VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 21/09/2010

Pelengkap Wawasan 2020

Konsep 1Malaysia merupakan antara gagasan induk pemikiran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diperkenalkan ketika beliau mengambil- alih teraju kepimpinan negara. Sejak mukadimahnya, konsep itu diberikan nilai pengukuhan yang dominan terutama dari sifatnya yang dikatakan sebagai satu kesinambungan daripada konsep, gagasan, manifestasi mahupun agenda kepimpinan yang lalu.

Bermakna, sejak merdeka sehingga detik 1 Malaysia, ia mencerminkan satu pendekatan yang mempunyai matlamat yang sama berpaksikan kepada usaha berterusan kesemua kepimpinan untuk memastikan rakyat hidup sejahtera dan secara berterusan cuba memperbaiki kualiti kehidupan agar masyarakat dapat menikmati limpahan kekayaan sumber bersama tanpa ada gugatan ke atas kemajmukan anggota masyarakat.

Kepelbagaian disimpul sebagai satu kekuatan dan keunikan yang menjadi perisai kemakmuran untuk dirai dan dijunjung ketertinggiannya. Zaman Tunku Abdul Rahman telah membina nilai kemasyarakatan bersama sebaik merdeka, zaman Tun Abdul Razak pula merapatkan jurang masyarakat bandar dan luar bandar manakala Tun Hussein Onn mempertahankan keharmonian dalam kepelbagaian apabila kumpulan ekstremis muncul.

Bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad, modenisasi adalah asas untuk membina bangsa yang bergerak ke hadapan dan Tun Abdullah Ahmad Badawi merencanakan pembinaan modal insan yang ada kekuatan diri.

Najib mengadun kesemuanya dalam konsep 1Malaysia untuk memastikan politik muafakat kekal sebagaimana peninggalan pejuang kemerdekaan dan perekacipta negara bangsa hari ini sekali gus mengisi kestabilan dengan membina keadilan untuk semua agar kesepaduan dan hidup berukun kekal dalam proses membina bangsa yang maju tanpa melunturkan nilai ketimuran.

Islam dengan amalan addin terus dipraktis bagi memastikan kesederhanaan mampu melahirkan bangsa Malaysia yang memiliki ilmu, kemahiran dan kebolehan dengan dilitupi oleh keperibadian mulia.

Keunikan 1Malaysia adalah ia mahu membina rasa tanggungjawab warga Malaysia terhadap tanah air dengan memberi kekuatan ke atas hak masing-masing sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan.

Ia membina pertahanan menyeluruh agar mana-mana individu dari apa juga latar belakang kumpulan agama, etnik, kepercayaan dan gender serta fahaman politik akan mengutamakan nilai sekuriti kemanusiaan dan bukan kepentingan ideologi agar kestabilan tidak tergugat oleh kesempitan politik yang dipenuhi dengan manipulasi, spekulasi, provokasi dan emosi hari ini.

1Malaysia adalah kebergantungan negara yang berdaulat dan pengisian bukan sahaja memakmurkan negara tetapi melahirkan kepercayaan dan keyakinan ke atas nilai 'kepunyaan' agar jati diri berpusatkan kepada nasionalisme dan patriotisme. 1Malaysia tidak berhasrat untuk meruntuhkan iman kepercayaan seseorang tetapi menjadi landasan untuk terus mempertahankan apa sahaja yang diwarisi tanpa perlu merobek pemilikan orang lain.

Ia bukan asimilasi tetapi merupakan integrasi agar masing-masing dapat menggunakan dokumen Perlembagaan sebagai teras identiti mereka dan pada waktu yang sama bertanggungjawab bukan untuk meningkatkan sifat prejudis, wasangka dan kecurigaan tetapi yakin bahawa ada rasa 'bersama', meraikan kepelbagaian menerusi amalan dan kehidupan harian serta bukan sekadar bersifat retorik semata-mata.

Nilai besar dalam memahami budaya masyarakat penting dan diberi keutamaan supaya keharmonian dapat terus terpelihara, asas pembentukan negara bangsa ini.

Perasaan hormat, memahami, menerima, tasamuh, ukhwah dan qudwah perlu jika mahu terus hidup berukun tanpa menyoal apa yang dipersetujui oleh pemimpin kemerdekaan dahulu. Pemimpin-pemimpin ini merupakan wira bangsa yang menyedari pengisian kemerdekaan perlu beralaskan kepada nilai kepercayaan.

Ini menunjukkan bahawa nilai yang dipersetujui dalam Kontrak Sosial diperkukuhkan perinciannya, peninggalan pejuang kemerdekaan 53 tahun lalu. Masing-masing masih boleh praktis amalan kepercayaan dan bahasa masing-masing dan pada waktu yang sama memastikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi tidak dipersoal di bawah Perkara 3 sebagaimana bahasa rasmi adalah Bahasa Melayu di bawah Perkara 152. Begitu juga dengan kedudukan istimewa Bumiputera di bawah Perkara 153. Kekebalan masyarakat masih di bawah kedaulatan dan panjí institusi raja-raja Melayu di bawah Perkara 181 yang keluhurannya perlu dipertahankan oleh setiap individu.

Kesemua ini menjadi intipati 'perkongsian'. Yang menimbulkan kekeliruan bahawa 1 Malaysia akan merobohkan apa yang sudah terbina selama ini merupakan golongan yang tidak mahu melihat kepimpinan Najib merealisasikan Wawasan 2020 kerana 1Malaysia adalah pelengkap wawasan yang diberikan pengiktirafan dengan menggunakan 1Malaysia sebagai alat memacu kecemerlangan yang akhirnya ketika fajar 2020 menyingsing, lahir satu bangsa Malaysia yang bangga menjadi rakyat negara ini, menjunjung Perlembagaan dan fasih bahasa Melayu.

Wawasan 2020 yang dilancar oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan misi yang bertujuan menjadikan Malaysia tergolong dalam kelompok negara maju atau negara industri dan bukan lagi negara membangun atau pesat membangun di bawah kategori dunia ketiga. Terdapat sembilan cabaran yang ditetapkan dalam wawasan tersebut termasuk dari aspek ekonomi, politik dan sosial serta psikologi, kerohanian dan perpaduan nasional.

Jika dihalusi perincian kesemua sembilan cabaran pula iaitu negara yang bermatlamatkan perkongsian bersama; masyarakat jiwa bebas; maju, berkeyakinan dan bangga; masyarakat demokratik matang; masyarakat bermoral dan beretika; masyarakat liberal yang setia pada negara; masyarakat saintifik dan progresif; masyarakat penyayang; masyarakat dengan keadilan ekonomi; dan masyarakat makmur, ternyata 1Malaysia mempunyai objektif sama iaitu melahirkan masyarakat holistik yang memiliki pertahanan menyeluruh bukan sahaja pada dirinya tetapi menguasai nilai kemasyarakatan bersama.

1Malaysia bermotivasi melahirkan anak Malaysia yang mengiktiraf Wawasan 2020 dan meneruskan pengisian ke atas idea dan pemikiran pentadbiran pusat untuk melahirkan masyarakat kelas satu di negara kelas pertama. Semangat dan iltizam 1Malaysia bergantung kepada geladak semangat untuk menjayakannya dan bukan sebaliknya. 1Malaysia dan Wawasan 2020 mempunyai hubungan resiprokal yang saling balas membalas sebagai suntikan wasilah kemuafakatan, perpaduan, integrasi, kesejahteraan membina identiti nasional merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 1Malaysia bukan sahaja kitab perpaduan tetapi penghormatan dan pengiktirafan kepada demografi dan geografi tanah air ini.

Pemahaman komprehensif mengenai 1 Malaysia bukan boleh didapati dari dokumen penerbitan semata-mata tetapi mesti menjadi asas amalan dan praktis tingkahlaku. Ia wajar dilentur dalam diri setiap individu tanpa paksaan dengan proses sosialisasi di rumah, sekolah, guru, media, rakan sebaya, agensi kerajaan mahupun swasta dan pemimpin politik menjadi ejen utamanya sekali gus menunjukkan 1Malaysia hanya akan berjaya jika ada rasa tanggungjawab bersama.

Barangkali ujian 1Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri perlu diambil oleh kesemua ejen yang disenaraikan ini untuk melihat satu dapatan analisis yang menyeluruh. Nilai kemanusiaan dan kesederhanaan menjajah segalanya. Selepas 53 tahun, jika kita masih mempertikai mengenai perpaduan, maka golongan terpencil ini perlu diperlihatkan kekuatan majoriti yang menolak fahaman pelampau terutama yang terlalu taksub dengan nilai kepolitikan mereka sehingga bersedia untuk menggadai apa yang sudah terbina sekian lamanya.

Hanya permuafakatan mampu berhadapan dengan kelompok radikal yang mahu mengambil kesempatan dari keadaan yang tidak menentu ini.

Hakikatnya, bila sesuatu konsep atau gagasan diperkenalkan, sudah pasti ia akan menimbulkan rasa mahu tahu, kekeliruan, mahu memahami serta mengetahui lebih mendalam apakah sebenarnya 1Malaysia? Ia akan merentasi tiga fasa iaitu melahirkan kesedaran, pemahaman dan pada fasa terakhir, akan wujud usaha berpanjangan untuk menerap amalan 1Malaysia dalam aktiviti dan program. Lantaran itu, selepas 15 bulan konsep ini diperkenalkan, harus diakui ia sudah menjadi perbualan dan perdebatan sehingga melahirkan golongan yang menentukan faktor penarik dan penolak ke atas kejayaan konsep ini.

Melihat ia digunakan di seluruh pelosok negara tanpa mengira batasan sama ada di kompleks kerajaan, hal-ehwal jual dan beli pengguna, bangunan pemilikan swasta serta kelompok masyarakat yang berbeza dari kanak-kanak sehingga warga emas, menunjukkan ia sudah mencapai motif fasa satu iaitu kesedaran yang tinggi telah lahir. Kini, 1Malaysia berada di fasa kedua iaitu meningkatkan kefahaman dalam kalangan anggota masyarakat umum.

Penambahbaikan secara berterusan perlu dilakukan agar pemahaman yang konkrit dapat dibina dan proses pemurnian dari maklum balas umum dilakukan untuk menunjukkan bahawa pihak berwajib prihatin ke atas pandangan dan kritikan massa. Ini kerana 1 Malaysia akan berjaya sepenuhnya jika kesemua pihak menunjukkan komitmen dan komited dengan konsep ini kerana ia dilihat oleh Najib sebagai 'masih dalam pelaksanaan' dan pelaksanaan yang berterusan dan tidak bermusim mampu menjana transformasi yang konkrit, peka, jitu dan holistik.

Setiap ejen perlu memain tanggungjawab mereka secara jujur jika mahu 1Malaysia dan cabaran Wawasan 2020 tercapai. Puak oportunis akan terus mengeksploitasi konsep ini jika rasa tanggungjawab tidak wujud dalam kalangan yang terlibat untuk menjana program yang holistik dan menepati sasaran konsep tersebut. Ia perlu dianggap sebagai Doktrin Najib kerana berlatar belakangkan strategi transformasi yang mahu dibawa oleh beliau berakarkan 1Malaysia yang meliputi lingkaran perjuangan dan pengurusan pentadbiran beliau.

1Malaysia adalah perancangan strategik pihak pentadbir tetapi ia akan hanya berjaya jika setiap individu memainkan fungsi dan peranannya atas kepentingan negara.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.