VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
PAHANG

ARKIB : 17/02/2011

Pokok kabung perlu ‘dipujuk’


Pokok Kabung perlu dipanjat untuk mengambil manisan kabung.


KUALA LIPIS 16 Feb. – Gula kabung sememangnya tidak asing bagi orang Melayu terutama yang tinggal di pedalaman untuk digunakan dalam kuih-muih.

Kegunaan gula kabung dilihat amat penting terutama ketika menyediakan juadah berbuka puasa, kenduri dan hari raya.

Antara kuih-muih yang lazim dicampur dengan gula kabung adalah dodol, kuih koci, lepat, nasi manis dan pengat.

Pokok kabung iaitu sejenis pokok palma yang berasal dari Indonesia atau dikenali juga sebagai pokok enau atau nama botaninya, Arenga Pinnata agak berbeza dengan spesies palma yang lain.

Perbezaan pokok daripada keluarga Arecaceae itu adalah semakin batangnya meninggi dan matang, tandan bunga serta buahnya pula kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah, apabila tandan yang tumbuh di batang itu semakin hampir ke tanah, ia menandakan pokok kabung berkenaan akan mati.

Ini berbeza dengan spesies palma lain iaitu pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggiannya.

Mengikut kepercayaan, pokok kabung dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandannya sepadan dengan ‘pujukan’ yang diberikan oleh pengusaha.

Bagi pengusaha nira kabung, konotasi ‘pujukan’ bermaksud dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu dari arah atas dan bawah masing-masing sebanyak dua kali.

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan yang boleh mengeluarkan cairan itu.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira seperti tandan bunga jantan.

Secara saintifiknya, tujuan mengetuk batang tandan itu adalah untuk melonggarkan rongga saluran aliran nira berkenaan.

Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, ia perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kekotoran di bahagian kelopaknya.

Pengusaha nira akan menghiris bahagian hujung tandan yang dicantas itu pada waktu pagi dan petang sehingga aliran niranya deras dan masuk ke dalam tabung buluh yang dipasang.

Menurut kajian, gula kabung boleh menggantikan gula biasa kerana bahan itu tidak mengandungi glukosa dan sesuai untuk kesihatan terutama di kalangan penghidap kencing manis.

Maseriah Talib, 50, dari Kampung Peruang, Benta, merupakan antara pengusaha gula kabung kecil-kecilan yang sering mendapat tempahan orang ramai, di samping menjalankan perniagaan di pekan sehari berdekatan.

Menurutnya, kerja memasak nira atau manisan itu dalam kawah di bangsal belakang rumahnya sehingga menjadi pekat sebelum diisi ke dalam acuan daun mengkuang untuk dikeraskan mengambil masa selama lima minit.

Berbekalkan kemahiran membuat gula kabung sejak usia muda lagi, dia menjelaskan, keenakan gula kabung memang tiada tandingannya kerana rasa manisan itu berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu.

Katanya, kerja membuat gula kabung bermula apabila nira daripada tandan dibawa pulang ke rumahnya untuk diproses.

Kebiasaannya, jelas Maseriah, tiga tabung buluh berukuran 1.5 meter boleh menghasilkan sebanyak 13 buku gula kabung setiap hari.

Sejurus sampai di rumah, katanya, manisan itu dimasak sehingga pekat dan berwarna coklat kemerahan sebelum dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang.

“Saya menjual antara RM4.50 hingga RM5 sebuku mengikut saiz dan kualiti kepada pelanggan yang datang ke rumah dan juga menerusi tempahan daripada peniaga di bandar Benta dan Raub.

“Biasanya, pada Ramadan, gula kabung mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai yang membuat persiapan bagi juadah berbuka puasa dan untuk jualan di bazar Ramadan,” katanya.

Malah, menurut Maseriah, gula kabung boleh melonjak sehingga RM7 sebuku jika mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan orang Melayu.

Menerusi jualan gula kabung, jelasnya, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM1,300 sebulan untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan anak.

Dalam pada itu, Maseriah berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana banyak membantu membiayai perusahaan gula kabungnya dengan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina bangsal dan peralatan memproses gula itu.

Katanya, beberapa stesen televisyen tempatan dan luar negara juga pernah membuat dokumentari, selain menerima lawatan pelancong asing untuk melihat lebih dekat perusahaan gula kabung secara tradisional.

Gula kabung, menurutnya, bukan sahaja dicampur untuk menyedapkan masakan kuih-muih malah sering dijadikan buah tangan atau cenderamata kepada pembesar pada majlis tertentu di daerah Lipis.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha di Kampung Peruang, Mustafa Yunus, 56, memberitahu, perusahaan gula kabung mampu memperoleh pendapatan lumayan untuk menyara kehidupan keluarga dan persekolahan anak-anak.

“Kerja ini memerlukan ketekunan dan kesabaran bermula daripada mengambil nira, memasak menjadi gula kabung sehinggalah ia dijual ke pekan sehari,” katanya.

Mustafa memberitahu, setiap hari sebanyak 20 hingga 40 buku gula kabung dihasilkan bergantung kepada jumlah air nira yang berjaya dikumpul.

Tambahnya, permintaan terhadap gula kabung terus meningkat terutama ketika Ramadan kerana ia bahan penting untuk membuat inti atau manisan kuih, selain buahnya boleh dijadikan halwa untuk digunakan sebagai campuran dalam minuman.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.