VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Julai 2014 / 2 Syawal 1435  
  Carian Arkib
TIMUR

ARKIB : 26/02/2011

Abdul Manan kumpul 3,000 bilah kacip


Dr. Abdul Manan Embong bersama sebahagian kacip sireh yang dikumpul dari pelbagai negara di rumahnya di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu. – utusan/ Fauzi Mohd.


KUALA TERENGGANU 25 Feb. – Sirih pinang pada masa silam berperanan penting dalam pelbagai suasana, termasuk upacara melibatkan kehidupan masyarakat Melayu dan Nusantara yang bersalut dengan adat istiadat dan kepercayaan.

Bukan sahaja untuk dikunyah sewaktu santai atau keramaian, ia menjadi penyeri terutama bagi majlis-majlis Melayu seperti perkahwinan sehinggalah kepada penggunaan dalam rawatan kecantikan, perubatan tradisi yang masih diwarisi dan amalan mistik.

Ia tersusun dan diatur dalam tepak dengan komponennya seperti ruang menyisip sireh, kacip bagi menghiris pinang, gobek untuk melumatkannya dan cembul untuk menyimpan ramuan sirih seperti pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur di samping ketur.

Bagi pakar etnologi tempatan, Dr. Abdul Manan Embong, 58, semua itu merupakan salah satu bidang tumpuan yang bertujuan mengkaji kebudayaan dan tradisi masyarakat atau bangsa.

Ia mendorongnya menjengah ke beberapa negara untuk meneliti persamaan dan perbezaan, mengkaji makna di sebalik peranan sireh dan pinang, reka bentuk, motif dan corak pembuatan serta logam yang digunakan bagi alatan tepak.

Dr. Abdul Manan lebih tertarik dengan keunikan kacip dan menyedari alatan itu akan hilang sejajar dengan perubahan zaman, maka, sejak awal 1980-an beliau berusaha mengumpulkannya.

Katanya, kacip merupakan khazanah penting dalam kehidupan masyarakat kita termasuk dalam pelbagai upacara adat resam Melayu.

Baginya, kacip turut menjadi simbol kepada rantaian budaya serantau, namun, menyedari tiada yang memberi perhatian serius dalam soal itu, beliau merasakan perlu baginya untuk menyelamatkan khazanah itu.

‘‘Saya membelinya dengan harga RM30 hingga RM400 sebilah dan sedang menyiapkan katalog mengenainya untuk kemudahan orang ramai,” ujarnya.

Sedikit demi sedikit beliau mengumpulkannya dan sehingga kini memiliki 3,000 bilah termasuk dari India di samping Indonesia, Filipina, Kemboja, China, Vietnam, Thailand dan juga Malaysia.

Melalui bilah-bilah kacip sama ada untuk kegunaan harian atau hiasan, katanya, seseorang dapat menyelami identiti dan citra budaya dengan kehalusan dan keunikan seni ukiran serta kreativiti rekaan.

Ada yang usianya menjangkau 300 tahun dan ia menjadi pelengkap kepada muzium mini miliknya di kediamannya di Bukit Besar, dekat sini. Di muzium itu turut dipamerkan peralatan warisan seperti kukuran, tempayan dan senjata seperti keris dan lembing.

‘‘Kacip merupakan alat yang terdiri daripada bilah tajam yang bergerak dan bahagian tumpul yang berfungsi seperti pisau pemotong isi buah pinang dan juga ubat-ubatan tradisional yang terdiri dari tumbuh-tumbuhan.

“Kacip diperbuat daripada logam keras yang ditempa dan dibentuk dengan menggunakan besi, tembaga atau perak dan kebanyakan bentuk kacip serupa, mempunyai dua bilah mata yang bertaut dan mempunyai hulu atau tangkai di kedua-dua bilahnya,” katanya.

Beliau yang telah menjelajah lebih 15 buah negara hanya kerana kacip berkata, alat itu amat unik iaitu di bahagian muncung serta badan menyerupai kepala binatang termasuklah kuda, kerbau, gajah, monyet, burung, ayam, manusia atau dewa.

Katanya, terdapat juga kacip yang diukir dengan motif flora pada tangkai dan badannya dengan menggunakan salutan perak atau emas sebagai simbol status kehidupan seorang atau peri penting nilai upacara.

“Kacip juga dikenali jenisnya iaitu jantan dan betina serta ada juga yang tiada ketentuan jenis dengan pelbagai bentuk segi atau kebulat-bulatan dengan kacip jantan memaparkan kesegakkan rupa paras atau berbalung dan kacip betina pula tidak begitu menarik.

“Di dalam sesebuah tepak sirih, kacip disusun bersebelahan dengan daun sirih yang tersusun rapi dan ia merupakan perkakasan penting selain gobek bagi melengkapkan kesempurnaan sebuah tepak sirih,” katanya.

Masyarakat Melayu negara ini menamakannya sebagai kacip dan di Indonesia pula disebut sebagai ‘caket’ terutama masyarakat Bali dan di India katanya, terdapat 21 jenis kacip yang dipanggil dengan pelbagai nama seperti ‘adakottu’, ‘adekitta’ atau ‘serota’ dan ada juga memanggilnya ‘yanti’ atau ‘sudo’.

Sepanjang lebih 30 tahun kajiannya, di Indonesia terdapat 17 jenis, Filipina (5), Kemboja (4), Sri Lanka (2) dan Vietnam, Malaysia serta Thailand masing-masing 3 jenis mengikut daerah dan kelas masyarakat.

Beliau yang berkelulusan dalam bidang Etnologi dari Universiti Gajahmada, Indonesia memberitahu, bahan yang dikumpulkan turut diketengahkan dalam pameran dalam dan luar negara.

“Sebelum ini, saya telah menyertai pelbagai pameran yang dianjurkan di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand dengan memaparkan pelbagai koleksi kacip sireh yang dikumpul,” katanya.

Beliau menarik perhatian, dalam masyarakat Melayu katanya, kacip juga dijadikan sebagai perkakasan penting dalam pelbagai upacara adat resam, misalnya dalam adat melenggang perut ia digunakan sebagai prasyarat perkakasan yang diperlukan.

“Ketika bayi yang baru lahir, kacip diletakkan di bahagian atas kepala ketika tidur atau di bawah bantal bayi tersebut. Mengikut kepercayaan ia menjauhkan dari sebarang gangguan makhluk halus,” katanya.

Dalam amalan meraikan tetamu, kacip dihulur kepada tetamu bagi menyiapkan sendiri ramuan sireh supaya mereka tidak terasa janggal dan kekok.

Dalam tepak, sirih dilipat bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya serta disusun dalam satu baris bagi menunjukkan tertib ketika mengapur sirih dan juga mengelak tanggapan kurang sopan dan tidak menghormati tetamu.

Bagi mendahului upacara merisik, tunang dan nikah, masyarakat Melayu silam menggunakan tepak sirih sebagai pembuka kata serta ‘kepala’ atau ibu kepada barang hantaran untuk majlis pertunangan dan pernikahan yang lain.

‘‘Semua ini sebahagian daripada gambaran rumpun masyarakat Melayu nusantara yang begitu kaya dengan nilai sopan-santun serta citra budaya dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.