VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 September 2014 / 21 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLITIK

ARKIB : 01/03/2011

Polis sedia dedah rakaman CCTV bukti tahanan Hindraf tidak didera

PUTRAJAYA 28 Feb. - Polis akan mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan tahanan Hindraf jika mereka mendakwa polis memberikan layan buruk termasuk tidak diberikan makan dan minum sepanjang dalam tahanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau difahamkan ada pemimpin dan penyokong Hindraf membuat tuduhan kononnya polis menganiaya mereka yang ditahan dengan tidak diberikan makanan dan sebagainya.

Menurut beliau, polis melakukan rakaman bertujuan mengelak tindakan pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan menggugat kredibiliti polis.

''Berdasarkan laporan diterima, polis telah memberikan layanan baik terutama dari segi makan dan minum, kita ada bukti yang cukup kukuh untuk menafikannya.

''Kalau ada mana-mana puak menuduh polis tidak ada perikemanusiaan atau mengatakan mereka yang ditahan tidak dibenarkan makan dan sebagainya, kita ada buat rakaman sebagai bahan bukti," katanya.

Terdahulu beliau yang juga Naib Presiden UMNO mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Turun ke Negeri-Negeri bersama dua lagi rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Hishammuddin berkata, beliau telah mengingatkan Ketua Polis Negara agar berhati-hati bertindak kerana ada pihak-pihak tertentu yang akan mensensasikan sebarang isu demi kepentingan mereka.

''Inilah senario dan landskap baru yang perlu kita hadapi, kita banyak belajar daripada pengalaman lama. Saya ucapkan tahniah kepada polis kerana bertindak pantas mematahkan tunjuk perasaan anjuran pertubuhan haram Hindraf," katanya.

Justeru, tegas beliau, jika terdapat tuduhan kononnya ada penyokong Hindraf yang kebuluran semasa dalam tahanan disebabkan tidak diberi makan dan minum, polis perlu mendedahkan rakaman CCTV kepada umum.

"Sebelum ini, dia (anggota Hindraf) yang puasa berhari-hari tetapi tuduh polis tak bagi makan, dia yang koyakkan baju sendiri tuduh polis yang koyakkan, sekarang kita rakam semuanya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengarahkan Ketua Polis Negara mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang ditahan kerana berhimpun dan berarak tanpa permit.

''Amaran sekeras-kerasnya telah diberikan, tetapi mereka tetap melakukan demonstrasi haram, sekarang ini bergantung kepada Peguam Negara dan polis untuk memikirkan tindakan susulan.

''Saya percaya polis ada cukup bukti kerana 'kepala' mereka yang mengaturkan program (demonstrasi) ini sudah beberapa kali ditahan," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:12
Maghrib 7:14
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.