VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 10/03/2011

Membeli belah, hiburan nombor satu untuk wanita

SELEPAS Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Nilai, Bandung dan China kini demam membeli-belah di kalangan wanita Malaysia telah beralih angin ke bandar Ho Chi Minh atau Saigon di Vietnam.

Seingat saya dulu di Kuala Lumpur, tempat paling popular untuk membeli-belah adalah di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit.

Dua pasar raya terkenal ketika itu adalah Batu Road dan Globe Silk Store.

Kedatangan orang luar dari Kuala Lumpur tidak akan sempurna tanpa berkunjung ke Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, khasnya membeli-belah di Batu Road dan Globe Silk Store.

Hilang populariti di Jalan Tuanku Abdul Rahman muncul pula kawasan perniagaan di Nilai yang menggamit pengguna untuk ‘berhabis duit' di situ.

Apa yang dicari semuanya ada di Nilai. Dari kelengkapan dan hiasan rumah, pinggan-mangkuk, perabot, alat dan peralatan perkahwinan serta kain ela semuanya boleh dibeli dengan harga murah.

Sama ada berniaga atau tidak, yang pasti Nilai turut mendapat rezeki ekoran ribuan pelanggan dari seluruh pelosok negara yang datang ke situ.

Bahkan rombongan di kalangan ahli keluarga dan persatuan wanita dari seluruh negara juga sanggup datang untuk membeli-belah di Nilai.

Bagi yang ingin mendirikan rumah tangga, inilah juga tempatnya. Daripada bunga telur, kain langsir, hantaran pelbagai rupa dan warna tema boleh dibeli.

Langsir boleh ditempah dan siap dalam masa paling lewat 4 jam, begitu juga bekas hantaran. Pilih warna, bentuk dan sejam kemudian sudah siap.

Sementara menunggu sempat juga berpusing-pusing di kawasan tersebut untuk menjamu mata dengan produk lain yang ditawarkan. Jika terasa lapar atau dahaga, singgahlah di gerai makan yang banyak di sekitarnya.

Pernah juga saya terserempak dengan satu keluarga yang membawa lori kecil untuk mengangkut barang-barang yang mereka beli mungkin untuk majlis perkahwinan.

Reda seketika bab membeli-belah di Nilai, timbul pula rombongan membeli -belah ke China, tidak kira di Beijing atau Ghouzhau, pokoknya, dapat membeli-belah.

Lalu berpusu-pusu pula rombongan di atur ke China, tambahan pula dengan harga murah yang ditawarkan syarikat penerbangan.

Bagi yang pernah ke sana, mereka akan berkempen dan memberi cadangan di mana paling sesuai membeli-belah.

Bab melihat tempat sejarah atau peranginan menjadi perkara kedua, yang penting dapat membeli.

Kalau ditanya pandangan peserta rombongan apa yang mereka mahu, melawat tempat sejarah, makan atau membeli, saya yakin semua akan memilih untuk membeli-belah kecuali kaum lelaki yang tiada pilihan melainkan terpaksa mengikut selera isteri atau anak-anak.

Menjelang awal tahun 2008 angin membeli belah merebak pula ke Bandung, Jakarta dan Medan.

Mangga 2, di Jakarta, Tanah Abang, Pasar Baru dan Rumah Moda di Bandung antara lokasi yang tidak akan dilupakan oleh mereka yang gila membeli.

Di Bandung, kebanyakan wanita Malaysia akan menjadi 'histeria' dengan tawaran yang disediakan hinggakan tidak menang jari asyik membeli dan membimbing beg berisi barang-barang.

Ada juga yang terpaksa bergegas semula ke lokasi dengan menaiki teksi sebab ralat dan terkilan tidak membeli barang yang berkenaan sebab apabila balik ke hotel, teringat-ingat pula.

Jika dulu hanya mereka yang berada dan buat bisnes saja membeli-belah di luar negara tapi kini wanita biasa juga mampu berbuat demikian.

Bagi golongan atasan yang menjaga ‘klass’ mereka masih memilih lokasi seperti London dan Paris tetapi bagi golongan sederhana, Bandung, Jakarta, China dan Vietnam sudah memadai.

Barang-barangnya tetap sama dari segi rupa, warna dan bentuk, yang berbeza mungkin hanya pada jenama sama ada original atau tiruan.

Dalam banyak perkara sesetengahnya berkata, tas tangan mereka dibeli dari Paris, London atau negara Eropah, tetapi jika dibelek-belek sama dengan produk dari Bandung, China dan Vietnam.

Apa pun saya percaya wanita sekarang memang hebat. Mereka mampu melancong ke luar negara sambil membeli-belah.

Malah mereka boleh merancang membeli tiket penerbangan murah yang ditawarkan beberapa bulan sebelum ke destinasi yang dipilih bersama keluarga atau kawan-kawan.

Itu antara sebahagian daripada senario yang saya lihat kehebatan wanita masa kini.

Bercuti sambil melancong dan membeli-belah sudah menjadi trend. Kunjungan saya ke Ho Chi Minh City, Vietnam baru-baru ini menjadikan saya pasti bahawa wanita Malaysia sudah bijak merancang untuk keseronokan diri mereka setelah penat bekerja.

Dalam kebanyakan acara melancong, membeli-belah tentunya menjadi agenda utama.

Di dalam penerbangan, hampir satu perempat penumpang adalah orang Malaysia kebanyakannya wanita.

Di mana-mana pergi sekitar kawasan 'membuang duit 'di Ho Chi Minh mesti akan terserempak dengan orang Malaysia. Masuk restoran halal juga jumpa orang yang sama, itu belum lagi ke pasar Malam dan Pasar Chen Ben Thanh dan Saigon Square yang boleh menjadikan pengunjung 'mabuk' dan 'rabun mata.''

Seperkara yang ingin saya sentuh, para peniaga di Ho Chi Minh sama seperti di Bandung dan China.

Mereka seboleh-boleh mahu kita membeli dengan pujuk rayunya yang pelbagai, jika tidak mereka akan merungut.

Bila ditanya kepada pemandu pelancong yang fasih berbahasa Melayu, sambil tersenyum dia berkata, 'jangan marah kak, dia mengata sebab tidak mahu beli.''

Semasa membeli buah-buahan yang murah dan lazat seperti mangga, ciku, durian belanda, rambutan dan sebagainya, mereka amat pantang jika kita memicit-micit buah tersebut.

Dijelingnya kita dengan mata yang terbeliak sambil merungut-rungut.

Bagi mereka, jika hendak beli, ambil dan terus masuk plastik dan bayar. Tidak payah belek-belek dan picit-picit!

Jika bab beli pakaian pula, memang mereka akan merungut jika terlalu banyak yang kita minta. Saiz itu, warna ini, corak itu, bagi mereka satu beban.

Kadang-kadang belum sempat dilihat, penjual sudah ambil dan lipat. Belum pun dibuka, dia menggomel-ngomel mengata kita.

Apa pun, saya pasti mereka yang gila membeli tidak ambil kisah tentang perkara itu sebab yang penting hajat membeli apa yang diidamkan tercapai.

Secara positif saya setuju dengan wanita yang agresif seperti ini. Setelah penat bekerja, inilah masa mereka memanjakan diri sendiri.

Bagi wanita, rehat yang paling menarik dalam hidup mereka adalah dengan melancong dan membeli-belah. Itulah nikmat yang sebenarnya untuk mereka. Apa pun yang difikirkan, catatan saya sekadar berkongsi pengalaman dan pemerhatian. Saya sebenarnya seronok tengok orang 'banyak duit' berbelanja terutama wanita. Wajah mereka berseri-seri setiap kali keluar hotel untuk membeli-belah.

Hairannya saya, duit tidak pernah luak, setiap hari ada sahaja yang keluar dari beg tangan atau sampul, tidak cukup singgah lagi pengurup wang untuk terus membeli.

Rumusan yang saya dapat, selagi tidak sampai waktu untuk ke lapangan terbang, selagi itu nafsu membeli tidak hilang.

Semasa mahu check-in, bimbang pula terlebih bagasi. Dan yang paling saya risau, takut ditinggalkan kapal terbang sebab dalam perjalanan ke lapangan terbang, masih ada yang meminta untuk singgah membeli barang yang terlupa.

Sama ada di London, Paris, Jakarta, Bandung, Beijing, Gongzhou atau Ho Chi Minh tiada siapa boleh menahan nafsu membeli di kalangan wanita. Itu hiburan nombor satu buat mereka.

Namun satu perkara yang menyentuh perasaan saya semasa di Ho Chi Minh masyarakatnya memang rajin dan komited dengan hidup mereka. Sebabnya, daripada sekecil-kecil budak berusia 5 tahun hingga kepada warga emas semua ada peranan untuk mencari sumber rezeki.

Di tepi jalan, gerai, restoran dan kaki lima kedai, terdapat golongan ini yang menjual pelbagai barang termasuk makanan untuk menampung hidup mereka. Ertinya semua mencari kerja untuk sesuap nasi bagi meneruskan hidup.

Menutup kata, pesanan saya, seorang wanita, isteri dan ibu yang bijaksana umpama sebutir permata yang amat berharga di dunia ini, juga lambang sebuah kehidupan yang bahagia.

Salam

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.