VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 22/10/2010

Memelihara warisan kraftangan


JUALAN produk yang bernaung di bawah Kraftangan Melaka pada tahun lalu mencecah RM1.1 juta.


KRAFTANGAN pada masa dahulu adalah satu alat praktikal yang digunakan oleh seluruh lapisan masyarakat untuk memudahkan kehidupan seharian. Contohnya, tudung saji mengkuang menjadi alat untuk menutup makanan manakala labu sayong untuk menyimpan air minuman.

Perubahan masa yang pantas masyarakat menuju era globalisasi telah mengubah kebanyakan fungsi kraftangan ini daripada alat praktikal untuk kehidupan seharian kepada perhiasan, hadiah atau pelbagai lagi, yang secara tidak langsung kian menghakis fungsi kraftangan sebagai alat penting untuk kehidupan seharian.

Ramai yang berpendapat perubahan fungsi kraftangan dibimbangi akan menyebabkan kepupusan sesuatu kraftangan tersebut kerana tidak lagi digunakan dalam kehidupan harian.

Perubahan fungsi sesuatu kraftangan tidak akan menyebabkan kepupusan sesuatu kraftangan itu, Pengarah Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka (Kraftangan Melaka), Yazid Parlan memberitahu Bernama dalam temubual eksklusif di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, jika tiada usaha untuk mengekalkan serta meningkatkan penghasilan dan permintaan kraftangan ia kemungkinan menjadi faktor utama pupusnya sesuatu kraftangan itu.

"Apa yang cuba kita lakukan di Kraftangan Melaka, kita himpunkan orang yang mahir dalam menghasilkan barangan kraf dan kita wujudkan industri, kita bantu mereka hasilkan kraftangan dan kita bantu cari pasaran untuk kraftangan yang mereka dihasilkan," kata Yazid.

Sehingga Jun tahun ini 88 usahawan kraftangan di Melaka bernaung di bawah perbadanan itu.

Manakala jumlah jualan produk kraftangan usahawan yang bernaung di bawah Kraftangan Melaka pada tahun lepas mencecah RM1.1 juta dan pada tahun ini jualan disasarkan sebanyak RM1.5 juta.

Selain mengumpulkan usahawan kraftangan, Kraftangan Melaka juga menjalankan banyak program untuk memajukan usahawan di bawah naungannya seperti menganjurkan pelbagai jenis kursus, menjalankan skim inkubator dan program pemindahan kraftangan tradisional dari negeri lain ke Melaka.

Skim inkubator adalah skim melahirkan usahawan kraftangan di mana seseorang yang mahir dalam pembuatan sesuatu kraftangan itu didedahkan ilmu keusahawanan dan dibantu dari segi prasarana, bahan mentah, rekabentuk produk dan pasaran.

Seorang usahawan kraftangan dalam skim itu, Mohamad Azrai Hussin, yang juga pemilik De" Legend Craft Enterprise, memperkenalkan pewter sebagai medium baru kraftangan tradisional.

Mohamad Azrai adalah usahawan contoh yang berjaya menjalankan pemindahan kraftangan tradisional dengan membawa seni kraftangan logam dari Terengganu ke Melaka.

Selain daripada seni kraftangan logam, Kraftangan Melaka mempunyai seorang lagi usahawan kraftangan yang terlibat dalam usaha memindahkan seni pembuatan kraftangan iaitu Nadia Najib, 23, yang terlibat dalam seni pembuatan batik khususnya Batik Chop.

Nadia yang mempunyai Diploma Seni Kraf Batik dari Institut Kraf Negara adalah pemilik NNS De Collection, juga seorang usahawan di bawah skim inkubator, baru memulakan perniagaan pada Mac tahun ini setelah bekerja sebagai pereka batik di Cheras selama dua tahun.

Kraftangan Melaka telah menyediakan lebih 50 jenis cop tembaga daripada pembuat cop batik di Terengganu untuk Nadia menghasilkan batik cop di kilang kecil yang disediakan oleh Kraftangan Melaka di Alor Gajah di sini.

Menurut Nadia, selain daripada rekaan tradisional batik cop seperti motif pucuk rebung dan awan larat, Kraftangan Melaka telah mereka cop tembaga beridentitikan Melaka dan antara motif yang digunakan pada cop tembaga itu ialah Kota A Farmosa, Menara Taming Sari dan Kereta Lembu.

Malati Baharom, 42, seorang lagi usahawan kraftangan di bawah naungan Kraftangan Melaka, adalah seorang pewaris seni pembuatan tudung saji mengkuang yang dipercayai mula dibuat sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lebih 600 tahun dahulu.

Beliau yang mesra dengan panggilan Busu Malati mewarisi seni pembuatan tudung saji yang diperturunkan daripada generasi ke generasi dalam keluarganya.

Berbeza dengan usahawan kraftangan yang lain, beliau tidak terlalu menumpukan kepada aspek keusahawanan sebaliknya menekankan aspek seni dalam pembuatan suatu kraftangan itu.

Beliau yang telah melatih lebih 500 orang dalam seni anyaman mengkuang berkata bunga anyaman mengkuang tradisional Melaka yang paling cantik dan paling sukar untuk dikuasai adalah bunga anyaman yang dikenali sebagai "Terumbu Gila". Bersama Kraftangan Melaka, beliau berusaha membentuk anyaman mengkuang menjadi produk baru antaranya pemidang ruang dan hiasan dinding.

Busu Malati meletakkan harapan kepada anaknya, Nur Fitrah Mohd Azizi, 18, yang sedang mempelajari seni pembuatan anyaman mengkuang ini supaya seni pembuatan tudung saji mengkuang sentiasa dijunjung sebagai identiti rakyat negeri Melaka buat selama-lamanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.