VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 07/01/2011

Cabaran dakwah masa kini

DAKWAH Islamiyah merupakan suatu usaha untuk membentuk pemikiran dan sikap manusia supaya berada di dalam satu acuan yang ditentukan oleh Allah SWT. Untuk mencapai matlamat tersebut banyak halangan yang terpaksa dihadapi oleh dakwah, yang datang dari berbagai-bagai pihak.

Namun keadaan tersebut tidaklah bererti bahawa ada kalanya dakwah tidak menghadapi apa-apa masalah. Jadi yang dimaksudkan dengan rintangan dakwah ialah masalah yang lahir disebabkan oleh keadaan-keadaan tertentu yang sepatutnya tidak ada.

Kita dapat melihat bagaimana pihak Barat menggunakan media bagi mengecam orang Islam dan negara-negara Islam dengan pelbagai istilah. Mereka menggambarkan Islam sebagai penghalang kepada kemajuan dan kerana itulah masyarakat Islam dilihat sebagai othordok, fundamental dan konservatif.

Istilah-isitilah itu kemudiannya menjadi lebih keras dan kasar sehingga menampakkan setiap tindakan yang diambil oleh orang Islam sebagai menakutkan.

Atas rasa takutlah mereka mencipta pula persepsi islamphobia, dan dikaitkan dengan keganasan, pembunuhan, rampasan kuasa dan lain-lain tindakan jenayah.

Perkembangan terbaru, masyarakat yang sudah terbentuk persepsi melihat pakaian yang digunakan oleh sebahagian masyarakat Islam sebagai amat menakutkan atau ditafsirkan mempunyai kaitan dengan penjenayah.

Maka dengan itu ikon Islam sudah dilihat sebagai sesuatu yang salah dan bertentangan dengan kebebasan manusia. Begitu juga menara masjid telah dilihat sebagai faktor yang mendorong kepada keganasan.

Perspektif salah ini sedang berkembang dalam masyarakat Barat sehingga ada negara berusaha menggubal undang-undang bagi melarang apa sahaja unsur yang boleh dihubungkan dengan Islam.

Persoalan ini bukanlah mudah untuk ditangani. Ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk melakarkan kembali kemurnian Islam sehingga berjaya mengikis pandangan serong terhadap apa yang mereka fahami mengenai konsep perang suci atau jihad.

Lebih banyak pendedahan dan dialog perlu dilaksanakan kerana dengan pemahaman yang melihat kepada psikologi takutlah menyebabkan prasangka buruk semakin membesar dan berkembang.

Namun, sebenarnya rasa khuatir dan takut itu hanyalah satu petanda bahawa kita sebenarnya masih tidak berjaya mendekati mereka. Kita berusaha untuk berdampingan dengan mereka, kerana sebahagian daripada mengambil sikap untuk terus bermusuh, sedangkan Islam sentiasa mengharapkan setiap penganutnya mencipta kedamaian dan hidup dalam situasi harmoni.

Jika ada sebarang salah faham, perselisihan hendaklah diselesaikan secara yang paling baik dan berhemah, tidak ikut melawan dengan kekerasan.

Usaha dialog yang aktif juga akan menyumbang di dalam mengikis gejala ‘Islamphobia’ – rasa gerun dan takut kepada agama Islam dan penganutnya oleh sebahagian masyarakat dunia pada hari ini.

Pendirian kita sebagai orang Islam sesekali tidak membenarkan musuh-musuh Allah terus menghina agama Islam, bahkan akan menuntut mereka menghormati kepercayaan yang diimani oleh orang Islam Allah sebagai Tuhan yang disembah dan Nabi Muhammad SAW itu sebagai pesuruhnya.

Globalisasi sebenarnya telah dimulakan oleh Islam. Kalau kita lihat sejarahnya, perkembangan Islam walaupun pada awal kemunculannya hanya di kalangan orang Arab, keluasan pengaruhnya telah menjalar ke seluruh pelosok kehidupan manusia. Hampir tidak ada negara yang tidak mempunyai penganut Islam, walaupun majoritinya bukan Islam.

Kini, jumlah penganut Islam merupakan yang kedua terbanyak selepas penganut Kristian. Menurut anggaran, dalam sepuluh orang penduduk dunia, empat adalah mereka yang beragama Islam. Ini membuktikan walaupun ada cercaan dan usaha memburuk-burukkan Islam, penganut Islam terus bertambah sehingga berupaya mengatasi penganut agama lain selain Kristian.

Ada juga pendapat mengatakan dalam masa 100 tahun lagi, Islam akan muncul sebagai agama yang paling banyak penganutnya. Ini kerana pertumbuhan semula jadi dan pertambahan umat Islam baru meningkat begitu cepat berbanding agama-agama lain.

Faktor globalisasi yang mendera orang Islam menjadikan lebih ramai yang bersimpati. Simpati ini terus menyebabkan mereka melihat kelompok agama lain yang menyiksa masyarakat Islam sebenarnya melakukan keganasan. Dari keadaan ini, Islam semakin mendapat kekuatan apabila masyarakat Barat turut mempersoalkan tindakan kerajaan mereka memenjarakan orang Islam tanpa diberikan hak membela diri dan dibicarakan. Masyarakat Islam sebenarnya telah dihukum berdasarkan prasangka.

Ini menarik minat para cendekiawan Barat menilai kembali Islam dan akhirnya mereka menemui Islam sebagai agama terbaik yang pernah hadir dalam kehidupan manusia. Banyak tokoh yang kita dapat jadikan teladan mengenai pencarian ini, termasuk Jeffrey Lang, seorang pakar matematik yang telah menulis beberapa buah buku mengenai keyakinannya terhadap Islam walaupun sebelumnya beliau merupakan seorang atheis.

Masalah dakwah seterusnya ialah pengaruh Barat yang menebal di kalangan orang Islam. Ini disebabkan oleh hampir keseluruhan masyarakat Islam pernah dijajah oleh penjajah Barat.

Walaupun sekarang semua negara Islam telah merdeka, namun kesan daripada penjajahan fikiran masih wujud. Oleh kerana penjajah-penjajah yang pernah menguasai negara-negara Islam terdiri daripada orang Kristian Barat yang kebanyakan sistem nilainya tidak sama dengan sistem nilai Islam, pemikirannya tidak sama dengan pemikiran Islam dan cara hidupnya tidak sama dengan cara hidup Islam, maka pemikiran dan perwatakan masyarakat Islam sehingga sekarang banyak yang bercanggah dengan yang dianjurkan oleh Islam.

Untuk mengikis pengaruh yang dianggap telah bersebati seperti ini memerlukan usaha yang lebih, kerana terpaksa menghadapi banyak masalah yang merintang.

Demikian juga dengan masalah pengaruh kebendaan yang agak menebal dikalangan sesetengah masyarakat Islam. Oleh kerana kebanyakan negara Islam mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, maka pengaruh tersebut sukar untuk diatasi setelah ia ditanam begitu lama oleh pihak-pihak yang memusuhi Islam.

Pengaruh tersebut menjadi masalah pada dakwah disebabkan Islam itu satu agama yang mementingkan bukan sahaja kesenangan di dunia malah juga kesenangan di akhirat. Ciri-ciri yang dibawa oleh Islam seperti ini akan bertembung dengan jiwa kebendaan yang melihat kesenangan bagi manusia itu semata-mata ada di dunia sahaja.

Usaha dakwah untuk menjaga kepentingan akhirat akan ditentang oleh pengaruh ini atau paling tidak golongan ini akan sukar menerimanya.

Masalah lain ialah perpecahan di kalangan umat Islam. Rata-rata umat Islam di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara Islam sendiri berpecah menjadi beberapa kumpulan.

Akibat daripada perpecahan ini banyak masalah tidak dapat diselesaikan. Walaupun Islam sangat mengambil berat kepada perpaduan, tetapi masyarakat Islam terus berpecah dan menjadi lemah.

Banyak sebab mengapa umat Islam berpecah, antaranya ialah kerana lahirnya berbagai-bagai parti politik dan pertubuhan dakwah, sedangkan sebahagian daripada umat Islam adalah jahil tentang Islam dan ramai yang buta huruf.

Di samping itu, orang Islam mempunyai sifat taksub kepada pemimpin. Akibat daripada perpecahan ini, dakwah menghadapi masalah kerana sesuatu kumpulan tidak akan senang untuk menerima buah fikiran dari bukan kumpulannya.

Demikian juga wujudnya anggapan bahawa tanggungjawab dakwah bukan urusan setiap orang Islam dengan adanya anggapan sedemikian di kalangan orang Islam sekarang, maka tugas dakwah dibiarkan kepada sekumpulan orang sahaja.

Kerjasama dan pertolongan sukar diberi oleh golongan yang beranggapan demikian, walaupun golongan ini memiliki benda-benda yang berguna kepada dakwah, seperti kepakaran, wang ringgit, kepimpinan masa dan sebagainya. Akibatnya, dakwah menjadi tidak bermaya, menghadapi banyak kekurangan dan tidak profesional.

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir

ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah

Malaysia (Yadim)

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.