VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 26/10/2010

Guru Sejarah perlu ada inisiatif

SILIBUS atau kurikulum subjek Sejarah yang terlalu membosankan kerana memerlukan pelajar menghafal dan mengingati tarikh-tarikh penting serta peristiwa perlu dipinda bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek itu lebih menarik dan menyeronokkan.

Mengalami sendiri pembelajaran subjek itu yang ternyata membosankan ketika di bangku sekolah menengah, penulis terpaksa banyak membuat hafalan terutama bagi mengingati peristiwa dan tarikh-tarikh penting.

Keadaan itu membuatkan pelajar hanya belajar untuk lulus peperiksaan sekali gus apa yang diajar oleh guru 'hilang' begitu sahaja sebaik sahaja melangkah keluar dari alam persekolahan.

Justeru, tajuk-tajuk penting terutama yang berkaitan perjalanan negara menuju era kemerdekaan yang boleh membantu meningkatkan jati diri dan semangat cintakan negara lenyap begitu sahaja.

Mengulas perkara tersebut, guru Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Height, Selayang, Selangor, Muni'izam Bey Mohammad, 34, berkata, untuk menjadikan P&P Sejarah lebih menyeronokkan dan sesuai dengan konsep education is fun sebagaimana yang disaran oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi, setiap guru Sejarah perlu mengambil inisiatif untuk menjadikan kelas Sejarah lebih menyeronokkan.

Beliau yang berpengalaman mengajar Sejarah untuk pelajar tingkatan satu, dua dan tiga sejak empat tahun lalu berkata, pada awal mengajar subjek itu, beliau menggunakan konsep talk & chalk iaitu bercakap mengikut tajuk-tajuk tertentu di dalam kelas dan kemudian menulisnya di papan hitam.

"Saya lihat pelajar cepat bosan dan jika boleh mereka mahu kelas ditamatkan segera. Balik ke rumah, saya memikirkan apakah cara dan konsep yang boleh digunakan untuk menarik minat pelajar.

"Memandangkan saya suka bercerita, maka saya tukar kaedah pengajaran itu kepada konsep bercerita.

"Setiap topik yang saya ajar, saya akan menyampaikannya dalam gaya bercerita. Selepas itu, saya dapati minat pelajar semakin meningkat," katanya yang merupakan graduan lulusan Universiti Sains Malaysia dan Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi semalam berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan baru untuk menjadikan subjek Sejarah lebih diminati, selain memasukkan aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur-unsur Perlembagaan di dalamnya.

Sebelum itu, kerajaan mengumumkan subjek Sejarah wajib lulus bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013, manakala mengambil pendekatan menjadikannya subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.

Mengulas lanjut, Muni'izam berkata, pendekatan lawatan ke tempat bersejarah juga merupakan satu idea yang menarik dan sesuai untuk murid sekolah rendah, mahupun pelajar sekolah menengah.

Katanya, lawatan itu akan memberi peluang kepada murid dan pelajar melakukan kerja lapangan.

"Ia bukanlah lawatan biasa. Ia lebih kepada kerja lapangan. Latihan praktikal akan lebih mudah diingati berbanding menyuruh pelajar menghafal dan mengingati peristiwa dan tarikh berkaitan tempat-tempat yang dilawati.

"Mungkin guru boleh 'mengajar' di lokasi yang dilawati untuk tempoh 10 atau 15 minit. Kuiz mengenai tempat-tempat yang dilawati pula boleh diadakan, misalnya di dalam bas dalam perjalanan pulang ke sekolah.

"Sediakan hadiah (kecil pun tak apa, misalnya hamper berisi makanan) kepada pasukan pelajar yang menang kuiz itu. Hamper itu pula boleh dikongsi bersama rakan-rakan lain, sekali gus dapat mengeratkan silaturahim pelajar. Saya lihat cara ini lebih menyeronokkan," ujarnya yang sebelum ini bertugas sebagai guru Sejarah di SMK Padang Tembak, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Datuk Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, pula berkata, inisiatif guru Sejarah diperlukan untuk memastikan pendekatan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran dapat menarik minat pelajar terhadap subjek itu.

Menurutnya, pihak kementerian sekadar memperkenalkan pendekatan itu dan langkah menjayakannya terletak di tangan guru.

"Sudah tiba masanya, kaedah P&P bagi subjek Sejarah diubah supaya ia tidak sekadar menekankan tarikh dan peristiwa penting semata-mata," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur Perlembagaan wajar diberi penekanan agar dapat menyediakan generasi muda yang lebih berwawasan dan cintakan negara.

Yang penting, katanya, guru mesti meminati Sejarah kerana jika tidak minat, bagaimana guru mampu mencipta sesuatu yang baru bagi menjadikan subjek itu sentiasa diminati.

Mengulas ada guru yang terpaksa mengajar subjek Sejarah kerana sekolah menghadapi masalah kekurangan guru subjek itu, Nik Mohamed mengakui ada guru Sejarah yang bukan opsyen subjek itu ditugaskan mengajar subjek tersebut dan mereka mengajar dalam keadaan terpaksa.

"Kalau sudah tak minat tetapi terpaksa juga mengajar, itulah yang menyebabkan pelajar cepat bosan.

"Saya harap, sama ada guru opsyen atau bukan opsyen Sejarah dapat dihantar mengikuti kursus, seminar atau bengkel berkaitan teknik, konsep dan gaya P&P yang mampu menarik minat pelajar," ujarnya.

Beliau yang menyokong pendekatan baru yang diambil oleh kerajaan itu berkata, usaha memperkenalkan Sejarah khususnya perihal era negara sebelum dan selepas merdeka perlu dipupuk kepada murid sekolah rendah dan dikembangkan kepada pelajar sekolah menengah.

"Sudah sekian lama, sistem pendidikan kita tidak mempedulikan subjek Sejarah. Apa yang ditumpukan adalah subjek Sains dan Matematik yang mana ia hanya akan melahirkan golongan profesional yang tidak mempunyai jati diri," ujarnya yang menegaskan masih belum terlambat untuk mendidik generasi muda agar meminati Sejarah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.