VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 27/03/2011

Syurga borong serantau




NAMANYA mungkin tidak sepopular Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur atau Nilai 3, Negeri Sembilan. Namun bagi kebanyakan peniaga kecil dan sederhana, Jalan Kenanga ibarat syurga terutama bagi mendapatkan pakaian dan kelengkapan tekstil pada harga yang sangat berpatutan.

Tidak ramai yang mengetahui kewujudan Jalan Kenanga jika disebut mengenai lokasi beli-belah popular di Kuala Lumpur.

Ini berikutan kawasan yang wujud sejak lebih kurang 40 tahun itu terdiri daripada unit-unit kedai borong yang menjual barangan secara pukal kepada peruncit dan peniaga kecil sahaja.

Apa sahaja barangan yang berkaitan dengan fesyen seperti pakaian, beg, kasut, aksesori, barangan solek, kelengkapan tekstil dan perhiasan rumah boleh dapati di kawasan yang juga dikenali sebagai Ho Ching Yuen itu dengan syarat - beli secara borong.

Tinjauan M2 ke deretan kedai lama yang terletak di persimpangan Jalan Loke Yew dan Jalan San Peng itu mendapati ia sebenarnya tidaklah terlalu sesak dengan pengunjung.

Kedai-kedai di situ kebiasaannya mempunyai pelanggan tersendiri.

Namun, kenderaan masuk dan keluar silih berganti. Untuk meletak kenderaan sahaja, penulis terpaksa berpusing berkali-kali.

Jika Jalan Tuanku Abdul Rahman lebih terkenal sebagai pusat pakaian yang lebih khusus kepada fesyen Melayu dan India, Jalan Kenanga pula tidak terbatas. Pastinya kepelbagaian itu membuatkan sesiapa juga rambang mata untuk memilih. Bukan sahaja busana muslimah seperti tudung, batik, blaus, jubah dan baju kurung, malah pakaian dengan aliran fesyen terkini termasuk skirt, top, legging, denim dan banyak lagi ada di situ. Juga terdapat butik pakaian kanak-kanak dengan pilihan jenama hebat.

Kedai-kedai yang terletak pada deretan bangunan lama itu beroperasi dari Isnin hingga Sabtu bermula pukul sembilan pagi hingga enam petang.

Menurut Setiausaha Persatuan Pemborong Pakaian Malaysia (MGWMA), Jimmy Chan, ketika ini terdapat lebih 400 premis yang beroperasi di sekitar kawasan tersebut.

"Lebih tepat jika kawasan ini disebut sebagai pusat fesyen tumpuan serantau bukan sahaja pemborong dalam negara malah dari luar juga," katanya yang juga merupakan pembantu peribadi kepada Pengerusi MGWMA, Datuk Ang Say Tee.

Jelas beliau, jika dahulu Singapura sering menjadi tumpuan pemborong serantau, kini ia beralih ke kawasan itu disebabkan beberapa faktor seperti penjimatan kos dan kemudahan yang disediakan.

"Pemborong dari Singapura, Indonesia, Thailand, Kemboja malah rantau Arab juga ada yang mendapatkan barangan di sini sejak kebelakangan ini," katanya.

Mengapa borong?

Anda mungkin berasa teruja melihat tanda harga RM30 untuk sepasang seluar slack berwarna hitam yang berkualiti baik. Namun harus diingat, ia perlu dibeli setengah dozen berlainan saiz dan warna bagi mendapatkan harga tersebut.

"Kami perlu melindungi pemborong dan juga butik-butik kecil di luar. Kalau anda boleh mendapatkan sehelai pakaian pada harga yang murah di sini, bagaimana keadaan peniaga yang memiliki butik-butik di luar?" soal beliau.

Bagaimanapun, Jimmy berkata pemborong adakalanya turut menjual bukan secara pukal dengan syarat harganya jauh lebih tinggi atau sama dengan luar.

Kebiasaannya kata beliau, harga kebanyakan barangan di situ membolehkan peniaga memperoleh keuntungan sehingga 20 hingga 30 peratus. Tambah beliau, pemilik butik biasanya tidak mempunyai masalah untuk menaikkan harga bergantung kepada lokasi perniagaan malah ada yang memperoleh keuntungan hingga 50 peratus daripada harga borong.

Konsep borong dalam masa yang sama juga kata beliau mampu mengelak risiko kerugian tinggi di kalangan pemborong.

"Berniaga pakaian sangat berisiko. Fesyen datang dan pergi, persaingan juga sangat tinggi. Adakalanya, barangan yang dihantar oleh pengilang tidak seperti yang diharapkan, kerana itu perlu ada peraturan agar pemborong turut merasai keuntungan yang sama," kata beliau.

Menurut Jimmy, pernah satu ketika ada yang mencadangkan agar pemborong di situ mengadakan jualan runcit setiap Ahad, namun ia tidak mendapat sambutan berikutan beberapa faktor seperti kekurangan kakitangan dan juga kerugian yang perlu ditanggung.

Selamat

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Tekstil dan Barangan Am Malaysia, Yew Chin Liong berkata, mungkin faktor keselamatan dan kebersihan membuatkan pengunjung kurang selesa berurusan di situ.

Beliau yang telah berniaga tekstil di situ sejak 1970-an lagi dan 80 peratus daripada pelanggan perniagaannya terdiri daripada orang Melayu.

Mungkin suatu masa dulu kawasan tersebut dikenali sebagai 'kawasan gelap', namun menurut Chin Liong, kini tidak lagi. Sebaliknya kawasan itu menjadi tumpuan pelancong dari luar seperti Indonesia, Brunei, India dan Arab.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.