VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 03/11/2010

Banjir di utara bertambah buruk


SEBUAH taman di Jalan Tan Sri Osman Aroff, Jitra, Kedah ditenggelami air sedalam 4 hingga 5 kaki, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Nov. - Banjir yang melanda Perlis dan Kedah sejak semalam bertambah buruk hari ini apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir semakin meningkat.

Beberapa laluan masih ditutup dengan paras air sungai di kedua-dua negeri terbabit melepasi paras bahaya.

Begitu juga di KELANTAN, hujan selama dua hari berturut-turut khususnya di daerah Kota Bharu, Rantau Panjang dan Tumpat menyebabkan negeri itu mula dilanda banjir.

Di KEDAH, lebih 15,432 penduduk daripada 4,251 keluarga di empat daerah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pokok Sena dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir sehingga petang ini.

Angka itu meningkat daripada 2,000 penduduk yang dipindahkan semalam berikutan hujan berterusan sejak kelmarin hingga tengah malam tadi.

Kubang Pasu merupakan daerah paling teruk dilanda banjir melibatkan 10,834 penduduk daripada 3,108 keluarga diikuti Padang Terap (3,821 mangsa) dan Kota Setar (709 mangsa) manakala Pokok Sena (68 mangsa).

Penduduk dipindahkan ke 31 buah pusat pemindahan banjir di daerah Kubang Pasu, 37 buah di Padang Terap, tiga buah di Kota Setar serta lapan buah di Pokok Sena.

Beberapa jalan dan laluan utama termasuk di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) ditutup kerana ditenggelami air termasuk di Jitra, Changlun dan laluan lebuh raya PLUS menghala ke Bukit Kayu Hitam dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok.

Sembilan jalan di Padang Terap juga ditutup kerana ditenggelami air iaitu Jalan Kuala Nerang-Padang Sanai, Jalan Kampung Tanjung-Pokka, Jalan Tualak, Jalan Barokhas-Kuala Nerang, Jalan Semeliang, Jalan Kampung Rambutan, Jalan Kampung Tengah-Kubu, Jalan Kuala Pai dan Jalan Kuala Nerang-Pokok Sena.

Sementara itu, tiga penerbangan yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas di sini pada petang dan malam ini, dibatalkan ekoran lapangan terbang itu terpaksa ditutup akibat air naik sehingga ke landasan.

Ketua Unit Operasi LTSAH, Abdul Rashid Md. Yusob berkata, air naik ke landasan itu akibat limpahan banjir dari kawasan berhampiran.

"Ketiga-tiga penerbangan itu melibatkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) ke Kuala Lumpur, AirAsia ke Kuala Lumpur dan FireFly ke Subang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, empat penerbangan yang dijadual akan berlepas pagi esok turut dibatalkan manakala penerbangan sebelah petang bergantung pada keadaan.

Jadual pagi esok melibatkan dua penerbangan iaitu pesawat MAS ke Kuala Lumpur, satu pesawat AirAsia ke Kuala Lumpur dan satu pesawat FireFly ke Subang.

Di PERLIS, bandar Kangar paras banjir terus meningkat walaupun hujan yang bermula Sabtu lalu sudah berhenti awal pagi ini dan cuaca semakin panas.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk di daerah itu terutama di bandar Kangar bertungkus-lumus memindahkan kenderaan dan perkakas rumah masing-masing ke tempat selamat.

Ramai penduduk di bandar itu yang menjangkakan air semakin surut berikutan cuaca baik menjadi kelam-kabut apabila air naik secara mendadak terutama di kawasan-kawasan yang awalnya tidak mengalami banjir seperti di Taman Kemajuan, Taman Firdaus, Taman Hijrah dan Taman Bukit Kaya.

Beberapa jalan utama ke bandar itu turut ditutup seperti Jalan Bukit Lagi, Jalan Jubli Perak, Jalan Jubli Emas dan Jalan Raja Syed Saffi. Difahamkan banjir di daerah Padang Besar dan Arau semakin surut, namun air banjir dari daerah itu kini 'beralih' ke bandar Kangar.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Abdullah Ali berkata, sehingga pukul 5 petang ini seramai 4,536 penduduk seluruh negeri telah dipindahkan ke 35 pusat pemindahan.

Menurut beliau, pusat pemindahan banjir terbaru dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ali Ahmad yang menempatkan 100 keluarga dan Surau Tebing Tinggi menempatkan 450 keluarga.

Di KELANTAN, hujan lebat sejak Sabtu lalu menyebabkan air Sungai Golok mula melimpah dan menenggelamkan beberapa kawasan rendah sejak malam tadi menyebabkan seramai 297 penduduk yang tinggal di sekitar Rantau Panjang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas berkata, seramai 289 orang daripada 90 keluarga di Kampung Kedai Lama dan Kampung Kubang Kuadi tempatkan di stesen kereta api lama manakala bakinya seramai lapan orang daripada dua keluarga dipindahkan ke Madrasah Kubang Kua.

''Paras air Sungai Golok pada pukul 4 petang ini adalah 10.82 meter melebihi paras bahaya iaitu 9 meter dan beberapa jalan seperti Jalan Lubok Stol, Jalan Lalang Pepuyu dan Jeram Perdah terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan,'' katanya.

Di TERENGGANU pula, seramai sembilan mangsa daripada lima keluarga yang terdedah ancaman ombak besar yang boleh menyebabkan 'banjir air laut' di kawasan Kampung Pantai, Kuala Besut ditempatkan di pusat pemindahan bermula petang semalam.

Kesemua mereka merupakan mangsa pertama yang dipindahkan sejak musim tengkujuh mula melanda negeri itu beberapa hari lalu sehingga menyebabkan ombak kuat serta tinggi di beberapa buah pantai.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negeri (MKN), kesemua mereka ditempatkan di Balai Raya Kampung Pantai.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.