VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Ogos 2014 / 27 Syawal 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 28/11/2010

Noralbaniah tetap imej seksi


KEmesraan dua beranak ini seperti adik dan kakak.


KALAU dikira tempoh pelakon bernama Noralbaniah ini menjanda sudah pun melebihi 16 tahun. Memang lama sangat, bukannya baru enam bulan atau enam tahun.

Bukan calang-calang wanita yang senasib dengannya

mampu bertahan sedemikian rupa apabila melayari hidup tanpa seorang lelaki di sisi siang dan malam.

Patutlah waktu terserempak dengan wanita ini pada majlis penutup Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM-23) bulan lalu, dia hanya berdiri seorang diri di satu penjuru.

Jika ada yang menegurnya, ramah dibalas dengan senyuman manis. Sesekali pula, dia seakan tidak dipedulikan orang sebaliknya tuan punya diri itu selesa memerhati gelagat manusia yang pelbagai ragam di situ.

Apabila ditanya, rupa-rupanya Noralbaniah datang tanpa berteman ke sebuah festival besar dan gah dengan kilauan glamor. Barangkali sudah imun atau lali dengan kehidupan solo berpanjangan.

Kalau artis wanita lain seboleh-bolehnya mahu datang ke majlis hiburan besar berpasangan. Apa tidaknya, hendak menarik perhatian melintasi di karpet merah di sebalik percikan lampu kamera yang tidak henti-henti.

Tetapi bagi Noralbaniah yang berusia 41 tahun itu, berteman ke hulu ke hilir tidak lagi penting bagi dirinya pada hari ini.

Katanya, bukan kerana cintanya masih bersisa dan mendalam buat arwah suami tersayang, Sudarman Daud tetapi tiada golongan lelaki yang ingin merapati dirinya selama ini.

Malah, pengalaman membesar seorang anak berusia lapan bulan ketika suaminya itu menemui ajal dalam kemalangan ketika usianya baru 25 tahun banyak mengajarnya menjadi seorang ibu tunggal yang berdikari.

“Saya tidak terdesak mencari suami tetapi kalau ada lelaki yang boleh menjentik hati saya, tidak salah rasanya memberi peluang seadanya.

“Saya juga bukan pemilih orang kerana hingga saat ini saya tidak pernah mempunyai calon pengganti. Mungkin orang lelaki takut dengan saya apatah raut wajah saya yang nampak sombong. Tetapi anak saya, Syarra sekarang sudah tidak kisah jika saya ingin berkahwin lagi,” katanya sambil ketawa manja.

Didesak lagi dengan pertanyaan kriteria calon pilihan hati, wanita kelahiran Ipoh, Perak itu, tidak pernah berniat mencari pengganti suami yang seiras perwatakan dengan Sudarman.

Namun dia mengakui memiliki kelemahan diri apabila mempunyai tanggapan negatif mengenai kaum Adam yang sering membelenggu akal fikirannya.

“Dulu saya selalu membayangkan bagaimana jika ditinggalkan lagi buat kali kedua atau pun lelaki itu tidak dapat membahagiakan hidup saya.

“Saya juga bimbang jika ada yang tidak dapat menerima kehadiran anak perempuan saya dan paling menakutkan jika anak saya diapa-apakan ketika saya tiada di rumah.

“Tetapi mungkin juga salah saya kerana selama 16 tahun saya langsung tidak memberi ruang kepada lelaki lain untuk hadir mengetuk pintu hati,” katanya yang hadir di Studio Utusan bersama Syarra dan dua anak buahnya, baru-baru ini.

Noralbaniah berkahwin pada 1993 ketika berusia 23 tahun namun dua tahun kemudian dia kehilangan suami apabila mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Sepantas waktu yang berlari, hari ini wanita kecil molek itu sudah mempunyai anak dara yang sama cantik dan tinggi dengannya apabila Syarra sudah berusia 16 tahun.

l Tidak mahu hipokrit

Noralbaniah dan kemunculan seksinya bagai tidak dapat dipisahkan. Sekadar menoleh ke belakang, industri seni hiburan pernah gempar dengan penampilan berani mati wanita ini pada 1990 apabila dia bergambar memakai bikini untuk artis muka depan majalah popular, URTV.

Hanya dia satu-satunya artis wanita yang berani muncul sebegitu rupa hingga mendapat gelaran simbol seks dunia hiburan.

Selepas 16 tahun berlalu, tidak banyak perubahan ketara yang dilaluinya kerana anak kepada anggota polis masih kekal seksi, bergetah dan tidak makan tua.

Berkongsi cerita penampilannya yang mampu membuatkan adrenalina kaum lelaki sentiasa panas, dia yang memulakan karier dalam bidang lakonan menerusi filem Kolej 56 itu sekadar memberi senyuman menawan.

Jelas anak bongsu daripada lima beradik itu, penampilannya kekal seperti dahulu disebabkan faktor status dirinya yang masih solo hingga hari ini.

“Tidak ada benda yang nak berubah pun kerana keadaan saya yang belum berkahwin dan masih dalam profesion yang sama.

“Mungkin kalau sudah berkahwin saya akan menjaga penampilan demi menjaga maruah suami. Malah bila anak semakin besar, saya rasa kembali muda dan sentiasa berkongsi masalah dengannya dan anak-anak buah lain.

“Bagi sesiapa yang mengenali artis bernama Noralbaniah ini, mereka tahu saya tidak pernah hipokrit. Sama sahaja penampilan dan perwatakan saya. Kalau dulu macam ini, sekarang pun begini,” katanya yang mesra dengan panggilan Cu Nor di kalangan anak buahnya.

Ditanya penampilan seksinya itu boleh menjerat dirinya untuk dilabel sebagai wanita simpanan, pelakon filem Main-Main Hantu, Sekretari dan Adik itu tidak kisah dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya.

Kata Noralbaniah, peminat barangkali tidak mempercayai jawapannya apabila dia langsung tidak pernah dihimpit oleh golongan lelaki buaya darat bertaraf VIP.

Jelasnya bersungguh-sungguh, itu semua kerana berpunca dengan sikapnya yang tidak berminat mendedahkan diri di tempat terbuka seperti bersosial di kelab hiburan.

“Macam mana Datuk dan VIP hendak mendekati saya kalau saya asyik keluar ke mana sahaja dengan Syarra dan anak-anak buah yang lain.

“Kalau betul pun saya dibela, mesti sudah kaya sekarang dan datang ke sesi fotografi ini dengan kereta mewah bersama pengawal peribadi. Ini tidak, sayalah yang memandu sendiri tadi dan ke mana-mana selama ini,” katanya sambil sesekali membelai rambutnya yang panjang mengurai itu.

Menyentuh tentang raut wajah yang masih seperti dulu, Noralbaniah berkata dia percaya kepada kejujuran dan keikhlasan hati selain selalu memikirkan perkara positif dalam kehidupan yang dilaluinya.

l Mama boleh kahwin - Syarra

Berbual dengan anak gadis ini, caranya memberi pandangan jelas melangkau usianya yang masih muda. Barangkali impak akibat tidak pernah mendapat kasih sayang seorang ayah membuatkan diri menjadi matang berbanding golongan seusianya.

Malah, dia yang menjalani kehidupan biasa bersama ibu saudara di Taiping, Perak sanggup berulang ke Kuala Lumpur (KL) untuk berjumpa Noralbaniah pada hujung minggu dan cuti persekolahan.

Semuanya itu dilakukannya demi sebuah pengorbanan kepada ibu tercinta yang meneruskan karier dalam bidang lakonan untuk mencari rezeki mereka anak beranak.

Kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Taiping itu, ekoran sudah biasa dengan suasana kampung, dia enggan berpindah ke bandar besar di KL biarpun sering diajak Noralbaniah.

Enggan menyalahi nasib diri, Syarra tanpa raut wajah sedih menceritakan perasaan dirinya yang kosong apabila diminta bercerita tentang lelaki bernama Sudarman.

“Saya tidak rasa apa-apa pun. Rasa biasa sahaja. Sedih pun tidak ada kerana tidak pernah mengenali kasih seorang ayah.

“Kalau ayah pergi meninggalkan saya sewaktu saya sudah memahami erti hidup, mungkin satu perasaan yang berbeza dialami saya.

“Lagi pun mama akan pulang tiap-tiap minggu untuk melawat saya di Taiping atau saya akan ke KL apabila cuti persekolahan,” katanya yang tidak malu menjadi anak kepada pelakon seksi di negara ini.

Syarra berkata, dia juga tidak kisah dengan penampilan Noralbaniah yang masih berani mati itu kerana tahu sikap ibunya yang tidak hipokrit.

Jelasnya yang memiliki wajah mirip Sudarman itu, dipandang serong di sekolah sudah tidak menjadi kudis kepadanya apabila dilempar kata nista anak artis yang sering membawa masalah.

“Mama hendak seksi lagi kerana dia hendak menjadi dirinya. Lagi pun mama tidak ada suami untuk menjaga penampilan ke mana dia hendak pergi.

“Malah saya dan sepupu yang lain selalu memilih baju untuk mama kerana kami tahu apa yang mama mahukan. Tetapi kalau esok-esok mama sudah kahwin lagi, dia kenalah berpakaian sopan sesuai dengan statusnya kepada isteri orang,” katanya yang petah bercakap.

Sambung Syarra, dia kini tidak mahu mementingkan dirinya lagi dan bersedia menerima kehadiran orang baru dalam keluarga mereka.

“Dulu memang saya kisah kalau mama hendak kahwin. Macam-macam bermain di fikiran kerana bagaimana mama nak menyesuaikan dengan suami baru.

“Yalah, kalau mama kahwin dia kena masak dan menjaga keperluan suami yang sudah lama dia ditinggalkan.

“Yang penting, kalau mama kahwin kami sudah tidak boleh tidur bersama mama lagi. Dan kalau saya sambung belajar di universiti, mama pasti sunyi kerana saya semakin jauh daripadanya.

“Jadi sekarang saya tidak kisah kalau mama bertemu jodoh baru dan hendak berkahwin lagi,” katanya yang bercita-cita menjadi seperti Orianthi Panagaris, seorang komposer, penulis lirik dan gitaris kelahiran dari Australia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.