VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 September 2014 / 22 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 21/11/2010

Perceraian bukan ukuran sebenar

SEMEMANGNYA menarik apabila DATUK DR. ZALEHA KAMARUDDIN memetik kajiannya mengenai trend perceraian bagi tempoh 1998-2002. Menurut beliau, hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri). Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian. Biar pun penemuan itu telah berlalu lapan tahun lalu, namun beliau percaya, trend tersebut semakin meningkat sekarang ini.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID, Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang juga pakar undang-undang kekeluargaan itu memberitahu tentang kesukaran mendapatkan statistik sebenar perceraian. Katanya, statistik yang dibentangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini bukan gambaran sebenar tentang kadar perceraian pasangan Islam di negara ini. Beliau juga mahu umat islam tidak terlalu cepat merumuskan bahawa perceraian menjadi punca anak-anak terlibat dalam gejala sosial. Ini kerana, menurut Zaleha, kaji selidik pihaknya mendapati kebanyakan remaja yang terlibat dalam jenayah dibesarkan dalam keluarga yang pincang di mana ibu bapa mereka tidak bercerai tetapi sentiasa berkonflik sehingga menimbulkan tekanan kepada anak-anak.

Sehubungan itu beliau percaya usaha mengatasi masalah rumahtangga tidak bahagia mesti dilakukan bersungguh-sungguh sama seperti langkah kerajaan mencari jalan menyelesaikan masalah perceraian di negara ini.

MINGGUAN: Benarkah kadar perceraian di kalangan pasangan Islam meningkat?

ZALEHA: Perceraian adalah satu fenomena yang universal. Namun ada perbezaan antara perceraian melibatkan orang Islam dan bukan Islam. Secara umumnya punca perceraian adalah sama sahaja. Bezanya apabila melibatkan orang bukan Islam dan orang Islam dari segi perundangan. Orang bukan Islam hanya boleh membuat petisyen perceraian selepas dua tahun perkahwinan. Hanya dalam keadaan tertentu sahaja petisyen boleh dilakukan kurang dari dua tahun. Oleh sebab itu kita lihat kadar perceraian orang bukan Islam menjadi rendah berbanding orang Islam. Orang Islam tidak ada tahap masa bila mereka boleh bercerai. Jika dibuat perbandingan dengan England misalnya, dahulu lepas lima tahun perkahwinan baru boleh buat petisyen untuk bercerai, kemudian dikurangkan kepada tiga tahun dan kini sudah hampir selari dengan undang-undang Islam.

Adakah ini bermakna undang-undang (perkahwinan sivil) kita juga kena berubah?

ZALEHA: Memang masalah dalam undang-undang kita adalah kita masih di belakang. Undang-undang yang digubal 34 tahun lalu masih dipakai sekarang. Orang di sana sudah berubah undang-undang berkaitan perceraian, tapi kita masih belum berubah. Ia menampakkan seolah-olah perceraian orang bukan Islam kurang berbanding dengan orang Islam. Itu secara perbandingan tetapi untuk dapat data tentang perceraian adalah sesuatu yang sukar. Sebagai contoh orang yang kahwin pada pada tahun 1990 bercerai pada tahun 2000. Apabila disebut angka perkahwinan dan perceraian untuk tahun 2000 secara keseluruhan maka ia tidak memberi gambaran yang tepat. Jumlah perkahwinan tepat tetapi jumlah yang bercerai tidak tepat kerana ia melibatkan pasangan yang berkahwin pada tahun-tahun sebelumnya tetapi bercerai pada tahun 2000.

Berdasarkan apa yang dilakukan oleh Jakim baru-baru ini, kita tidak pasti bagaimana sebenarnya angka yang dipaparkan.

Mungkin ada faktor lain menyebabkan angka perceraian bukan Islam lebih rendah?

ZALEHA: Melihat kepada perbezaan antara orang bukan Islam yang dikatakan rendah kadar perceraiannya, jika kita perhatikan ramai di antara mereka yang tidak berpegang teguh kepada agama mereka tidak perlu bercerai pun untuk duduk bersama. Maka dengan itu jumlah perceraian yang rendah adalah tidak menjadi hal bagi mereka. Keduanya kenapa wanita Islam masih tetap mahu menuntut cerai berbanding bukan Islam adalah kerana mereka mahu berkahwin semula dan umur mereka ini masih muda yakni di bawah 40 tahun. Atas sebab mahu berkahwin semula maka mereka menuntut cerai takkan mahu ada dua suami pula. Ini antara masalah perundangan yang wujud dan kita tidak boleh membuat sebarang pandangan tanpa melihat diluar aspek perundangan. Mungkin bukan kerana mahu kahwin semula tetapi atas sebab-sebab lain yang hanya mereka yang lebih tahu. Namun sesetengah wanita melihat perceraian sebagai positif kerana ada mereka yang mencari kebahagiaan melalui perkahwinan. berbanding ada sesetengah yang berasa serik untuk berkahwin lagi.

Datuk pernah buat kajian tentang perceraian, selalunya bagaimana peratusan perceraian dikira?

ZALEHA: Saya buat kajian tentang perceraian setiap lima tahun berkaitan masalah yang timbul dari aspek sosio perundangan. Satu kajian tahun 1998 hingga 2002 mengenai penyelesaian kes-kes perceraian di mahkamah seluruh negara.

Ia memerlukan tempoh setahun untuk disiapkan kerana kita melihat sebanyak 24,753 kes di semua mahkamah syariah. Apa yang saya nampak dilakukan adalah untuk mendapatkan peratusan, jumlah perkahwinan dibahagi dengan jumlah perceraian kemudian didarab dengan 100. Itu bukan cara yang tepat untuk melihat data perceraian kerana orang yang berkahwin pada tahun itu bukan orang yang bercerai pada tahun yang sama. Kedua, fenomena yang orang tidak perasan kerana data perceraian dipegang oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, orang yang berkahwin di satu tempat tidak semestinya bercerai di tempat yang sama. Seseorang yang berkahwin perlu dinikahkan di tempat bakal pengantin perempuan tapi kerana kemudian menetap di Kuala Lumpur dan bercerai, mereka daftar perceraian di sana. Atau mungkin pasangan ini berkahwin di dalam negara tetapi bercerai di luar negara. Mungkin faktor-faktor ini tidak diambil kira bila membuat perkiraan ini.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.