VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 06/03/2011

Islam tapi tidak beriman

TENTU ada antara kita yang pernah tertanya-tanya pecahan penduduk dunia mengikut agama. Wikipedia mencatatkan bahawa jumlah penganut agama Kristian adalah antara 2 hingga 2.2 bilion, Islam 1.570 hingga 1.650 bilion, Hindu 828 juta hingga 1 bilion dan Buddha 400 juta hingga 1.5 bilion. Lain-lain agama lebih kecil angkanya.

Itu kata Wikepedia. Sudah tentu sebarang perangkaan boleh dipertikaikan. Maka Islamic population.com pula menegaskan bahawa jumlah orang Islam di planet bumi ini ialah 1.82 bilion pada 2009.

Di sebalik tidak muktamadnya perangkaan, yang pasti ialah jumlah orang Islam cukup ramai. Mungkin lebih ramai daripada penganut Kristian, yang agama asalnya dibawa oleh Nabi Isa lebih 500 tahun sebelum Islam.

Perangkaan ini sepatutnya menjadi kebanggaan umat Islam, tetapi realitinya tidak begitu. Kita akan menundukkan kepala apabila membandingkan kualiti sebilangan besar umat Islam pada hari ini dengan bukan Islam, dan umat Islam dahulu.

Dari sudut sejarah, seabad selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam berkembang pesat hingga ke Eropah dan menjadi pembimbing kepada ketamadunan manusia sejagat. Pada zaman kegemilangan Islam, lahirlah empayar demi empayar - Ummayah, Abassiyah, Fatimiyah , Mughal dan Othmaniyah - yang bukan sahaja perkasa dari segi kuasa ketenteraan, malah amat ke depan di bidang ekonomi, sains dan teknologi.

Amat kita ketahui bahawa pusat-pusat ketamadunan Islam pada masa itu telah melahirkan para saintis, ahli matematik, ahli falak, ahli falsafah dan doktor yang terkemuka pada zaman tersebut. Mereka adalah pelopor kepada ketamadunan dunia moden.

Bagaimanapun zaman kegemilangan itu berakhir bersama kemusnahan Empayar Othmaniyah pada 1923. Sejak itu, orang Islam bukan lagi jadi bangsa penakluk, tetapi ditakluki hingga ke zaman sekarang. Umat Islam jadi bangsa yang dihina, dizalimi dan dianiayai bukan sahaja oleh bukan Islam, malah sesama Islam.

Pelbagai pandangan diberikan oleh tokoh-tokoh reformis Islam, tetapi keadaan ummah pada zaman pasca kegemilangan tetap tidak banyak berubah. Diseru supaya bersatu, tetapi tetap berpecah. Disuruh pantas maju di bidang sains, inovasi dan teknologi, sebilangan besar umat Islam lebih senang hati sekadar menjadi masyarakat pengguna.

Malah pada era pra-peristiwa pengeboman New York 9/11, umat Islam yang kaya di rantau Arab sangat kalut kerana segala pelaburan mereka mengalir ke Barat. Begitu juga mereka sangat bergantung kepada kemahiran Barat untuk membangunkan negara masing-masing dengan upahan wang petrol mereka.

Teknokrat dari lain-lain negara Islam Islam ditakrif ‘kelas kedua’ sekalipun mempunyai kepakaran yang dihormati oleh rakan-rakan mereka dari Barat. Jika diambil bekerja, gaji mereka terlalu kecil berbanding teknokrat Barat.

Nah, ada baiknya bagi kita di Malaysia. Selepas peristiwa 9/11, semakin ramai pelabur dan pelancong Arab bertukar haluan ke sini walaupun angkanya patut lebih besar.

Di ruangan ini minggu lalu telah dibangkitkan persoalan - umat Islam sepatutnya memimpin, kenapa tidak nampak sebarang tanda yang kita akan kembali menjadi umat yang memimpin?

Pelbagai seminar dan forum telah diadakan bagi mencari penyelesaian, tetapi kita masih belum bertemu jawapan yang benar-benar boleh menjamin umat Islam kembali ke zaman kegemilangan seperti dulu.

Tidak terfikirkah kita apa rahsia kejayaan Nabi Muhammad SAW yang berjaya mengembangkan Islam sehingga umatnya berjumlah hampir dua bilion sekarang. Rasulullah yang buta huruf mengembangkan Islam hanya dengan berbekalkan keyakinan (iman) dan ketaatan (takwa) kepada Allah S.W.T. Sumber ilmu ialah wahyu-wahyu yang tersusun sebagai kitab al-Quran.

Petunjuk

Al-Quranlah yang menjadi petunjuk kepada Nabi Muhammad, para sahabat baginda dan umat pada zaman khalifah sehingga Islam mencapai zaman kegemilangannya. Apakah kehancuran zaman kegemilangan itu gara-gara umat Islam tidak lagi menjadikan al-Quran sebagai petunjuk? Ayat-ayat Quran lebih hebat didendang daripada dihayati dan dipatuhi.

Atau barangkali mereka tidak lagi memahami segala petunjuk dan mengingkari perintah-perintah dalam Quran.

Dan al-Quran ini adalah suatu kitab yang mempunyai berkat yang telah kami turunkan, maka mengapakah kamu mengingkarinya? - 21:50

Maka jadilah orang Islam seperti umat-umat sebelumnya yang melupai petunjuk dan perintah Allah sekalipun diturunkan beberapa kitab dan nabi demi nabi yang tugas utama mereka menyeru umat manusia supaya beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Berkuasa.

‘‘Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (negara bangsa) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” - 7:96

Cerminlah diri kita, apakah umat Islam kini juga tidak lagi beriman dan bertakwa, tetapi sekadar beragama Islam sahaja.

Sehingga bertemu lagi di minggu depan, renungilah hadis riwayat Tarmizi ini yang cukup jelas maksudnya.

“Dari Tsauban ia berkata: Rasulullah Saw bersabda: “Suatu masa nanti, bangsa-bangsa (lain) akan berebut kamu semua seperti orang-orang sedang makan yang berebut makanan di atas dulang”. Kemudian ada sahabat yang bertanya: “Apakah masa itu kita (kaum Muslimin) berjumlah sedikit?"

Rasulullah Saw menjawab: “Sebaliknya, jumlah kamu ketika itu banyak, namun kamun hanyalah bak buih di atas air bah [yang dengan mudah dihanyutkan ke sana ke mari]. Dan Allah SWT akan mencabut rasa takut dari dalam diri musuh-musuh kamu terhadap kamu, sementara Dia meletakkan penyakit wahn dalam hati kalian.” Ada sahabat yang bertanya lagi: “Wahai Rasulullah Saw, apakah wahn itu?" beliau menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”

Tentulah kita amat arif tentang masa atau zaman yang Rasulullah bayangkan lebih 1400 tahun lalu itu.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.