduan sambil diperhatikan ahli keluarga banduan (kiri duduk) selepas melancarkan program pemulihan dan perasmian pusat pemulihan pemasyarakatan di Kem Mahkota Kluang, Sabtu lalu.


KEADAAN aman di Malaysia menyebabkan kelibat anggota tentera jarang-jarang kelihatan.

Berbeza dengan polis yang dapat kita lihat di mana-mana, tentera apatah lagi dalam jumlah yang besar hanya dapat dilihat semasa perbarisan Hari Kebangsaan, membantu memindahkan mangsa bencana banjir atau tanah runtuh.

Sekali-sekala wajah segak mereka keluar di dada akhbar ketika berlepas pergi atau pulang dari luar negara sebagai pasukan pengaman di bawah panji Bangsa-Bangsa Bersatu.

Akibatnya anggota tentera menjadi figura yang asing bagi masyarakat.

Justeru pelancaran Program Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota, Kluang, Johor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lalu, membawa perspektif baru kepada tugas pasukan tentera - bukan hanya mendekati rakyat semasa kecemasan atau bencana.

Seperti kata Najib: "Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan terutamanya polis, tentera dan Jabatan Penjara dilihat menjaga kubu masing-masing dengan secara cemburu."

Namun di bawah pemikiran Strategi Laut Biru (National Blue Ocean Strategy - NBOS), kedua-dua kementerian bekerjasama dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan yang sedia ada bagi mencapai impak lebih besar.

Sebelum ini, mungkin tidak pernah dibayangkan sebuah pusat pemulihan yang menempatkan banduan akan dibina di dalam kem tentera.

Namun di bawah NBOS, pusat-pusat pemulihan akan dibina di kem tentera yang dikenal pasti dengan anggota tentera membantu menyelia banduan bersama-sama pegawai penjara.

Lima kem tentera terlibat menjadi perintis program iaitu Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan, Kem Tok Jalai, Alor Setar (Kedah), Kem Batu 10, 4 Briged Mekanis, Kuantan (Pahang), Kem Desa Pahlawan (Kelantan) dan Kem Mahkota, Kluang, Johor, yang dirasmikan Najib, kelmarin.

Mungkin akan timbul suara-suara sumbang mempersoalkan kenapa perlu dilakukan di dalam kem tentera? Tidakkah ini akan mengancam keselamatan anggota tentera dan keluarga mereka yang berada di dalam kawasan itu. Malah lebih buruk lagi mendedahkan aset ketenteraan negara kepada golongan banduan?

Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifeli Mohd. Zin sudah pun bersedia menjawab isu-isu seperti itu.

"Secara logiknya dalam keadaan sekarang, di manakah lokasi yang paling sesuai untuk membina penjara," soalnya.

Hakikatnya tidak ada komuniti yang mahukan penjara dibina dalam kejiranan mereka.

Memang mudah mencadangkan program itu dan ini kononnya untuk mengembalikan bekas banduan ke pangkuan masyarakat, namun realitinya siapa yang benar-benar ikhlas dan tidak teragak-agak menerima mereka?

Menyedarinya, Najib selaku bekas Menteri Pertahanan yang cukup arif tentang aset dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melontarkan pandangan: "Kenapa tidak dibina sahaja pusat pemulihan banduan di dalam kem tentera?"

Selain menjimatkan kos seperti dijelaskan Perdana Menteri - dianggarkan hampir RM40 juta untuk membina sebuah penjara berbanding hanya sekitar RM4 juta bagi sebuah pusat pemulihan di dalam kem tentera - masalah kesukaran mencari lokasi penjara baru seterusnya kesesakan di penjara seluruh negara dapat diatasi serentak.

Bagi Zulkifeli dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar, program terbaru ini cukup mengujakan mereka.

Sebagai langkah pertama untuk memasyarakatkan kumpulan yang terlibat di bawah program itu, mereka tidak lagi dipanggil banduan sebaliknya 'orang yang diselia'.

Selain kemahiran tertentu yang akan diajar kepada mereka sebagai bekal apabila keluar nanti, pelbagai aktiviti antaranya kelas pemantapan rohani oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan serta perlawanan futsal persahabatan, dirancang.

Malah, Kor Pendidikan Angkatan Tentera bersedia mengadakan kelas malam untuk 'orang yang diselia' sekiranya ada yang berminat menduduki peperiksaan.

Semuanya bermatlamat membina sikap baik, memudahkan pergaulan dan mengembalikan keyakinan mereka untuk berdepan dengan masyarakat.

Akhirnya, peranan Jabatan Penjara sebagai organisasi pemulihan dan bukan sekadar pelaksana hukuman akan betul-betul tercapai.

Penglibatan ATM pula akan memberi nilai tambah kepada 'graduan' pusat pemulihan terbabit apabila mereka dibiasakan dengan nilai disiplin tentera yang tinggi.

Justeru ia diyakini akan menurunkan kadar kemasukan semula ke penjara sekali gus mencapai salah satu objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kadar jenayah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.