VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 11/01/2011

Jadi pengacara, Siti bukan pengacau


PROGRAM bual bicara, Siti banyak menguji kredibiliti Siti Nurhaliza sebagai seorang anak seni.


SEPANJANG 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Datuk Siti Nurhaliza telah membuktikan kehebatannya sebagai seorang penghibur yang cukup disegani.

Dalam masa yang sama, anak jati Pahang Darul Makmur ini juga menjinakkan diri dengan mencuba nasib dalam pelbagai cabang seni antaranya komposer, penulis lirik, penerbit serta pelakon.

Ternyata, semuanya membuahkan hasil dan sekali gus meletakkan nama Siti sebagai salah seorang artis versatil yang memiliki pelbagai kebolehan dalam bidang seni.

Terbaru, Siti telah mencabar dirinya sendiri dengan mengorak setapak langkah lagi untuk terus mengukuhkan portfolio seninya apabila penyanyi kesayangan ramai itu kini bergelar seorang pengacara pula.

Sudah pasti, apa sahaja yang dilakukan oleh Siti pasti akan mendapat perhatian dan diperkatakan ramai.

Percayalah, apabila dia sudah mengorak langkah sebagai seorang pengacara, pasti akan ada kata sinis yang dilemparkan kepadanya dengan mengatakan dirinya sebagai pengacau dan cuba menutup periuk nasi pengacara sedia ada.

Menjawab soalan itu dengan tenang, Siti mahu melihat penglibatannya dalam bidang pengacaraan dari sudut yang positif.

“Kehadiran saya bukanlah mahu mencabar sesiapa. Saya lebih selesa kalau kehadiran saya dalam gelanggang pengacaraan dilihat sebagai persaingan yang sihat.

“Saya pun tidak mahu menjadi orang lain dan sebagai seorang pengacara, memang saya mahu menjadi diri saya sendiri tanpa dibayangi oleh sesiapa,” jelas Siti dalam nada yang cukup positif.

Juara Bintang HMI 1995 itu ditemui ketika rakaman episod pertama Siti yang berlangsung di Filem Negara Malaysia, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir pada rakaman itu ialah Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi; penerbit Siti, Raja Fouzeel Akmal Raja Zainal serta penerbit eksekutif, Hakim Amir dan Zetty Adila Ramly.

Program Siti itu merupakan kerjasama antara syarikat produksi, Global Station Sdn. Bhd. dan Astro selaku stesen penyiar.

Bersedia

Mempertaruhkan program berjudul Siti, penyanyi itu menyifatkan rancangan itu telah membuka satu lembaran baru dalam hidupnya sebagai seorang anak seni.

“Selama 15 tahun saya dalam bidang seni, saya harus akui memang ada menerima tawaran yang mahukan saya mengacara rancangan saya sendiri.

“Akan tetapi, ketika itu, saya memang tidak yakin dengan kemampuan diri saya sendiri serta belum bersedia untuk menjadi seorang pengacara.

“Apabila saya menerima tawaran untuk program Siti ini, saya fikir inilah masa terbaik untuk saya melakukannya.

“Namun begitu, ia bukanlah satu proses yang mudah buat saya kerana cabarannya cukup berbeza dengan tugas saya sebagai seorang penyanyi,” ujar Siti optimis.

Jika disingkap kembali diari seni penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Cindai dan Purnama Merindu itu, sebetulnya Siti bukanlah program pertama yang menampilkan dirinya sebagai seorang hos.

Sekitar tahun 2004, dia pernah tampil menerusi rancangan 3D Siti (Dari Dalam Diri Siti) yang merupakan terbitan syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions dan disiarkan di RTM.

Motivasi

Cuma bezanya Siti dengan 3D Siti, jelasnya, program terbaru kendaliannya itu tidak terlalu cenderung kepada aspek hiburan.

Sebaliknya, ia merupakan sebuah rancangan yang lebih menjurus kepada inspirasi dan aspirasi dengan menampilkan individu dan golongan VIP yang berjaya dalam kehidupan mereka.

“Kebanyakan mereka yang dipilih untuk rancangan ini adalah dari kalangan insan yang menempa kejayaan dalam hidup mereka sehingga mengecapi kemewahan serta kekayaan hasil daripada titik peluh mereka sendiri.

“Memang menakjubkan apabila mendengar mereka bercerita tentang kepayahan dan kesusahan menempuh hidup sehingga mencapai tahap seperti mana hari ini.

“Tujuan utama program ini dihasilkan pun adalah untuk memberi inspirasi dan aspirasi kepada audiens dan masyarakat menerusi kisah-kisah yang ditampilkan dalam Siti,” kata Siti yang sudah pun mencecah usia 32 tahun hari ini (11 Januari).

Gementar

Atas alasan itu, sejak idea untuk program ini diperkenalkan, Siti memang berhasrat dan mengimpikan untuk menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sebagai tetamu.

Baginya, kisah perjuangan dan perjalanan hidup negarawan ulung itu memang cukup menarik untuk dikongsi bersama dengan masyarakat yang kebanyakannya menjadikan Dr. Mahathir sebagai idola mereka.

Bagai bulan jatuh ke riba, Siti tidak menyangka idolanya itu memenuhi permintaannya untuk menjadi tetamu bagi rakaman episod pertama yang berlangsung baru-baru ini.

“Saya akui yang saya begitu gugup dan gementar untuk menemu bual Dr. Mahathir kerana ini merupakan satu pengalaman yang berbeza buat saya.

“Tetapi, mujurlah semua perasaan itu hilang sebaik sahaja beliau mula memberikan hujahnya yang cukup bernas sehinggakan saya sendiri berasa selesa apabila mewawancara beliau.

“Pada hemat saya, semuanya ada kena-mengena dengan aura positif serta personaliti yang dimilikinya yang membuatkan perasaan gemuruh itu dengan pantas hilang,” jelas isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini penuh teruja.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.