VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Oktober 2014 / 6 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 25/09/2010

Tingkat kecekapan basmi rasuah

LEBIH sekadar perhimpunan tahunan yang dipenuhi dengan agenda persidangan dan pembentangan kertas kerja, mesyuarat dan seminar Inisiatif Anti Rasuah Bagi Rantau Asia dan Pasifik ke-15 yang berakhir semalam boleh disimpulkan memberi kesedaran yang mendalam di kalangan negara anggota.

Ada beberapa skop utama yang diberi penekanan oleh mesyuarat dan seminar kali ini yang jarang-jarang disentuh dalam memperkatakan mengenai jenayah rasuah sama ada bersifat domestik atau rentas benua. Antaranya ialah pelaksanaan undang-undang ke atas pesalah rasuah yang bersifat entiti atau sesebuah organisasi, syarikat atau badan berkanun.

Sebelum ini kebanyakan daripada kita beranggapan amalan rasuah hanya dilakukan oleh individu dalam bentuk perseorangan. Namun sejak kebelakangan ini, laporan rasuah yang dilakukan dalam bentuk entiti di seluruh dunia termasuk di rantau ini semakin meningkat.

Malangnya kebanyakan negara anggota inisiatif tidak mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas dalam menyabitkan kesalahan rasuah bagi kategori tersebut. Ini boleh membantutkan usaha negara anggota inisiatif khususnya dalam mengekang amalan rasuah hingga ke akar umbi.

Ini adalah antara apa yang telah diambil perhatian oleh negara anggota untuk membentuk dan menguatkuasakan cabang undang-undang rasuah itu di negara masing-masing.

Aspek lain yang turut diberi perhatian ialah mengenai silap tanggapan di kalangan orang ramai mengenai pihak yang memberi dan menerima rasuah.

Ada tanggapan yang besar di kalangan rakyat negara anggota inisiatif yang melihat jenayah rasuah hanya dari sudut pihak yang memberi dan bukannya pihak yang menerima.

Tanggapan sebegini berlaku kerana beberapa faktor antaranya laporan media yang hanya memfokuskan kepada penerima rasuah. Ia juga wujud disebabkan peruntukan undang-undang yang lebih berat kepada penerima rasuah berbanding pemberi rasuah.

Justeru, negara anggota inisiatif pada mesyuarat dan seminar kali ini bersetuju untuk memperbetulkan persepsi sebegitu di kalangan rakyat negara masing-masing supaya melihat kesalahah jenayah rasuah adalah sama berat, sama ada dari sudut pihak penerima dan pihak yang menawarkannya.

Beberapa isu yang disebutkan itu merupakan sebahagian daripada apa yang dicapai menerusi Thematic Review on Criminalization of Bribery yang dipersetujui oleh 28 negara anggota inisiatif sebaik berakhirnya mesyuarat dan seminar mengenainya di ibu negara, semalam.

Ia merupakan intipati utama daripada mesyuarat dan seminar yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Organisasi Bagi Pembangunan Dan Kerjasama Ekonomi (OECD).

Seminar tiga hari yang bermula pada 22 September lalu itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Agung OECD, Mario Amano dan Ketua Pengarah ADB, Kunio Senga.

Seramai kira-kira 500 orang peserta terdiri daripada pegawai dan pemerhati daripada kesemua negara anggota mengambil bahagian dalam seminar yang diadakan dalam lima sesi Sidang Pleno.

Apa yang menarik, persidangan kali ini juga mencuri perhatian negara anggota inisiatif untuk melihat cabaran rasuah dari sudut undang-undang domestik yang kompleks dan pelbagai.

Ini menyebabkan timbulnya takrifan undang-undang yang tidak konsisten sekali gus menyukarkan tindakan mahkamah diambil sehingga membebaskan pesalah rasuah. Tidak seperti kesalahan penipuan yang boleh dikesan dengan mudah, kesalahan-kesalahan rasuah bagaimanapun dilakukan dengan licik dan tersembunyi.

Sebagai contoh, beberapa kategori kesalahan di kalangan penjawat awam, rasuah menerusi orang tengah dan rasuah bagi kepentingan pihak ketiga. Dari sudut intepretasi penghakiman, aktiviti seperti itu adalah kesalahan-kesalahan yang jelas.

Tetapi ia mungkin sukar untuk disabitkan dengan undang-undang jenayah rasuah yang tepat kerana takrifan undang-undang mengenainya tidak jelas. Justeru negara anggota inisiatif diminta mentakrifkan undang-undang anti rasuah dengan terperinci supaya menepati standard yang diguna pakai oleh antarabangsa.

Berbeza dengan undang-undang rasuah domestik yang pelbagai, negara anggota inisiatif bagaimanapun tidak mempunyai satu pun undang-undang berkenaan rasuah rentas benua.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan keperluan standard kesalahan jenayah rasuah antarabangsa itu hanya dikenal pasti dalam tempoh kebelakangan ini.

Ketiadaan undang-undang untuk rasuah rentas benua itu menyebabkan sesetengah negara terpaksa menginterpretasikan undang-undang jenayah rasuah domestik mereka ketika berdepan dengan isu tersebut.

Justeru, mesyuarat dan seminar kali ini menekankan kepada perlunya setiap negara anggota merangka undang-undang jenayah rasuah rentas benua yang baru dan menepati amalan perundangan yang diguna pakai oleh negara-negara lain.

Turut diberi perhatian ialah jumlah denda kepada pesalah rasuah. Secara umumnya, jumlah denda yang dikenakan oleh seluruh negara anggota inisiatif sudah menepati piawaian standard antarabangsa.

Bagaimanapun bagi beberapa kategori kesalahan terutamanya membabitkan pengamal undang-undang, jumlah denda itu masih terlalu rendah.

Dalam isu berkaitan, hanya segelintir negara anggota sahaja yang mengambil langkah melarang pesalah rasuah daripada terus mendapatkan kontrak-kontrak awam atau menerima faedah kerajaan seperti subsidi.

Malaysia mungkin belum sepenuhnya melaksanakan seperti apa yang dicadangkan oleh mesyuarat dan seminar ini. Namun kita sudah pun selangkah ke depan apabila SPRM telah membangunkan sebuah pangkalan data bagi pesalah rasuah.

Ia merupakan salah satu daripada 26 inisiatif dan kajian yang telah dan akan dilaksanakan di bawah Makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam memerangi rasuah. Menerusinya, orang ramai boleh menyemak nama dan gambar pesalah, pertuduhan dan hukuman yang telah dijatuhkan.

Pangkalan data rasuah ini diwujudkan sebagai satu inisiatif pencegahan kepada orang ramai daripada melakukan kesalahan rasuah serta memberi gambaran bahawa ia merupakan jenayah yang serius.

Setakat 22 Sepetember 2010, sebanyak 195 rekod pesalah rasuah telah dimuat naik ke dalam pangkalan data ini dan boleh dirujuk oleh orang ramai menerusi laman web www.sprm.gov.my.

Bagaimanapun mempercayai bahawa setiap orang layak diberi peluang kedua, SPRM akan mengeluarkan semula maklumat mengenai pesalah rasuah dari pangkalan data tersebut selepas tiga tahun.

Seperkara yang turut diberi penekanan sepanjang mesyuarat dan seminar kali ini juga ialah aspek koordinasi penguatkuasaan undang-undang.

Kebanyakan negara anggota inisiatif ketika ini tidak menyediakan statistik berhubung tindakan penguatkuasaan berkenaan rasuah yang telah diambil. Sedangkan statistik yang lengkap itu diperlukan dalam menilai keberkesanan usaha pencegahan rasuah yang dijalankan di setiap negara masing-masing.

Statistik itu perlu mencakupi penyiasatan, pelaksanaan undang-undang, sabitan kesalahan dan denda yang dikenakan. Maklumat itu juga perlu dikategorikan sama ada masih aktif, pasif atau yang bersifat domestik dan rentas benua.

Adalah mustahak untuk maklumat itu dilindungi bagi kegunaan penyiasatan terutamanya membabitkan kerjasama agensi antarabangsa, siasatan sulit dan sebagainya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.