VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
TIMUR

ARKIB : 21/01/2011

Burung baji ubah kehidupan


Burung baji atau Love Birds yang dijual dengan harga RM50 hingga RM450 mengikut saiz dan coraknya.


KUALA TERENGGANU 20 Jan. – Pada usia 15 tahun, ketika rakan-rakan sebaya berulang-alik ke sekolah bersama keriaan alam remaja, Mohd. Nasir Yang kerap berada di tengah laut.

Dia menempuh alam kedewasaan lebih awal dengan mula memikul tanggungjawab bersama mencari rezeki untuk keluarga dengan menemani ayahnya ke laut.

Selama 30 tahun, dia mewarisi kerja ayahnya, mencari rezeki yang ternyata sekadar cukup untuk menampung keperluan harian.

Bapa kepada dua orang anak yang menetap di Kampung Seberang Bukit Tumbuh bersama ibu bapa, isteri dan anaknya mula memikirkan apabila keluarga makin membesar, dia perlu berbuat sesuatu.

Menyedari pendapatan tidak menentu, dengan purata hampir RM500 sebulan, dia sedar tidak lagi boleh untuk terus begitu dan bertekad untuk mengubah kehidupan keluarga agar tidak terus berada dalam lingkaran kemiskinan.

Hobinya memikat burung tekukur di kawasan paya dan belukar sejak remaja, memberi ilham kepadanya untuk menjadi penternak burung, apatah lagi dia sedar nilai harga burung peliharaan adalah tinggi di pasaran.

Mohd. Nasir, 45, menceritakan, burung-burung yang dijinakkan bagi mengisi waktu lapang dahulu ada yang dijual dengan harga RM500 hingga RM700 seekor.

Kegemaran itu mendorongnya kerap ke pertandingan burung tekukur termasuk di Kelantan dan Johor sekali gus menjalinkan hubungan dengan mereka yang berkongsi minat yang sama.

Justeru, Mohd. Nasir memohon bantuan untuk memulakan usaha itu daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) memandangkan agensi itu menguruskan program e-Kasih untuk golongan miskin sepertinya.

“Pada mulanya pihak MARDI agak keliru dengan permohonan saya kerana apa yang ingin saya lakukan berbeza dengan pemohon yang lain yang kebanyakannya menternak ikan, ayam, itik atau kambing.

‘‘Tetapi saya memilih untuk menternak burung peliharaan dan akhirnya permohonan itu diluluskan. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkenaan,” ujarnya.

Sebelum membuat keputusan untuk menternak burung baji atau Love Bird, dia telah menemui beberapa rakan di daerah ini, Dungun dan Kelantan untuk bertanyakan kaedah penternakan itu.

“Setelah berulang-alik untuk mempelajari sedikit demi sedikit, saya dapati sebenarnya menternak burung baji lebih mudah berbanding burung-burung lain termasuk burung tekukur yang pernah saya bela.

“Kata para penternak itu, pasaran burung berkenaan cukup tinggi hingga tidak mampu menampung permintaan. Belum lagi pandai terbang, sudah ada orang yang tempah,” katanya.

Dengan penyaluran bantuan pihak MARDI Terengganu sebanyak RM7,800, Mohd. Nasir mula membina 100 sangkar segi empat sama bersaiz dua meter bagi menempatkan 100 pasang burung yang mempunyai lebih 50 warna itu.

Katanya, burung comel itu mengambil masa sehingga 18 hari untuk bertelur, mengeram sehingga menetaskan anak baru yang boleh mencapai sehingga tujuh ekor.

“Setelah kira-kira sebulan berada bersama ibunya, anak burung itu akan diasingkan dalam sangkar berlainan untuk ‘dilatih’ berdikari sebelum dijual kepada pelanggan.

‘‘Burung baji ini bertelur sekitar lima kali setahun dan setiap kali mencapai lima biji,” katanya yang turut dibantu oleh isterinya, Salasawati Razali, 40.

Jelasnya, burung itu dijual mengikut gred tertentu bergantung kepada saiz, warna bulu dan mata berharga antara RM50 hingga RM450 sepasang.

“Memandangkan kaedah penjagaan yang mudah serta kos makanan dan minuman hanya kira-kira RM5 sebulan bagi setiap pasang menjadikan burung ini makin digemari.

“Ditambah pula keinginan masyarakat kita yang berasakan laman mereka tidak lengkap jika tiada kicauan burung terutama di kawasan bandar atau taman perumahan,” ujarnya.

Mohd. Nasir berkata, bahan seperti makanan, vitamin dan ubat hanya boleh diperoleh di sekitar daerah ini dan ada ketikanya kala dia turut ke Kota Bharu untuk mendapatkan bahan itu kerana harganya lebih murah.

“Walaupun tidak sampai setengah tahun memulakan bidang ternakan burung peliharaan ini, saya telah mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan,” ujarnya.

Bagi mengembangkan perniagaannya, dia merancang menambah 100 pasang lagi burung baji dengan membina sangkar baru berdekatan sangkar asal pada pertengahan tahun ini.

“Dengan pertambahan itu, ia dijangka mampu mencapai sehingga 5,000 ekor burung baji dengan hasil jualan mungkin dapat mencecah sehingga RM100,000 setahun,” ujarnya.

Menurut Mohd. Nasir, dia lebih bersemangat berdasarkan kepada beberapa kejayaan rakan-rakan yang menceburi bidang ternakan burung peliharaan itu sehingga mampu mencapai pendapatan antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.