VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 30/01/2011

Crop Circle kini di Indonesia


PETAK sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta ditemui mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO).


MISTERI bulatan bercorak ganjil (crop circle) telah sekian lama menjadi antara rahsia besar alam yang belum terjawab sehingga kini. Sejarah bulatan bercorak ganjil ini masih belum dapat dikesan sepenuhnya dan ada yang berpandangan ia telah mula wujud sebelum kurun ke 20 lagi.

Namun jumlah kehadiran bulatan misteri ini semakin meningkat sejak tahun 1970-an dan ia semakin bertambah sehinggalah sekarang.

Dikatakan lebih 10,000 bulatan misteri ini terdapat di bumi sekarang dengan 26 negara melaporkan kehadiran bulatan ini yang berlaku secara misteri.

Bagaimanapun 90 peratus dari bulatan ini dilaporkan terdapat di selatan England dan kebanyakannya terletak berhampiran monumen lama dan bersejarah seperti Stonehenge, Avebury dan Sillbury Hills (tapak bukit tambakan tanah yang terbesar di Eropah).

Sejak sekian lama, petani di United Kingdom telah melaporkan kemunculan bulatan ini di ladang mereka. Media British pula mula melaporkan kehadiran sejak dari awal 1980-an. Menjelang 1990-an, bulatan misteri ini mula mendapat perhatian meluas apabila munculnya bentuk-bentuk geometrik yang lebih besar dan kompleks.

Bulatan bercorak ganjil adalah merupakan satu fenomena antarabangsa yang mana jumlah negara yang melaporkan kemunculan bentuk-bentuk aneh di ladang bijirin bertambah dari tahun ke setahun.

Kini dunia dikejutkan dengan kehadiran pertama bulatan bercorak ganjil ini di wilayah ASEAN dengan sawah padi di Yogyakarta pula menjadi mangsa.

Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta ditemui mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO).

Ketika ini akhbar-akhbar seluruh Indonesia begitu rancak menceritakan kejadian dan penemuan unik itu. Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO oleh masyarakat Indonesia kerana di Barat ia mempunyai bentuk geometri sama dan tiada saksi yang melihat manusia yang melakukannya.

Ganjil

Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad lalu.

Bulatan itu yang terletak dekat dengan sebuah kawasan rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama. Ia kali pertama dilaporkan oleh seorang petani, Tukiman pada pukul 6 pagi Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini, dia tidak pasti jika corak bulatan itu dicipta oleh UFO atau ia merupakan fenomena semula jadi namun satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.

Menurut seorang pegawai polis yang mendegar keterangan daripada enam petani yang memiliki tujuh petak sawah itu percaya, bulatan itu bukan buatan manusia.

“Mereka memberitahu kejadian ini tidak mungkin dibuat oleh manusia,” kata pegawai polis tersebut, Muliawan.

Menurutnya, petani-petani itu tidak melihat terdapat kegiatan mencurigakan di kawasan sawah padi tersebut.

“Tidak ada keterangan yang mendakwa ada melihat orang melakukan hal-hal aneh di sawah itu,” katanya.

Ujarnya lagi, salah seorang pemilik sawah itu pernah mendengar bunyi bising pada malam sebelum corak itu ditemui.

Berikutan kekecohan yang timbul, pihak polis menghalang orang ramai mendekati kawasan yang mengandungi objek misteri itu. Sekatan itu dibuat kerana pihaknya bimbang orang ramai akan memijak pohon padi sekali gus menjadi rosak dan merugikan petani.

Berdasarkan sejarah penemuan bulatan ganjil ini dan pelbagai teori yang wujud akibatnya, sehingga kini ia masih belum mampu menjawab punca sebenar kenapa misteri ini berlaku.

Walaupun terdapat banyak teori berhubung asal-usul kewujudannya, namun tidak satu pun yang dapat memberikan jawapan yang benar-benar meyakinkan.

Terdapat satu bukti yang dianggap kukuh datang dari rakaman video yang menunjukkan kehadiran objek bebola yang mengeluarkan cahaya putih terang yang berada di dalam dan sekitar bulatan misteri ini.

Namun ia masih belum mencukupi apatah lagi kebanyakan objek bercahaya ini dirakamkan diwaktu siang dan dilihat bergerak teratur dengan pergerakan yang tersusun.

Kajian saintifik yang terperinci telah dijalankan ke atas sampel yang diambil dari bulatan ganjil ini. Kajian yang dijalankan oleh ahli biofizik Amerika Dr William Lavengood mencadangkan tentang wujudnya tenaga tenaga gelombang mikro yang terlibat dalam proses pembentukan reka bentuk bulatan.

Bagaimanapun pengkaji bulatan misteri ini telah disarankan untuk lebih kreatif dan inovatif di dalam menjalankan penyiasatan mereka. Kaedah penyelidikan terkini menggunakan teknik meditasi, penataan cahaya dan muzik telah diadaptasikan di dalam usaha untuk lebih memahami fenomena ini yang dikatakan mampu berinteraksi dengan pemikiran manusia.

Sama ada bulatan misteri ini satu kejadian aneh yang tidak dapat dihurai oleh manusia secara logik atau apakah ia adalah ciptaan manusia sendiri yang cuba berselindung dengan realiti masih belum terjawab sehingga kini.

Sampai bila misteri ini akan tersimpan sebagai misteri juga akan kekal menjadi misteri mungkin untuk selama-lamanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.